cerpen : Dia Pilihanku

DIA PILIHANKU

  Jemariku menekan dahi berkali-kali. Kini, kerana kesilapanku aku sendiri, tiada Naurah Faghira di sisi. Mataku jatuh pada pagar balkoni. Seandainya aku mampu undurkan masa. Seandainya aku tidak mempercayai segala kata-kata Haziqah.

  Semuanya sudah terlambat. Seorang Naurah Faghira telah tiada.

  Kelopak mataku sudah bergenang dan tanpa mampu aku tahan, air mata lelakiku menitis jua. Terhinggut-hinggut aku menahan esakan dalam kegelapan malam.

*****
  Sedari tadi aku hanya membisu. Memandang sepi secawan kopi yang sudah sejuk. Aku melarikan pandangan di kala pandanganku dan bekas ibu mentuaku bertaut. Selalu saja aku ke sini usai menziarahi kubur Naurah.

  “Waqar sihat?”

  “Alhamdullilah, sihat.”

  Namun hati ini tidak sihat sama sekali!

  Dari jauh aku memandang Haziqah yang sedang duduk menekur lantai. Aku tahu dia rasa bersalah atas apa yang berlaku. Sudahlah. Naurah tetap tiada meskipun Haziqah menyesali perbuatannya. Isteriku tetap pergi…

  Kenyataan itu tidak pernah berubah.

  “Dah tiga tahun Naurah pergi,” ujar bekas ibu mentuaku mendatar.

  Lidahku kelu. Tiga tahun? Mengapa dirasakan bagai semalam dia pergi meninggalkan aku?

  “Mak rindukan dia.”

  Aku juga. Sungguh aku rindukan dia.

  Dan rasa rindu itu tidak pernah hilang meskipun sesaat. Sebaris namanya tetap terpahat kukuh di hatiku.

  Senyumannya, tangisannya, gelak tawanya. Semuanya tidak pernah aku lupakan! Seorang wanita yang lemah. Naurah Faghira selalu mengalah, selalu jatuh. Dan kerana itu, dia pilihanku. Aku tahu dia tegar sebenarnya.

  Jika dia tidak tegar, dia tidak akan menuruti permintaan bekas ibu mentuaku supaya menggantikan Haziqah di kala Haziqah melarikan diri.

  “Waqar semakin tua.”

  “Tahu!” balasku sepatah.

  “Waqar tak nak cari pengganti Naurah?”

  Darahku tersirap. Pandanganku dan dia bertaut lama. Cuba mencari maksud di sebalik renungan dan bicaranya.

 Mana mungkin aku akan mencari pengganti Naurah Faghira.

  “Sampai mati pun Waqar akan hidup sendiri,” tuturku perlahan sebelum mengorak senyuman hambar.

  “Sepatutnya Waqar cari pengganti dia. Cari seorang isteri yang mampu jaga pakai dan minum Waqar.”

  “Waqar mampu jaga diri sendiri.”

  Terus aku bangun dan masuk ke dalam perut kereta.

  Tiada siapa mampu menggantikan isteriku.

*****

  Haziqah membisu. Aku menengadah langit. Tidak pasti mengapa dia datang bertemu denganku. Dan jika dia menyuruhku untuk menerimanya sebagai isteri, jawapannya tidak! Sekeping hatiku bukan miliknya.

  “Ziqah minta maaf atas apa yang berlaku dulu,” ujarnya selepas lama mendiamkan diri.

  Aku bangun dan menapak mendekatinya. Pinggangku dicekakkan. Senyuman sinis tercalit di bibirku.

  “Kenapa baru sekarang? Kenapa bukan tiga tahun dulu? Kenapa bukan masa Naurah masih hidup?”

  “Ziqah…” Dia kehilangan kata.

  Melihat wajahnya membuatkan rasa sakit hati menghentak hatiku. Tapi aku akui ada juga salahku.

  Waqar Hijazi, belajarlah daripada kesilapan. Moga kesilapan yang dilakukan tiga tahun lalu menjadi pengajaran.

