Harap tiada sesiapa membaca entri ini kerana bangun saja esok pagi, entri ini akan dipadam. Well. Cuma nak membebel seketika. Mungkin patut tekup muka kat bantal dan cakap, "tak reti menulis!" Garu kepala dan hampir berputus asa.
Sejak dari dulu lagi aku ada satu masalah. Tiada keyakinan diri! Apa-apa yang perlu aku hadapi atau perlu aku buat, aku tak rasa aku mampu nak buat. Dan sekarang, rasa macam nak menangis sebab rasa tak pandai menulis.
Aku sangat jauh ketinggalan berbanding mereka yang sangat ohsem dalam menulis.. Huarggghhhhhhh.. Hanna Aleeya not a good writer.. Dah! Puas dah merapu sendiri
Fighting has been enjoined upon you while it is hateful to you. But perhaps you hate a thing and it is good for you; and perhaps you love a thing and it is bad for you. And Allah Knows, while you know not. [2:216]
cerpen : Dan Langit Cerah Lagi
note : Ajal, maut dan jodoh di tangan Yang Esa :')
Aku merenung wajah ayah, mak dan Kak Nisa silih berganti.
Mataku berkaca tapi aku tahan untaian hangat itu daripada menodai pipiku. Cuba
mencari kekuatan. Teganya hati Kak Nisa. Aku benci dia! Perampas!
“Rina benci Kak
Nisa! Benci!”
Dia memandangku
takut-takut.
“Rina, dengar dulu
cakap akak,” tuturnya perlahan.
Bibirku mengoyak
senyuman sinis. Betapa sakitnya hati aku. Kenapa dia harus merampas tunangku?
Kejamnya insan bernama Nurul Nisa binti Nazri. Hatiku bagaikan ditusuk belati.
“Tak ada apa yang
Rina perlu dengar lagi.” Suaraku naik satu oktaf.
“Nurul Nisrina,
jangan kurang ajar sangat!”
Ah! Ayah tidak
mengerti apa-apa. Mak pun sama. Entah kenapa aku rasa begitu tersisih. Bagi mak
dan ayah, hanya Kak Nisa yang pandai. Hanya Kak Nisa yang cantik. Hanya Kak
Nisa yang taat. Aku bukan manusia yang tak ada perasaan.
Dan sekarang, Kak
Nisa menyuruhku memutuskan pertunangan dengan Usyair gara-gara dia mencintai
Usyair. Ayah dan mak hanya membisu. Usyair pun sama! Ini semua kerana dia
berkata kepadaku bahawa dia mencintai kakakku.
Baguslah. Nurul
Nisrina bukan sesiapa.
“Rina bukan kurang
ajar tapi Rina dah muak. Muak dengan semua ni. Ayah dan mak hanya tahu salahkan
Rina. Hanya tahu curahkan kasih sayang kepada Kak Nisa. Semua orang tak adil!”
Pang! Aku terpana.
Terketar-ketar tangan mak. Aku menekur lantai sebelum mengangkat wajahku. Aku
mengukirkan senyuman.
“Terima kasih untuk
segalanya. Halalkan makan dan minum Rina.” Aku capai tangan mak lalu aku kucup
tangannya.
“Rina nak pergi
mana?” Aju mak.
“Cari kebahagiaan
yang takkan dirampas oleh sesiapa termasuk Kak Nisa.”
*****
Perlahan-lahan aku
melabuhkan punggung di atas bangku. Mataku melingas kiri dan kanan. Tiada
siapa. Aku menghela nafas lemah. Jam pada pergelangan tangan aku kerling. Sudah
pukul 5 petang. Di mana aku ingin berteduh?
Sisa air mata yang
masih bertamu di kelopak mata aku kesat dengan jari-jemariku.
“Macam budak kecik!”
Aku berpaling.
Seorang lelaki yang sasa dan tinggi lampai mengorak langkah mendekatiku lalu
duduk di atas bangku yang agak jauh dariku. Rambutnya terpacak dan kulitnya
kemerahan-merahan dek terkena cahaya matahari.
Mataku langsung
tidak merenungnya. Aku hanya membisu.
“Orang perempuan
asyik nangis saja. Menangis takkan pernah selesaikan masalah,” ujarnya lagi.
“Saya menangis pun
bukan urusan encik.” Bibirku mengoyak senyuman sinis.
Mataku jatuh pada
wajah seorang kanak-kanak perempuan yang sedang leka bermain jongkang-jongket
bersama rakannya. Bibirnya tidak putus-putus mengukirkan senyuman bahagia.
Alangkah indahnya kalau aku seperti dia. Ah! Jangan mengarut.
“Memang bukan urusan
saya tapi saya tak suka.”
“Saya tak boleh
paksa encik suka.”
“Hurmm. Menangis
sebab putus cinta ke?” Tebaknya.
Putus cinta?
Bukanlah! Aku putus tunang. Ini semua gara-gara Kak Nisa. Makin aku ingat,
makin aku sakit hati. Alasannya, aku dan Usyair tak ada jodoh. Kalau memang tak
ada pun, janganlah bercinta dengan Usyair!
“Bukan urusan encik,” tegasku lagi. Menyibuk
betul mamat ni.
“Asyik-asyik bukan
urusan encik. Ceritalah. Mana tahu saya boleh tolong.”
Aku mengetap bibir.
“Tak ada apa yang
perlu encik tahu. Saya rasa baik encik pergi.”
“Kalau saya tak nak
pergi macam mana?” Ajunya sambil tersenyum meleret.
“Kalau encik tak nak
pergi, saya akan pergi.”
Terus aku mencapai
beg pakaianku lalu berlalu pergi. Laungannya tidak aku pedulikan. Aku
menengadah langit. Ah! Mendung lagi. Semendung hatiku.
*****
Tanganku pantas saja
mencapai beg tanganku. Aku berdiri. Murid-muridku juga.
“Terima kasih,
cikgu.” Suara ketua kelas menyapa gegendang telingaku.
“Terima kasik,
cikgu.” Bergema suara semua pelajar. Aku mengangguk lalu melemparkan senyuman
nipis.
Kemudian aku berlalu
keluar dan berjalan ke bilik guru. Keningku bertaut. Kelihatan beberapa orang
guru sedang membentuk satu kumpulan. Ah! Pedulikan saja. Aku meletakkan beg
tanganku di atas meja lalu melabuhkan punggung di atas kerusi. Dahiku ditekan
seketika.
Amani tersenyum
kepadaku. Aku membalas senyumannya.
“Kau kenapa?” Ajunya
lembut.
“Tak ada apa-apa.
Amani, terima kasih. Nanti kalau aku dah dapat rumah baru, aku janji aku akan
pergi dari rumah kau.”
Segan pula aku
kerana menumpang di rumahnya.