  Mata Haziqah sudah merah. Aku tahu dia ingin menangis. Aku tahu dia menyalahkan dirinya atas apa yang terjadi. Dia sudah berubah namun aku tetap tidak mampu menerimanya. Waqar Hijazi tidak mencintai Haziqah langsung.

  Belum tentu aku menerimanya meskipun dia rela melakukan apa-apa saja.

  Aku menghela nafas lemah. “Waqar maafkan segala kesilapan Ziqah sebab dulu, Waqar turut melakukan kesilapan yang sama. Naurah seorang isteri yang baik tapi Waqar sia-siakan dia. Seandainya Waqar mampu undurkan masa pasti Waqar takkan buat buat macam tu.”

  “Dia baik. Moga dia tenang di sana,” tutur Haziqah lembut.

  “Waqar nak masuk pejabat dulu. Assalamualaikum.”

  Tubuhku dipalingkan dan aku mengatur langkah meninggalkannya. Langkahku mati di kala dia menyeru namaku. Wajahku dipalingkan.

  “Dia pilihan Waqar dan dia akan terus berada di hati Waqar.”

*****
  Potret Naurah Faghira aku tenung lama. Tanpa sedar, aku mengoyak senyuman nipis. Jemariku menyentuh potret itu.

  Kisah yang penuh penyesalan. Tidak menghargai Naurah Faghira merupakan satu khilaf yang besar.

  “Abang rindukan Naurah,” ujarku sambil tertawa. Air mataku jatuh ke atas potret itu.

  Diam seketika.

  “Naurah pilihan abang dan Naurah akan terus berada di hati abang. Abang relakan Naurah pergi. Terima kasih untuk segalanya. Cinta abang untuk Naurah takkan pernah hilang dan Naurah Faghira adalah pilihan abang buat selamanya.”

  Dia pilihanku dan dia akan terus berada di hatiku. Tiada siapa mampu menggantikan dia. Hanya dia hingga ke akhir usia…



Assalamualaikum dan selamat malam. A short story from me. Hikss... 3 m/s ja.

Acc,  ni sambungan cerpen Bukan Pilihannya. BP macam tergantung gila dan hanna buat sambungan so that orang boleh tahu kisah Waqar.

Tahun depan PMR :)




cerpen : Dia Di Sisi 3 (Akhir)

DIA DI SISI 3

  Mataku jatuh pada sekujur tubuh milik Syaukat. Sudah dibuai mimpi agaknya. Teragak-agak aku mengelus pipinya lembut. Segaris senyuman tersungging di bibirku. Ini suamiku. Aku tidak kisah pandangan orang lain. Aku tidak kisah orang memandang serong.

  Sesungguhnya hanya Syaukat yang mengerti segalanya. Ya! Hanya dia. Aku tidak tahu apa yang dia rasa namun aku cuba untuk mengerti. Cukuplah dia di sisi.

  Dengkuran halus miliknya mula menampar gegendang telingaku. Aku bingkas bangun dan menolak pintu gelangsar. Tubuhku didekatkan dengan pagar balkoni. Malam semakin tua dan aku masih belum melelapkan mata. Sudah sebulan lebih aku dan Syaukat mendirikan rumah tangga. Benar aku bahagia.  Takdir Allah yang terindah untukku.

  “Safi…”

  Lantas aku berpaling. Memandang Muhammad Syaukat yang bersandar pada kepala katil. Aku mengatur langkah mendekatinya.

  “Tak tidur lagi?” sapaku lembut.

  “Terjaga. Syaukat sedar yang Safi tak ada di sisi Syaukat.”

  Aku mengangguk.

  Perlahan-lahan aku melabuhkan punggung di sisinya. Kakiku dilunjurkan lurus. Dia merebahkan kepalanya di atas ribaku. Bibirku mengoyak senyuman mekar. Jemariku mengelus rambutnya. Pandanganku dan lelaki itu bertaut lama.

  “Safi menyesal?”

  “Menyesal? Menyesal apa?”

  Kedengaran desahan nafasnya.

  “Menyesal kahwin dengan Syaukat,” tuturnya mendatar.

  Laju saja aku menggeleng. Tidak pernah sekalipun aku menyesal kerana mengahwininya. Ini yang terbaik. Perkahwinan bukan soal rupa, bukan soal keadaan fizikal. Seorang Muhammad Syaukat ada hak untuk bahagia.

  Sejujurnya, aku tahu dia masih rasa rendah diri dengan keadaannya. Dia masih waswas dengan penerimaanku.

  Andai aku tidak menerima keadaannya, pasti aku sudah meninggalkan dia dulu di kala melihat dia buat pertama kali dalam tempoh sembilan tahun. Rasa di hati ini takkan pernah berubah meskipun sesaat. Sebaris namanya tetap terpahat kukuh di hatiku.

  “Safi tak pernah menyesal.”

  “Syaukat takut Safi malu bila Safi mengaku Syaukat suami Safi,” terangnya kesal.

  “Safi tak pernah malu! Syaukat suami Safi dan Safi bangga mengaku Syaukat ni suami Safi.”

  Jangan pernah meragui kesetiaanku.

  Jemari itu singgah di pipiku lagi. Perbuatan biasa dan aku sudah mangli dengan semua ini. Sungguh aku tidak ingin detik ini berlalu. Seandainya diri ini mampu hentikan waktu…

  Hatiku benar-benar diulit rasa bahagia.

  “Syaukat cintakan Safi.”

  “Safi pun cintakan Syaukat,” balasku sambil tersenyum.

  Tidak perlukan kekayaan untuk buat aku sebahagia ini. Cukuplah dia di sisi. Menghargaiku dan melayani keletahku.

  Menerimanya bukan satu kesilapan.

  Sesaat kemudian, jemarinya melekap di perutku. Terasa seperti dia sedang menangis. “Maafkan Syaukat. Kita tak mampu ada anak.”

  “Safi tak kisah. Ini yang terbaik.”

  “Maafkan Syaukat. Syaukat tak mampu nak  jadi macam suami lain. Syaukat tak mampu nak lindung Safi saat Safi cedera. Syaukat tak mampu nak ada saat Safi susah,” ujarnya dalam sendu.

  Dirasakan seperti untaian hangat sudah menemani dua lekuk pipiku.

  “Cukuplah Syaukat di sisi Safi,” balasku.

  “Tak, sayang. Safi tak sepatutnya berkahwin dengan Syaukat dulu.”

  Tiada apa yang perlu dikesalkan. Malah aku bahagia dengan takdir ini. Bersama dengannya. Membina kehidupan yang baru.

  Seorang Syaukat mengajarku untuk lebih tegar dan tabah. Mengajarku menghargai hari-hari yang berlalu. Kadang-kadang, kita tidak pernah menyangka semua ini terjadi dan kadang-kadang benda yang kita jangka akan terjadi kepada kita sebenarnya tidak akan berlaku.

  Hujung dagunya aku paut memaksa dia memandangku. Jemariku mengesat air mata yang bertamu di wajahnya. Sepasang mata bening itu sudah merah!

  Dan tika ini, untaian hangat itu sudah tuntas.

  Aku kuat. Nur Safi sangat kuat.

  “Safi bahagia dengan pilihan Safi. Safi bahagia kahwin dengan Syaukat!” Keras saja aku memuntahkan aksara.

  “Syaukat takut Safi tak bahagia. Safi layak dapat lelaki yang lebih baik.”

  Aku menggeleng. Nur Safi untuk Muhammad Syaukat! Dia harus tahu.

  “Percayalah. Seorang Nur Safi diciptakan untuk Muhammad Syaukat. Kenyataan itu tak mampu disangkal lagi. Safi bahagia saat Syaukat ada di sisi. Jangan menyesali segalanya. Hati Safi sangat bahagia. Hati Safi hanya sakit saat lihat Syaukat rebah.

  Syaukat yang Safi kenal bukan seorang yang suka menyalahkan diri. Syaukat harus tabah. Safi sayangkan Syaukat dan rasa tu takkan pernah berubah.”

*****

  Prang! Kelopak mataku tertutup seketika. Bibirku diketap. Cuai!