“Rina, tak payahlah
duk ucap terima kasih. Kau janganlah cari rumah aku. Duduklah dengan aku. Baru
seronok. Aku kan penakut sikit.”
Aku mengangguk. Aku
kenal Amani sejak berada di maktab perguruan lagi.
“Eh, hampa tak ambil
port kat pasai cikgu lelaki yang baru
masuk tu?” Aku dan Amani berpaling. Kak Yasmin memandang kami.
“Cikgu baru masuk?”
Aju Amani.
“A’ah. Amani nak tengok ka? Jom pi spy kat pejabat,” ajak Kak Yasmin.
Tanpa banyak kata,
Amani mengangguk. Aku ketawa kecil. Cepat sungguh Amani kalau bab ada cikgu
baru masuk.
“Rina tak mau pi
ka?”
Aku menggeleng. Tak
lama kemudian, mereka lesap. Aku meneruskan kerjaku yang tertangguh. Malas nak
ambik tahu. Bukan aku dapat apa pun kalau pergi tengok cikgu yang baru masuk.
Mesti cikgu-cikgu
buat group tadi sebab duk cakap pasal cikgu baru. Tahu sangat
perangai cikgu sekolah ni.
“Rina, awat tak pi tengok cikgu baru tu? Kacak! Macam Mario Maurer.” Kak Maryam
pula menegurku.
“Haha. Malaslah.”
“Tahulah dia dah nak
kahwin,” tutur Kak Maryam.
Darahku berderau.
Riak wajahku berubah. Aku menggenggam tanganku.
“Saya dah putus
tunang.”
“Maafkan Kak Maryam.
Kak Maryam tak tahu.”
“Tak apa.”
Bibirku mengukirkan
senyuman kelat. Ini kenyataan! Aku dan Usyair sudah tiada apa-apa hubungan.
Dulu, aku percaya yang dia jodoh aku tapi aku silap.
*****
Aku mengangkat wajah
di kala terdengar suara pengetua menyuruh para guru mendengar kata-katanya.
“Hari ini, ada cikgu
baru yang gantikan Cikgu Hisyam yang berpindah.”
Seorang lelaki yang
berdiri di belakangnya mula mengambil tempat di sisinya. Aku tertungkap. Lelaki
itu!
“Perkenalkan Cikgu
Muhammad Syaddad.”
Dan saat itu, mataku
bertentang dengan matanya. Aku menunduk. Meneruskan kerjaku.
“Rina…” Namaku
diseru.
“Kenapa?” Soalku
acuh tak acuh.
“Kacak kan cikgu
baru tu?”
“Biasa je.”
Amani mencebik. Aku
tidak pedulikan lelaki itu yang duduk tidak jauh dariku. Aku pasti dia sedang
meratah wajahku. Pedulikan dia. Aku masih ada banyak kerja. Buku latihan para
pelajarku aku belum semak.
Tiba-tiba aku
teringat sesuatu. Aku belum memberikan lagi Novel Tautan Hati yang aku pinjam
dari Cikgu Rafid. Kalau aku tak bagi sekarang, memang sampai minggu depan aku
tak jumpa dia sebab dia akan pergi kursus mulai petang ini.
Aku mengetap bibir.
Dengan malas yang bertamu di hati, aku mendekati meja Cikgu Rafid. Lelaki di
sisinya mengerlingku tajam.
“Cikgu, nah!” Aku
menghulurkan novel itu.
“Sama-sama,”
perlinya.
“Terima kasih.”
Tidak aku pedulikan
renungan lelaki itu. Saat aku berkira-kira untuk kembali ke tempatku, namaku
diseru. Aku berpaling.
“Rina, dia tanya
nama awak.” Cikgu Rafid menuding jari ke arah lelaki itu.
“Rina,” balasku
ringkas.
“Apalah Cikgu Rina
kita ni. Bagilah nama penuh,” tegur Cikgu Rafid.
“Nama saya, Nurul
Nisrina binti Nazri. Panggil saja Rina. Okey tak Cikgu Rafid?”
Cikgu Rafid
tersengih. Kepalanya yang sudah botak ditengah digaru. Tahu sangat dia suka
bergurau.
Lelaki di sebelahnya
hanya merenungku tanpa kata. Aku berasa tidak selesa. Mata bundar itu masih lekat
di wajahku. Tangannya dimasukkan ke dalam kocek slacknya. Nampak segak lelaki
ini. Kelmarin sewaktu aku berjumpa dengan dia di taman permainan dia hanya
memakai t-shirt dan trek.
Dadaku
berdebar-debar. Aku mengerutkan dahi. Ah! Sudah. Janganlah jatuh cinta wahai
hati.
“Dah berpunya
belum?” Soal suara itu tiba-tiba.
“Dulu, dah berpunya.
Sekarang dia dah putus tunang. Kalau Chad nak masuk line, ok ja,” sampuk Cikgu Rafid.
Mataku membulat.
Pandangku tertumpu pula pada wajah Cikgu Rafid. Dia tersengih. Sah! Mesti Kak
Maryam cerita. Tahu sangat Kak Maryam. Dia akan sebarkan hal ini dan akan
menyuruh mana-mana cikgu yang ada anak lelaki yang sebaya atau tua dariku
dijodohkan denganku. Cikgu-cikgu perempuan di sekolah ini sangat prihatin hal
aku dan Amani.
Mungkin kerana hanya
kami yang belum berkahwin dan masih muda.
“Umur berapa?”
“25 tahun,” sampuk
Cikgu Rafid lagi.
“Cikgu Rafid…” Aku
memberi amaran.
“Yelah. Cikgu tak cakap lagi. Kalau Chad
nak tahu, Chad tanyalah dia. Kalau abang yang tanya, dia marah. Tak pasal-pasal
ada kasut singgah kat pipi abang.”
Lelaki itu
mengangguk dan dia terus memandangku.
*****
Sebuah Porshe
Cayenne berwarna hitam metalik menghalang langkahku. Dahiku berkerut. Sejak
bila cikgu sekolah ni pakai Porshe segala? Bukan harga seribu ringgit kereta
ni. Dan saat cermin diturunkan, wajah
itu terjulur keluar.
“Nisrin nak balik
ke?”
Aku mengangguk.
Memanglah nak balik. Takkan nak berlari di padang pulak. Dia melemparkan
senyuman kepadaku.
“Marilah saya hantar
balik,” pelawanya sopan.
“Tak apalah. Saya
balik dengan Amani saja.”
“Amani kan pergi
kursus.”
Aku menggigit bibir.
Aisehman. Nak kelentong pun tak boleh.
“Kalau macam tu,
saya balik jalan kaki.”
“Huisyy. Tak
payahlah. Mari saya hantar balik.”