  Tubuhku ditundukkan. Cuba menggapai serpihan pinggan yang dapat dilihat oleh sepasang mata ini.
  Syaukat mungkin sedang berehat di atas. Hanya aku yang turun untuk menyiapkan makan malam. Kilat bersabung. Langit pasti akan menangis sebentar lagi. Aku memandang anak tangga yang ditemani lampu malap. Harus bersihkan tempat ini cepat kerana sebentar lagi, aku akan membawa Syaukat turun menggunakan kerusi roda.

  Sudahlah pinggan pecah betul-betul di anak tangga yang terakhir.

  Telefon rumah berdering membuatkan aku berhenti melakukan tugas. Memandang serpihan pinggan sekilas.
  Leka sekali aku berbual dengan mak.

  “Arggh!”

  Aku berpaling. Mataku membuntang. Gagang telefon terjatuh dari peganganku. Jantungku berdetak laju.

  Syaukat terbaring di atas lantai. Separuh badannya sudah tertikam serpihan pinggan yang pecah sebentar tadi. Kerusi roda miliknya tercampak jatuh ke bawah. Darahku berderau. Benar-benar buntu! Adakah ini kenyataan?

  Lambat-lambat aku mengatur langkah mendekatinya. Tubuhnya aku palingkan menghadapku. Kaca sudah tercucuk di dadanya. Malah di perutnya juga. Darah sudah mengalir sepi.

  Kelopak mataku sudah bergenang.

  “Syaukat…”

  Bibir itu sudah pucat namun dia tetap menggariskan senyuman.

  “Syau… Syaukat sa… sayangkan Saf… fi.”

  “Safi tahu,” ujarku dalam sendu.

  “Syau… Syaukat nak Saf… fi bah… bahagia meski… kipun Syauk… kat d… dah tak ad… da. Bo.. boleh?”

  Aku mengangguk. Air mataku makin galak menuruni lekuk pipi.

  Kelopak matanya tertutup rapat.

  “Syaukat, bangun!”

  Pipinya aku tampar lembut namun dia masih kaku. Bahunya aku gugah berkali-kali. Esakanku makin menjadi-jadi dan langit pun menangis. Titisan hangatku terkena pipinya. Terketar-ketar aku menggapai tangannya lalu aku letakkan jemariku di nadinya.

  Bahuku melurut jatuh.

  Muhammad Syaukat takkan bangun lagi.

*****

  Lidahku kelu. Wajahku diangkat. Menengadah langit malam yang bertemankan bulan dan bintang. Tanpa sedar, terlorek senyuman nipis di bibirku. Aku melarikan pandangan. Menoleh ke belakang. Dulu, dia di sisi. Akan memanggilku di kala aku berdiri sendiri di balkoni.

  Kini, aku sendiri.

  “Syaukat nak kahwin dengan Safi. Nak ada di sisi Safi hingga Syaukat dah tak ada di atas muka bumi ini.”

  Ya! Dia di sisi hingga dia sudah tidak ada lagi di atas muka bumi ini.

  Cintaku takkan pernah berubah meskipun jantungnya sudah berhenti berdegup dan nadinya sudah berhenti berdenyut.

  “Syau… Syaukat nak Saf… fi bah… bahagia meski… kipun Syauk… kat d… dah tak ad… da. Bo.. boleh?”

  Dan Nur Safi masih belajar untuk bahagia. Pemergiannya benar-benar membuatkan hatiku mati. Namun ini yang terbaik.

  Seandainya pinggan tidak pecah. Seandainya dia tidak turun sendiri. Seandainya diri ini mampu hentikan waktu…

  Hatiku masih menangis. Masih tidak mampu menerima semua ini. Syaukat yang aku cinta sudah tiada. Dia tiada lagi di sisi. Hanya ada aku sendiri. Tiada lagi insan yang suka menyentuh pipiku. Tiada lagi insan yang suka merebahkan diri di atas ribaku.

 Sungguh aku rindukan detik dulu.

  Pemilik hatiku sudah meninggalkan aku sendiri.

  “Moga dia tenang di sana,” gumamku sendiri.

  Titisan air mata terkena jemariku. Aku kembali menengadah langit malam.

  Dia ada sisiku hingga dia sudah tiada di sini lagi dan aku bahagia. Sungguh aku bahagia dengan takdirku. Cinta seorang Nur Safi terhadap Muhammad Syaukat tidak pernah berubah. Sebaris namanya akan tetap terpahat hingga diri ini juga sudah menghembuskan nafas yang terakhir!

 
 
 
 Assalamualaikum dan selamat petang. Habis sudah DDS. Berat nak menaip sad ending tapi... bukan semua kisah berakhir dengan bahagia. Ini kali pertama buat kisah lelaki kehilangan kaki. Sama-samalah kita bersyukur kerana cukup anggota badan.

Banyak pengajaran yang Cik Hanna cuba ketengahkan. Antaranya, mereka yang kurang bernasib baik pun layak untuk berkahwin, hidup bahagia. Sungguh Cik Hanna menulis part akhir ni dengan air mata. Sedih tetiba tapi... mungkin anda yang membaca rasa biasa saja. Kesedihan kita mungkin berbeza.

Ini penutup tirai untuk 2012. Yang terakhir kiranya sebab Cik Hanna sibuk nak sekolah.

Tinggalkan komen kalau rajin ya. Sayang anda semua dan maaf atas segala kekurangan. CH hanya manusia biasa.
 
 
 
 

 

 
 
  

cerpen : Dia Di Sisi 2

DIA DI SISI 2

  Ibu Syaukat membisu. Melarikan pandangan namun titisan hangat menemani dua lekuk pipinya. Aku membisu. Masih menagih penjelasan dari wanita tua itu. Angin petang mula menyentuh wajah. Tanganku memegang pagar balkoni kukuh.

  Apa sebenarnya yang terjadi kepada Syaukat? Mengapa dia kehilangan kedua-dua belah kakinya?

  “Syaukat kerja di Singapura. Akauntan,” tutur ibu Syaukat setelah sekian lama mendiamkan diri.
  Diam.

  “Dua minggu lepas, dia cakap dengan mak cik yang dia nak datang sini. Nak jumpa Safi. Nak lamar Safi jadi isteri dia,” sambungnya lagi.

  Lamar aku? Gulp!

  Aku berpaling. Memandang Syaukat yang sedang terkebil-kebil menengadah siling putih. Entah apa yang difikirkannya. Kemudian aku meluruskan pandangan. Pandanganku kosong! Aku tidak mengerti apa yang dia rasa namun renungan seorang Muhammad Syaukat sudah membuatkan hatiku meruntun hiba.

  Dalam diam, aku tahu bahawa Syaukat sedih dengan apa yang terjadi.

  “Malangnya, dia kemalangan. Kaki dia terpaksa dipotong. Mak cik tak salahkan DIA atas apa yang terjadi. Jauh sekali mak cik salahkan Safi. Tapi mak cik tak boleh tengok Syaukat sekarang. Setiap malam dia mesti menangis. Dia cakap, dia dah cacat. Safi mesti dah tak nak dia lagi.

  Dia menangis, Safi. Dan mak cik tahu yang dia fikir Safi akan bencikan dia.”

  “Safi tak bencikan dia, mak cik.” Tekakku terasa payau.

  “Tapi dia fikir sebaliknya.”

  Kelopak mataku terasa bergenang. Lelaki itu telah kehilangan kedua-dua belah kakinya hanya kerana dia ingin bertemuku.

  Takdir yang tidak pernah diri ini sangka.

  “Mak cik ada satu permintaan. Harap Safi dapat tunaikan permintaan mak cik.”

  “Apa permintaan mak cik?” ajuku lembut.

  “Bahagiakan Syaukat.”

  “Insya-Allah.”

*****

  Setiap hari, aku tidak pernah jemu bertandang ke sini. Menjenguk seorang Muhammad Syaukat. Dia menggeleng tatkala aku menyuakan sudu ke bibirnya. Tangannya diangkat tanda tidak mahu menjamah nasi lagi.

  “Dah kenyang.”

  Tercetus keluhan kecil dari bibirku.

  “Makanlah,” pujukku tidak berputus asa.

  “Syaukat dah kenyang!”

  “Tapi Syaukat makan sikit sangat. Syaukat takkan sihat kalau asyik cakap kenyang,” rungutku.