Dan aku masih
membisu. Dia keluar dari perut kereta lalu meraih lenganku dan menolakku masuk
ke dalam perut keretanya. Mataku membulat. Aku bagaikan terkena renjatan
eletrik. Sepajang aku hidup di atas muka bumi ini, ini kali pertama seorang
lelaki yang bukan mahramku memegang lenganku meskipun berlapik.
Sepanjang
perjalanan, aku hanya membisu. Lelaki itu bernyanyi kecil sambil mengetuk
stereng. Tali leher yang dipakainya tadi entah dicampak ke mana. Rambutnya
kusut-masai. Butang pertama bajunya dibuka. Tapi semua itu tetap tidak mengikis
kekacakan yang dimilikinya.
“So, awak menangis sebab putus tunang?”
Aku terdiam.
“Jawablah,” gesanya
lagi.
“Ya.”
“Awak cintakan
tunang awak?”
“Pembetulan! Bekas
tunang saya.”
“Yelah. Bekas tunang. Awak cintakan dia
tak?”
Fikiranku melayang
jauh. Benarkah aku mencintai Usyair? Tidak! Sememangnya tidak. Aku dan doktor
itu bertunang kerana ayah memaksaku. Tiada langsung sekelumit cinta untuk dia.
Sudah puas untuk aku menerima dia tapi aku tak mampu.
Aku tak mampu
memaksa diri ini mencintai seseorang.
“Tak!” Kata-kata itu
meluncur laju dari bibirku.
Pap! Mahu aku tampar
bibir ini kerana berterus-terang. Tak pandai menipu langsung.
Lelaki itu ketawa.
Aku memandangnya sekilas.
“Kalau awak tak cintakan
dia, kenapa awak menangis?”
“Sebab kakak saya
melampau. Saya tak larat nak mengalah. Asyik-asyik, kakak saya baik. Kakak saya
cantik. Kakak saya pandai. Mereka tak fikir langsung perasaan saya. Saya
bukannya patung.
Tergamaknya dia
bercinta dengan bekas tunang saya di belakang saya. Saya rasa dikhianati. Kalau
kakak saya nak kahwin dengan Usyair sekalipun, kahwinlah tapi jangan lukakan
hati saya. Jangan hanya bercinta di belakang. Cakaplah terus-terang. Mak dengan
ayah saya diam saja. Nampak sangat sokong Kak Nisa.”
Aku sandarkan
tubuhku. Dahiku aku picit berkali-kali. Air mata yang ingin tumpah aku tahan.
Lelaki itu
mengangguk. Dari riak wajahnya, aku tahu dia rasa bersalah kerana bertanyakan
aku soal bekas tunangku.
“Nisrin, saya rasa kelakarlah,”
ujarnya tiba-tiba.
Keningku bertaut.
Kelakar? Aku tak buat lawak langsung.
“Takkan sebab
seorang lelaki, awak dengan kakak awak bergaduh? Nur Nisrina, awak bukan budak kecik lagi. Lupakan lelaki tu. Banyak
lagi lelaki yang awak boleh buat suami. Saya pun boleh. Lagipun umur saya dah
33 tahun. Mama saya dah bising suruh saya cari isteri. Dan pasal mak dan ayah
awak, saya rasa awak tak payahlah ambil hati. Orang tua memang macam tu. Mereka
diam tak semestinya mereka sokong. Tak guna bertekak. Kalau bukan jodoh awak,
bukanlah.”
Suami? Lambat-lambat
aku menelan air liur. Ada hikmahnya jugak Kak Nisa bercinta dengan Usyair. Tak
payahlah aku kahwin dengan Usyair. Walaupun orang cakap cinta boleh dipupuk,
aku tetap rasa aku dan Usyair tak mampu bersama.
Ada betulnya
kata-kata lelaki ini. Buat apa aku nak bergaduh dengan kakak aku gara-gara
seorang lelaki? Runsingnya. Ego membataskan segala-galanya.
Kahwin dengan mamat
ni? Wohoo. Kenal pun tak sampai seminggu.
“Berbaiklah dengan
dia.”
“Err..” Aku
kehilangan kata-kata.
“Saya harap korang berdua berbaik dan langit akan
cerah lagi.”
Keningku terjongket.
Langit cerah lagi?
“Langit akan cerah
lagi?”
“Ya. Sebab saya
tengok langit asyik mendung sejak saya kenal awak. Mungkin kerana hati awak
yang tengah ‘mendung’.
Aku mencekakkan
pinggang. Dia melepaskan tawa.
*****
Tanpa berkira-kira,
aku menengadah langit. Langit cerah! Secerah hatiku. Entah kenapa kata-kata
Syaddad begitu berkesan di hatiku. Tiada lagi rasa benci, marah atau iri hati.
Semudah itu aku melupakan segala-galanya. Ya. Semudah itu.
Aku melangkah
setapak lalu mengetuk pintu. Sudah beberapa minggu aku tidak pulang ke rumah.
Meskipun ayah, mak dan Kak Nisa sering menghantar mesej kepadaku supaya aku
pulang, aku tetap dengan keputusanku. Tetap degil.
Dan saat tombol
pintu dipulas, tersembul wajah mak.
“Mak!” Terus tubuhku
dirangkulnya.
Ayah, mak dan Kak
Nisa memandangku. Hanya sepi membelenggu kami.
“Maafkan Rina,”
tuturku lembut.
“Maafkan ayah.”
“Maafkan mak.”
“Maafkan akak.”
Keningku terjongket.
Aku pandang wajah mereka silih berganti. Kenapa semua meminta maaf?
“Kenapa semua
minta maaf?” Gumamku sendiri namun cukup
untuk ahli keluargaku dengar.
“Sebab semua
melakukan kesalahan. Baguslah kita dah berbaik,” ucap Kak Nisa.
Terus aku
mengangguk. Siapalah aku untuk tidak melakukan kesalahan.
“Hurmm. Tapi kan
Rina, siapa yang ubah Rina sampai Rina meminta maaf?”
Aku terdiam. Soalan
ayah benar-benar membuatkan lidahku kelu. Bibirku melemparkan senyuman lalu
mejongketkan bahu. Biarlah ahli keluargaku tidak kenal Syaddad.
“Pakwe Rina lettuw,” usik Kak Nisa. Aku menampar
bahunya. Lantas kami sama-sama ketawa. Usyair mungkin bukan untukku tetapi
selayaknya untuk Kak Nisa. Aku terima semua ini. Tak kisahlah orang cakap aku
jilat ludah balik ke, pengecut ke. Yang penting, aku tidak bermusuhan sehingga
mati.
*****
Tanganku membetulkan
letak tudung di kepalaku. Jam pada pergelangan tangan aku kerling. Sudah pukul
10.50 pagi. Masa untuk aku masuk ke dalam kelas 2 Bestari. Lantas aku bangun lalu mencapai beg tangan
serta latihan Bahasa Malaysia yang akan aku berikan kepada mereka.