  Bibir itu melakar senyuman sinis.

  Sungguh aku tidak pernah berputus asa untuk mengembalikan Muhammad Syaukat yang sebenar. Syaukat yang tersenyum, tegar, tidak mudah jatuh dan selalu berada di sisiku. Diri ini inginkan Syaukat yang dulu.

  Aku takkan biarkan dia mengalah meskipun sesaat. Mungkin dia kehilangan kakinya tapi dia tidak akan pernah kehilangan diri ini.

  “Kalau Syaukat makan banyak, kaki Syaukat boleh ada balik?”

  Sudah! Terperangkap dengan kata-kataku sendiri.

  “Bukan tu maksud Safi.”

  “Kalau Syaukat makan banyak, Syaukat boleh terima kenyataan ni? Nur Safi, pulanglah. Tak perlu kasihan dengan Syaukat,” ujarnya perlahan.

  Wajah itu menekur selimut yang membaluti kakinya. Ekor mataku mengerlingnya. Kelopak mata itu sudah bergenang. Jemari itu bermain dengan selimut. Lambat-lambat aku menggeleng. Dia menyalahtafsirkan kedatanganku.

  Sekeping hati ini miliknya.

  “Safi datang bukan sebab kasihan dengan Syaukat.”

  Terus lelaki itu mengangkat wajahnya. Sepasang mata bening itu sudah merah. Jelas kedengaran desahan nafasnya yang tidak teratur. Air mata lelaki itu terus dan terus menodai pipinya. Terketar-ketar jemari itu singgah di pipiku.

  “Jadi Safi datang sebab rasa bersalah?”

  Aku menggeleng sebelum tersenyum pahit.

  “Safi datang sebab Safi cin…” Kata-kataku mati. Malu untuk menuturkan kata.

  “Safi pegang ayat Syaukat dulu,” sambungku lagi.

  “Syaukat nak kahwin dengan Safi. Nak ada di sisi Safi hingga Syaukat dah tak ada di atas muka bumi ini.”

  Lama sekali jemari itu singgah di pipiku.

  Takkan pernah aku lupakan kata-katanya meskipun sesaat. Nur Safi pasti Muhammad Syaukat tidak bergurau.

  “Tapi Syaukat cacat, sayang.”

  “Tak ada sebab untuk orang seperti Syaukat tak boleh kahwin.”
 


Assalamualaikum dan selamat petang. Esok hanna letak last part ya. Hanna buat tiga part sebab tak sempat nak menulis panjang. Kelam kabut prepare nak ke sekolah. Hiksss...

Tinggalkan komen kalau rajin ya
 
 
 

 

 
 
  





cerpen : Dia Di Sisi

DIA DI SISI

  Pipiku dielus lembut berkali-kali. Semakin aku menepis jemarinya, semakin galak Syaukat mengelus pipiku. Aku menolak jemarinya lagi. Dia menggeleng sebelum melepaskan tawa kecil. Bibirku diketap. Tubuhku aku peluk lalu aku mengengsot ke tepi.

  “Kenapa lari ni?” ajunya tidak puas hati.

  “Tak suka Syaukat pegang pipi Safi.”


  Lelaki itu hanya tersenyum sebelum melabuhkan punggung di sisiku. Mata bening itu memandangku sekilas sebelum merebahkan diri di atas hamparan rumput yang menghijau. Aku turut melakukan benda yang sama. Mataku melekat pada langit petang. Simbahan sang suria terkena wajahku namun aku biarkan saja.

  Hujung tudung terbuai dek angin. Hanya kami berdua tika ini. Anak-anak kecil yang selalu bermain layang-layang masih belum muncul.

  “Nanti bila Safi besar, Safi nak kahwin dengan siapa?”

  Aku membisu seketika.

  “Syaukat, sekarang kan dah besar dah.”

  “Mana ada besar. Safi baru tingkatan dua. Syaukat pun baru 18 tahun,” ujarnya lembut.

  Benar juga kata-katanya. Aku baru saja berusia 14 tahun. Masih muda dan masih perlu melalui jalan yang berliku.