“Nisrin…” Aku
berpaling. Sah! Memang Syaddad. Hanya dia yang memanggil aku, Nisrin.
Sehelai rambut yang
terjuntai di dahi itu diselak ke belakang. Wajahnya serius. Bibirnya tidak
melakarkan senyuman manis seperti selalu. Hairan! Selalunya dia akan tersenyum.
Sejak dia datang ke
sekolah ini, para pelajarku tidak lagi menumpukan perhatian di kala aku
mengajar apabila dia melalui kelasku. Aku tahu dia menjadi pujaan ramai pelajar
perempuan. Gayanya bersahaja tapi kacak. Itu kata mereka.
Pernah aku dengar
bahawa lelaki ini merupakan jurutera sebelum menukar kerjaya menjadi seorang
pendidik dan ayahnya merupakan usahawan yang terkemuka di Malaysia. Wajarlah
dia memakai Porshe Cayenne.
“Ada apa?” Ajuku
tergesa-gesa kerana aku perlu bergegas ke kelas.
“Saya ada hal nak
cakap dengan awak.”
“Err. Tapi saya ada
kelas sekarang ni.”
Lelaki itu hanya
mengangguk.
“Tahu. Kita jumpa di
kantin selepas waktu persekolahan.”
Terus aku bersetuju
lalu melangkah masuk ke dalam kelas 2 Bestari. Hal apa yang dia ingin
bincangkan denganku?
*****
Langkahku aku hayun
laju. Muhammad Syaddad sedang menyisip minuman. Amani masih berada di dalam
bilik guru. Membuat minit mesyuarat.
“Eh, duduklah dulu,”
pelawa dia saat dia menyedari kehadiranku.
Terus aku
menggeleng. Rasa kekok untuk berada bersamanya tanpa orang lain. Lagipun sudah
puas aku dan dia digosipkan bersama. Ini semua gara-gara aku menumpang
keretanya pulang.
“Duduklah. Saya ada
hal penting nak cakap ni!”
“Hurmm. Yelah.”
Mata bening berwarna
coklat pekat itu merenungku tajam. Tidak selesa dibuatnya. Aku menggaru hujung
daguku.
Hatiku berdegup
kencang. Aku mengetap bibir. Janganlah buat pasal wahai hati.
“Err. Awak dah
berpunya belum?”
“Dulu, saya berpunya
tapi sekarang, dah pegang title single.”
Aku melepaskan tawa kecil. Dia hanya tersenyum.
“Kalau macam tu,
sudi tak awak kahwin dengan saya?”
Mataku membulat. Benarkah
apa yang aku dengar?
“Kahwin dengan
awak?”
“Ya. Saya bukan
orang yang suka berkiasan. Saya suka awak dan saya nak kahwin dengan awak.
Lagipun saya dah tua. Tak ada masa nak bercintan-cintun.”
“Boleh beri saya
masa?”
“Boleh tapi jangan
lama sangat.”
*****
Amani menepuk
bahuku. Aku menjuihkan bibir. Meskipun aku dan ahli keluargaku sudah berbaik,
aku tetap mengambil keputusan untuk tinggal bersama Amani. Tidak sanggup pula
meninggalkan dia hidup sendiri. Lagipun, dia penakut!
Sudah dua minggu
semenjak Syaddad menyatakan keinginannya. Solat istikarah telah aku lakukan dan
aku begitu yakin dia ditakdrikan untuk bersamaku.
“Kau kenapa?”
“Syaddad lamar aku,”
tuturku perlahan.
Bibirnya melemparkan
senyuman. Wajahnya ceria.
“Wah! Seronoknya
kau. Nanti cerita kat aku. Sekarang, better
kau pergi jumpa dia. Dia tunggu kau depan pagar.”
Dahiku berkerut.
Kenapa dia datang ke sini?
Saat aku membolosi
ambang pintu, jelas kelihatan susuk tubuh Muhammad Syaddad bersandar pada
Porshe Cayenne miliknya. Dia melemparkan senyuman kepadaku. Aku hanya membisu.
Langsung tidak membalas senyumannya.
Langkahku aku hayun
mendekatinya. Merenung wajahnya sekilas sebelum menekur tar.
“Kenapa datang
sini?” Ajuku dingin.
“Nak tahu jawapan
awak.”
Aku hanya mengangguk
sebelum berpaling dan memulakan langkah masuk ke dalam rumah.
“Nurul Nisrina, ya
atau tidak?” Laungnya kuat. Amani yang menjenguk dari jendela ruang tamu
tersengih-sengih.
“Kalau awak tengok
langit cerah, jawapannya ya. Kalau tengok langit mendung, jawapannya tidak.”
“Terima kasih, Nurul
Nisrina. Minggu depan saya hantar rombongan.” Suara itu menerjah gegendang
telingaku.
Nurul Nisrina,
belajarlah daripada kesilapan. Tidak tahu apa yang terjadi esok tapi berharap
semuanya baik-baik sahaja.
Tersungging senyuman
di bibirku. Aku menengadah langit. Dan
langit cerah lagi. Secerah hatiku.
Alhamdullilah! Sehingga hari ini kita masih bernafas dan tersenyum. Mungkin akan ada yang cakap. "Nisrin ni ngek ar. Maafkan Kak Nisa dengan mudah." Tapi aku tetap akan senyum sampai ke telinga. Bukan nak kata tapi aku tak rasa gaduh lama-lama tu baik. Sesetengah orang hati lembut, sesetengah hati keras tapi semoga hati kita lembut dan boleh memaafkan kesalahan orang lain.
Tak seronok ar bergaduh lama-lama. Aku tak suka. Biarlah orang label kita suka mengalah ke, slow ke, baik hati sangat ke. Sebab orang pernah label aku suka mengalah sangat. Muehehe. Malas nak cari gaduh sebenarnya. Assalamualaikum :')
cerpen : Biar Aku Simpan Duka Ini
note : Kadang-kadang, kita tak mampu berkongsi masalah dengan orang lain. Maka, mengadulah dengan Yang Esa. :')
Berkali-kali aku
menekan loceng namun dari tadi tiada siapa yang keluar berjumpaku. Langit yang
mendung aku pandang seketika. Sebentar lagi pasti hujan tapi di mana aku ingin
berteduh? Muhammad Mahraz yang berada dalam gendonganku sedang lena dibuai
mimpi. Kasihannya anak ini. Bapanya sendiri tidak mengaku kehadiran dia dalam
hidup kami.
Tidak guna aku
menyalahkan Sang Pencipta. Sudah tercatat untukku mempunyai anak yang tidak
seperti orang lain namun kenapa Muhammad Hail Khasyi tidak mampu menerimanya?
Kenapa? Apa salah anakku yang tidak berdosa ini?
Sekali lagi aku
menekan loceng. Berharap dia membuka pintu. Seketika kemudian, suamiku keluar.
Tangannya menjinjing beg pakaian. Aku mengerutkan dahi.
“Abang!” Tegurku.
Dia mendekatiku.
Matanya jatuh pada wajahku. Tidak terukir langsung senyuman di bibirnya.
Wajahnya masam dan serius.
“Iqah ingat abang
tak nak buka pintu.”
“Memang aku tak nak
buka tapi kau asyik memekak,” bentaknya kasar.
Aku tersentap.
Empangan mataku hanya menunggu waktu untuk pecah.
“Nah! Beg kau.” Beg
pakaian dihulurkan kepadaku. Teragak-agak aku mencapai beg itu.
“Kenapa ni?” Ajuku
perlahan.
“Nur Raiqah, sudah
tiba masanya kau tinggalkan aku. Dulu, aku pernah bertanya. Antara aku dan
budak ni, mana yang kau pilih. Jawapan kau, budak ni. Jadi aku rasa baik kau
pergi. Kau tahu kan aku tak suka dia? Dia budak terencat!”
Ya Allah! Kenapa
semua ini harus terjadi?
Aku dilayannya
dingin. Malah dia pernah menyuruhku membuang anak ini. Tidak pernah aku
khabarkan semua ini kepada keluargaku mahupun keluarga mentuaku.
Biar aku simpan duka
ini. Biar hanya aku yang tahu segala cerita ini.
“Abang, kalau itu
yang abang nak, Iqah tak ada pilihan. Mungkin ini yang terbaik untuk kita.
Meskipun dia tak macam budak lain, kasih sayang Iqah untuk dia takkan pernah
berubah.”
“Pergi mampuslah
dengan kasih sayang kau!” Bentaknya lagi. Tika ini, hatiku bagaikan ditusuk
belati. Teganya suami yang aku sayang berkata begitu.
Aku berpaling untuk
melangkah pergi namun tiba-tiba saja bahuku dipegangnya. Aku menoleh.
“Aku akan bagi
nafkah tiap-tiap bulan tapi ingat! Jangan pernah muncul dalam hidup aku lagi!”
Dia memberi amaran kepadaku.
Perlahan-lahan aku mengangguk.
Mungkin ini yang terbaik untuk kami.
Ya Allah, berikanlah
aku kekuatan. Moga hari esok lebih baik dari hari ini. Moga akan nada sinar
kebahagiaan untuk hamba-Mu ini.
Dan saat itu, hujan
mula membasahi bumi. Aku melindungi Muhammad Mahraz daripada terkena titisan
hujan. Terus aku melangkah pergi. Cintanya untukku mungkin hilang tapi selagi
dia bergelar suamiku, kasih dan cinta ini hanya untuk dia.
*****
Teragak-agak aku
ingin mengetuk pintu rumah Along. Mustahil untuk aku pulang ke rumah keluargaku
mahupun rumah mentuaku. Perjalanan berjam-jam lamanya dari Kuala Lumpur ke
Kedah membuatkan tulang belakangku sakit dan letih. Tersembul wajah Along yang
mendukung Balqis, anaknya.
“Eh, Iqah. Buat apa
kat sini? Mana Khasyi?” Ajunya hairan.
Aku hanya menunduk.
Suasana sepi mula
membelenggu aku dan Along. Kak Zarqa sudah menghilangkan diri ke dapur. Mahraz
telah aku letakkan di dalam baby cot.
“Jawab soalan Along.
Mana Khasyi?”
“Dekat Kuala
Lumpur,” ujarku tanpa memandang wajah Along. Aku menahan sebak di dada.
Langsung tidak menghiraukan diri yang letih dan lemah.
“Dia kat Kuala
Lumpur? Habis Iqah datang sini naik apa?”
“Naik bas.”
Kepalaku aku
dongakkan dan memakukan pandangan pada wajah Along. Jelas kelihatan mukanya
merah menahan amarah. Nafasnya tidak teratur.
“Naik bas? Nur
Raiqah, apa yang terjadi sebenarnya?”
Tubir mataku mula
bergenang dan sesaat kemudian, aku menangis teresak-esak. Along mendekatiku
lalu dia merangkul erat tubuhku. Aku terus dan terus menangis. Peritnya rasa
ini telah lama aku tanggung. Telah lama aku pikul.
Apa yang harus aku
beritahu kalau ibu mahupun ayah bertanya? Pasti mereka akan khuatir denganku.
Ditinggalkan suami gara-gara anak yang tidak sempurna seperti bayi lain.
Jari-jemari kasar
Along menyeka air mataku. Hujung daguku dipegangnya lalu dia memaksaku menatap
wajahnya.
“Nur Raiqah, cakap
dengan Along apa yang terjadi,” pujuknya lagi.
“Dia.. Dia dah
tinggalkan Iqah. Dia tak nak Iqah muncul dalam hidup dia lagi.”
Mata Along terpejam
seketika. Dia memicit dahi lalu memandangku.
“Macam mana boleh
jadi macam ni, Iqah?” Ada nada sebak dalam bicaranya.
“Dia suruh Iqah
pilih antara dia dan Mahraz. Mustahil untuk Iqah meninggalkan Mahraz. Dia anak
Iqah! Walau apa pun yang terjadi, Iqah akan terus berada di sisi Mahraz. Iqah
sayang dia. Iqah tak kisah dia tak macam budak lain.
Tapi Iqah tak faham
kenapa Khasyi mesti bencikan anak kami. Mahraz tak bersalah. Teganya Khasyi
buat macam ni dekat Mahraz. Sampai hati dia.” Aku luahkan segala-galanya
meskipun berat untuk aku katakan semua ini.
Bagaikan semua ini
bebanan untukku. Ah! Tidak baik berkata begitu. Ini semua ujian untukku. Kalau
orang lain boleh menghadapinya, kenapa tidak aku?
Nur Raiqah bukan
wanita lemah. Sekali hayat dikandung badan, Nur Raiqah tak boleh mengalah.
Walau apa pun yang terjadi, bebanan dan keperitan takkan pernah ada dalam kamus
hidup aku. Aku mesti kuat dan tabah.
Mahraz perlukan aku.
Perlukan aku yang tegar. Bukannya aku yang lemah!
“Ya Allah!” Hanya
itu yang meluncur keluar dari bibir Along.
“Along, boleh Iqah
tumpang sini?”
“Iqah, jangankan
tumpang. Duduk selamanya dengan Along pun tak apa,” tuturnya seraya mengoyak
senyuman manis.
Aku ketawa kecil.
“Tak naklah duduk
selamanya dengan Along. Lepas Iqah dapat kerja, Iqah pindahlah.”
“Yelah, intan payung.”
Untuk kali ini saja
air mata ini menitis!
*****
“Mama!” Jerit
Mahraz. Aku menoleh. Terkedek-kedek anak kecil itu berlari mendekatiku.
Bibirnya tidak henti-henti menguntum senyuman manis. Terubat sedikit rasa rindu
di hati gara-gara terpaksa bermesyuarat di Langkawi selama beberapa hari.
Tidak aku pedulikan
lautan manusia di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim. Terus aku bawa Mahraz ke
dalam pelukanku. Rambutnya aku usap lembut. Dahinya aku kucup penuh kasih
sayang.
“Siapa bawa Mahraz
datang?”
“Uncle Nafiz,” tuturnya pelat. Aku
tersenyum sambil mendukungnya.
“Anak mama ni
beratlah!” Usikku lalu mencuit hidungnya. Dia tertawa kecil. Dari jauh, jelas
kelihatan tubuh Along, Kak Zarqa dan Balqis.
Doktor memberitahu
kepadaku Mahraz tidak seperti kanak-kanak lain. IQnya rendah jika dibandingkan
kanak-kanak yang sebaya dengannya tapi aku tetap bersyukur dengan apa yang
terjadi.Muhammad Mahraz sudah berusia 5 tahun. Dan aku sudah berumur 29 tahun.
Khasyi pula berumur 33 tahun.
Ini bermakna hampir
lima tahun aku dan Muhammad Hail Khasyi tidak bertemu namun nafkah tetap
disalurkan setiap bulan. Hubungan kami tetap tidak mempunyai titik noktahnya.
Keluargaku dan keluarga mentuaku tidak mampu berbuat apa-apa.
Aku hanya mampu
berharap semua mimpi ngeri ini akan berakhir.
“Amboi! Araz sampai
tak tunggu uncle.”
“Uncle lambat sangat. Balqis pun sama!”
“Apa Balqis pulak?” Aju Balqis tidak puas hati. Dia
mencekakkan pinggang. Aku tertawa kecil.
Mungkin orang yang
melihatku akan mengatakan bahawa aku bahagia. Namun rasa di hati ini hanya aku
yang tahu. Biar aku simpan sakit ini. Biar aku simpan duka ini. Tidak perlulah
orang lain merasai. Cukuplah hanya diriku.
“Dah! Tak payah
bergaduh. Jom balik. Mama Mahraz nak belanja kita makan,” ujar Kak Zarqa.
“Ei! Mana ada,”
nafiku.
Pecah ketawa Along
dan Kak Zarqa. Aku mendukung Mahraz. Sesekali dia berbicara tentang kawan-kawan
di tadikanya.
*****
Mahraz merangkul
erat tubuhku. Angin malam mula menyapa pipi. Aku menengadah langit yang
bertemankan bulan dan bintang. Wajah Mahraz yang saling tidak tumpah wajah
Khasyi membuatkan aku terkenangkan dia. Bagaimanakah keadaan dia di sana?
“Mama, Araz sayang
mama sangat-sangat.”
Bibirku melemparkan
senyuman manis.
“Mama tahu.”
“Araz sayangkan papa
jugak!”
Darahku berderau.
Wajahku berubah. Selama ini aku tak pernah ceritakan apa-apa pasal Khasyi
kepada Muhammad Mahraz. Tidak guna menceritakan soal Khasyi yang tidak pernah
mengambil berat hal anakku.
Bibir mungil itu tidak putus-putus melakarkan
senyuman. Mata bening itu memandangku tenang. Mata yang terlalu sama dengan
mata Khasyi. Tanpa sedar, aku mengeluh lemah. Malangnya nasib anak kecil ini.
Tidak diterima dan diakui ayah sendiri.
“Araz, mama tak suka
Araz cakap pasal papa,” tekanku sedikit keras.
Dia hanya tersenyum.
Ah! Mahraz tidak mengerti apa-apa.
“Ma, Araz harap
sangat mama dan papa bersatu,” tuturnya kemudian melekapkan telapak tangan
miliknya ke atas tanganku.
Dahiku berkerut. Rasa
hairan mula bertamu di hati. Pelik dengan sikap Mahraz. Gayanya tidak seperti
kanak-kanak yang berusia lima tahun. Lagipun, IQnya rendah.
“Macam-macamlah Araz
ni.” Aku bingkas bangun namun Mahraz melelar pergelangan tanganku.
“Araz tahu mama
masih sayangkan papa. Mama, tempat seorang isteri di sisi suami.”
*****
Hatiku berasa tidak
enak. Entah kenapa. Aku memejamkan mata. Jam pada pergelangan tangan kanan aku
kerling. Sudah pukul 6 petang. Kenapa Along belum menghantar Mahraz pulang?
Lantas aku mencapai telefon bimbitku.
“Assalamualaikum,
Along.” Tegurku saat dia menjawab panggilanku.
“Wa’alaikumsalam.
Kenapa?”
“Laa. Kenapa Along
tak hantar Mahraz pulang? Dah pukul 6!”
Diam seketika.
“Mahraz bukan dah
balik ke?” Darahku berderau. Mustahil! Mustahil untuk aku menjemput Mahraz di
tadika. Kebiasaannya memang Along yang mengambil Mahraz.
“Belumlah! Along
yang ambil dia kan?”
“Tadi Along pergi
tadika. Cikgu Siti cakap ada orang dah jemput dia. Mestilah Iqah yang jemput,”
tegas Along.
Jantungku berdetak
laju. Apa yang sebenarnya terjadi? Di mana Mahraz sebenarnya.
“Along, janganlah
bergurau.”
“Along serius ni!”
Aku terus
menamatkan panggilan begitu sahaja. Tika ini, aku bagaikan hilang arah. Di mana
Mahraz? Di mana anakku? Untaian hangat yang sudah bertahun-tahun lamanya tidak
menodai wajah ini mula menuruni lekuk pipi.
Terhinggut-hinggut aku menahan esakan. Fikiranku buntu.
Tidak tahu mahu mencari Mahraz di mana. Teringat senyuman Mahraz. Teringat
gelak ketawa Mahraz. Pandanganku berbalam dan sesaat kemudian, aku rebah tidak
sedarkan diri
*****
Jari-jemari runcing
milikku bergerak sebelum kelopak mataku terbuka. Dalam kesamaran aku melihat
sekujur tubuh sedang berdiri membelakangkan aku. Perlahan-lahan aku cuba
bangun. Cuba mengingati apa yang terjadi. Sesaat kemudian terus aku teringatkan
Mahraz.
“Araz. Mana Araz?”
Ajuku lemah. Tubuh itu berpaling. Darah merah menyerbu wajahku. Jantungku
berdetak laju.
“Apa yang abang buat
kat sini?”
Dia tidak menjawab
soalanku malah dia mendekatiku. Rambutku dielus lembut. Aku mengelak. Lelaki
itu merenungku tajam. Wajahnya masih sama seperti lima tahun lepas. Adakah
perangainya juga berubah?
“Mana Muhammad
Mahraz?” Soalku tanpa jemu.
“Mana Mahraz?”
Suaraku mula naik satu oktaf.
Bibirnya terkunci.
Mataku jatuh pada wajahnya. Mata bening itu memandangku tenang. Tiada langsung
riak di wajahnya.
Aku cuba turun
daripada katil tetapi dia menghalang. Berkali-kali aku meronta namun usahaku
gagal. Tidak aku punya kekuatan untuk melawannya. Akhirnya aku tersandar lemah
di birai katil. Kelopak mataku bergenang.
“Mana anak Iqah?
Mana Araz?”
“Mana? Mana dia?”
Bentakku kasar selepas Khasyi hanya membisu.
“Dia..”
Kata-katanya
terhenti. Aku menagih jawapan daripadanya. Mana anakku? Mana permataku? Kenapa
dia tidak ada di sini?
“Dia apa?”
“Dia hilang,”
tuturnya teragak-agak.
Aku memejamkan mata.
Linangan air mata mula mengalir di pipiku. Dahiku ditekan berkali-kali. Hilang?
Aku menggeleng. Bagaimanakah keadaaan Mahraz sekarang ini? Dia hanya
kanak-kanak berusia lima tahun!
Khasyi merangkul
erat tubuhku. Aku menumbuk dada bidangnya berkali-kali.
“Ini semua salah
abang! Ini semua sebab abang. Kenapa abang bencikan dia? Kenapa abang tak suka
dia?”
“Maafkan abang,
sayang.”
Aku tersenyum sinis.
Kemaafan yang dihulurkan kepadaku takkan pernah mengembalikan Muhammad Marhaz.
“Maaf Muhammad Hail
Khasyi takkan pernah kembalikan Muhammad Marhaz. Takkan!” Bisikku keras. Lelaki
itu terpana.
*****
Sudah tiba bulan
berlalu dan permata hatiku tetap tidak kembali. Berpuluh-puluh cara telah aku
usahakan namun semuanya menemui jalan buntu. Muhammad Mahraz tidak dapat
dikesan! Kata polis, dia mungkin diculik dan dibawa ke negara jiran.
Aku mengikat
rambutku lalu berdiri di balkoni. Membiarkan angin malam menyapa pipi. Langit
yang bertemankan bintang dan bulan langsung tidak menenangkan hati. Terbayang
di fikiranku senyuman Mahraz. Ketawa Mahraz. Keletah Mahraz.
Akhirnya, untaian
hangat menitis. Pinggangku dirangkul dari belakang. Aku menoleh. Wajahku
berubah.
“Jangan sentuh
Iqah!” Keras sahaja suaraku menerjah gegendang telinganya.
“Kenapa abang tak
boleh sentuh Iqah?”
Ku biarkan saja
soalannya tidak terjawab. Siang malam dia berada di sisiku. Semua yang aku
mahukan, pasti dia cuba untuk tunaikan. Aku lelah. Lelah dengan semua ini.
Kenapa lelaki ini harus ada di sini saat aku perlukan masa untuk sendiri?
Aku bukan insan yang
suka meluahkan rasa. Apa yang aku rasa, biarlah hanya aku dan Yang Esa saja
yang tahu. Rasa janggal turut hadir. Mungkin kerana bertahun-tahun lamanya
tidak bertemu Muhammad Hail Khasyi.
“Iqah risaukan Araz
ke?” Tebaknya selepas kami hanya berdiam diri.
“Memang! Memang Iqah
risaukan dia. Dia jantung hati Iqah. Iqah tak kisah dia tak sempurna macam
kita. Tak kisah orang cakap dia terencat atau apa. Dan Iqah tak kisah kalau
ayah dia tak kisahkan dia. Dia masih ada Iqah,” balasku dingin.
Khasyi mengetap
bibir. Mungkin terngadah. Biarkan! Biarkan dia terngadah.
“Abang.. Abang tahu
abang silap. Masa tu abang keliru. Abang tak dapat terima kenyataan yang anak
abang tak sempurna. Abang perlukan masa untuk sendiri.”
Bibirku melakar
senyuman sinis.
“Iqah tak peduli.”
“Maafkan abang,
Iqah. Kalaulah abang boleh undurkan masa,” ucapnya menyesal.
“Encik Muhammad Hail
Khasyi, tak perlu ucapkan sejuta kali maaf. Kerana hati ini tetap sama. Keras
lagikan sakit. Boleh tak lepaskan saya dari hidup encik?”
Lelaki itu
menggeleng. Nafasnya turun naik. Wajahnya merah menahan amarah. Tangan kirinya
menggenggam penumbuk. Pasti aku menjadi mangsa tumbukannya kalau aku ini bukan
wanita dan bukan isterinya.
Pasti tidak suka
dengan kata-kataku. Aku kenal lelaki ini. Jika marah, dia pasti menggenggam
penumbuk. Tanda cuba bersabar. Ah! Pedulikan.
“Takkan! Abang
takkan pernah lepaskan sayang. Langkah dulu mayat abang.” Dia memberi amaran
kepadaku.
“Kenapa?” Bentakku.
Tangannya masih
merangkul erat pinggangku. Bibirnya didekatkan dengan cuping telingaku. Seperti
yang aku pernah lakukan kepada dia.
“Sebab abang
cintakan sayang. Sebab hanya ada Nur Raiqah di hati abang.”
Aku terpempan.
Lelaki itu meleraikan pautan lalu melangkah pergi meninggalkan aku.
*****
Dahiku mencium tikar
sejadah. Air mataku merembes keluar. Betapa berdosanya aku selama ini kepada
suamiku. Aku berkasar dengannya. Aku menengkingnya. Ya Allah, benarkan
keputusanku ini? Menerimanya kembali.
Dia kembali di saat
Muhammad Mahraz pergi meninggalkan aku. Aku tahu dia cuba merawat duka di hati.
Dan aku tahu dia juga menyayangi Mahraz. Buktinya, siang malam dia berusaha
mencari di mana keberadaan anakku.
Usai menyapu mukaku,
aku mengangkat tangan. Berdoa. Sesungguhnya hanya kepada DIA aku mengadu dan
meminta.
“Ya Allah,
ampunkanlah dosaku. Dosa suamiku, dosa ahli keluargaku serta seluruh dosa umat
Islam. Engkau permudahkanlah urusanku di atas muka bumi-Mu ini, Ya Allah.
Engkau kembalikanlah anakku dalam keadaan sihat walafiat jika itu yang
tertakdir untuk dia. Berikanlah aku kekuatan menempuh dugaan-Mu.
Tunjukkanlah aku
jalan yang lurus. Berkatilah rumah tangga aku hingga ke syurga-Mu.” Aku mula
menanggalkan telekung. Melihatkan rambutku yang ditocang tinggi.
Saat aku berpaling,
aku lihat Khasyi berdiri di belakangku. Aku terkejut.
“Dah lama ada kat
sini?” Soalku teragak-agak.
“Sejak Iqah mula berdoa.”
Pasti dia mendengar
doaku. Mendengar setiap aksara yang meluncur keluar dari bibirku.
Mataku jatuh pada
wajahnya. Kelopak matanya bergenang. Dan sesaat kemudian, titisan jernih mula
menodai pipinya. Khasyi mengorak langkah lalu mendekatiku. Tubuhku dirangkul
erat. Aku rasa selamat saat ini. Aku rasa dilindungi tika ini.
“Maafkan Iqah,
abang.”
“Kita mula hidup
baru, sayang.”
*****
Aku menongkat dagu. Hampir setahun Muhammad
Mahraz tidak dapat ditemui. Perutku yang memboyot aku usap penuh kasih sayang.
Hebahan di akhbar dan kaca televisyen tetap menemui jalan buntu. Dia tidak
dapat ditemui!
“Araz baliklah, mama
rindukan Araz. Papa pun rindukan Araz. Araz akan ada adik. Baliklah!” Rintihku
sendiri.
Di hadapan suamiku,
aku berpura-pura bahagia. Namun di belakangnya, aku menangis pilu. Tidak mampu
aku terima suami ini. Biar aku simpan duka ini seorang ini.
Telefon bimbitku
berdering. Perlahan-lahan aku bergerak lalu mencapai telefon bimbitku yang
berasa di atas meja telefon.
“Assalamualaikum.”
“Wa’alaikumsalam!
Sayang, polis dah jumpa Araz!”
Hatiku berbunga.
Terima kasih, Ya Allah.
*****
Tubuhku longlai.
Lututku bagaikan tidak mampu menampung berat badanku. Aku mengetap bibir.
Menahan air mata daripada menitis. Khasyi mendekatiku. Wajahnya suram. Dia
mengusap belakangku. Cuba mengalirkan kekuatan kepadaku.
“Jom sayang. Pasti
Iqah nak tengok Araz,” ujar Khasyi.
Aku mengangguk.
Tanganku dipimpinnya lalu kami masuk ke dalam bilik mayat.
Sekujur tubuh yang
tidak bernyawa sedang terbaring kaku. Tangan dan kakinya dipotong. Hatiku
digasak rasa sayu. Kasihan Muhammad Mahraz. Diseksa sehingga mati.
Inikah yang terbaik untukku, Ya Allah?
Engkau kembalikan
dia kepadaku dalam keadaan tidak bernyawa lagi.
Betapa kejamnya
insan yang melakukan sebegini kepada dia! Teganya dia melukai Muhammad Mahraz.
Terketar-ketar aku mengusap rambut Mahraz. Kelopak mataku hangat dan tanpa
mampu aku tahan, titisan jernit merembes laju.
Mataku jatuh pada
wajahnya. Sungguh tenang dan bibirnya seolah-olah melakarkan senyuman bahagia.
“Araz, anak mama.
Mama rindukan Araz. Mama sayangkan Araz tapi kenapa Araz pergi tinggalkan
mama?” Soalku pedih.
“Abang, kenapa dia
tinggalkan Iqah? Kenapa?” Aku bertanya pula kepada Khasyi. Dia menunduk. Aku
tahu dia turut menangis.
Aku tersentak di
kala Khasyi menepuk bahuku. Sebotol air mineral dihulurkan kepadaku. Aku
menggeleng. Aku tidak lapar. Along dan Kak Zarqa berbual. Keluargaku dan
keluarga mentuaku dalam perjalanan ke sini.
Aku bersetuju doktor
melakukan post mortem.
“Tuan, puan.” Aku
mendongakkan wajah. Inspektor Zainudin yang mengendalikan kes Mahraz memandang
Khasyi dan aku silih berganti.
“Penjenayah sudah
ditangkap. Kami akan mengambil tindakan yang sewajarnya.”
Bibirku melemparkan
senyuman hambar. Tidak sanggup aku bertentang mata dengan insan yang telah
membunuh anakku!
“Araz tahu mama
masih sayangkan papa. Mama, tempat seorang isteri di sisi suami.” Masih
terngiang-ngiang kata-kata terakhir Muhammad Mahraz di cuping telingaku.
Ya Allah, kuatkanlah
hamba-Mu ini.
*****
Tanganku memegang
batu nisan. Aku mengukirkan senyuman.
“Araz, semoga Araz
bahagia di sana. Suatu hari nanti, mama pasti akan ikut Araz jugak. Mama tahu
ini semua ujian untuk mama. Araz anak yang baik, taat. Mama tak menyesal dapat
anak macam Araz. Mama sayang Araz,” tuturku dalam sendu.
Khasyi merangkul
bahuku.
“Sayang, jom
balik.”
Aku mengangguk
lemah. Perlahan-lahan aku bangun lalu dia memimpinku pulang. Langkahku terhenti
seketika. Memandang kubur Muhammad Mahraz seketika sebelum meneruskan langkah.
Langit yang mendung aku tatap.
Aku masuk ke dalam
perut kereta. Khasyi merenungku.
“Iqah jangan
bersedih. Kita semua milik DIA. Mestilah kita kena kembali kepada DIA. Semua
yang bernyawa pasti akan mati.”
“Tapi Iqah sayangkan
Araz.”
“Abang pun sayangkan
dia. Allah sayangkan dia sebab tu Allah ambil dia kembali.”
Aku menghela nafas
lemah.
Setibanya aku di
rumah, aku meluru masuk ke dalam bilik. Ku biarkan Khasyi bersendirian di ruang
tamu. Aku menghamburkan tangisan. Duka ini sangat menyakitkan.
Dan tiba-tiba, ada
tangan menyapa lembut bahuku.
“Nur Raiqah, jangan
simpan duka tu seorang diri. Abang selalu ada untuk Iqah.”
Air mataku
dikesatnya.
“Abang sayangkan
Iqah. Iqah kena jaga kesihatan. Baby
perlukan Iqah.”
Aku mengangguk. Muhammad Mahraz, mama doakan anak mama
bahagia di sana. Aku perlu kuat. Aku perlu tabah. Masih ada seribu satu dugaan
yang perlu aku lalui. Aku tidak boleh tersungkur dengan mudah.
“Maafkan Iqah,
abang.”
Dia melakarkan
senyuman. Ya Allah, aku redha dengan ketentuan-Mu. Ini bukan penghujung
hidupku. Nur Raiqah wanita yang kuat! Semoga hari esok lebih baik dari hari
ini.
Subscribe to:
Posts (Atom)