  Muhammad Syaukat. Seorang lelaki yang aku kenal sejak kecil. Menganggap dia seperti abangku sendiri kerana seorang Nur Safi hanya mempunyai dua orang kakak. Namun aku tahu perasaan Muhammad Syaukat melebihi perasaan seorang abang.

  Adakah aku turut mencintainya?

  “Safi sayang, besar nanti Safi nak kahwin dengan siapa?”

  “Entah!”

  Mana mungkin aku mengetahui aku bakal mendirikan rumah tangga dengan siapa. Jodohku adalah rahsia.

  “Entah?”

  “Ya. Jodoh itu rahsia. Manalah Safi tahu Safi nak kahwin dengan siapa bila Safi besar nanti.”

  “Memanglah tapi bila Syaukat besar nanti, Syaukat nak kahwin dengan…”

  Kata-katanya mati. Terus dia bangun dan bercangkung di hadapanku. Aku turut bangun. Pandanganku dan dia bersabung. Kakiku ditarik memaksa aku melunjurkan kaki dan dia melabuhkan kepalanya di atas ribaku.
  Ingin menolak kepalanya namun aku bagaikan membeku. Jemari dingin itu kembali singgah di pipiku.

  “Syaukat nak kahwin dengan Safi. Nak ada di sisi Safi hingga Syaukat dah tak ada di atas muka bumi ini.”

*****

  Dari jauh, aku pandang ibu dan ayah Syaukat. Entah mengapa mereka bertandang ke rumahku. Ingin bertanya, lidahku kelu. Sepuluh tahun sudah berlalu. Seorang Nur Safi sudah menjadi wanita yang tegar dan tabah mungkin. Syaukat? Entahlah. Terputus hubungan begitu saja.

  Cinta? Mungkin hanya mainan bibir semata-mata.

  “Safi, tolong buatkan air,” laung mak dari ruang tamu.

  Lambat-lambat aku menapak ke dapur. Lama sekali mataku jatuh pada termos. Aku mencapai cawan dan laju saja aku membuka almari dan mengambil bekas teh.

  Jantungku berdetak laju. Bagaikan ada sesuatu yang tidak diingini akan berlaku. Ah! Mungkin perasaanku saja. Aku buka termos. Keluhan kecil tercetus dari bibirku. Tiada air panas pula. Laju saja aku mengisi air paip ke dalam cerek lalu aku letakkan di atas dapur gas.

 Usai membuat air, aku menatang dulang. Kakiku diseret ke ruang tamu berhati-hati. Di kala pandanganku dan ibu Syaukat bertaut, bibirku mengorak senyuman manis. Aku letakkan dulang berhati-hati di atas meja kopi sebelum aku menghulurkan tangan untuk bersalam dengan ibu Syaukat. Sudah berkira-kira untuk pergi namun ibu Syaukat menyapa bahuku.

  “Duduklah,” ujar ayah Syaukat perlahan.

  Terus aku melabuhkan punggung di sisi mak. Ada debar yang tak mampu aku tafsir.

  “Safi kerja apa sekarang ni?” aju ibu Syaukat.

  “Safi kerja kat syarikat pelancongan mak cik.”

  Ibu Syaukat mengangguk.

  Masih menanti ibu Syaukat berkata-kata. Aku tahu mereka datang bersebab. Hakikatnya, sudah lama aku tidak bertemu mereka sekeluarga kerana mereka berpindah ke Johor ketika aku berusia 15 tahun dan terkubur begitu saja hubungan aku dan Syaukat.

  “Syaukat tak datang?” Segan sebenarnya mahu bertanya namun aku gagahkan jua.

  Soalanku membuatkan semua diam tak terkutik. Dahiku berkerut. Rasanya tiada salah dalam tutur bicaraku.

  “Dia nak datang tapi tak boleh,” sampuk ayah.

  “Kenapa pulak?”

  “Ada sebab yang tertentu tapi Syaukat pasti nak jumpa Safi. Safi nak jumpa dia?”

  Terus aku mengangguk. Pastilah aku ingin berjumpa dengan seorang Muhammad Syaukat. Jujur, aku merinduinya. Hatiku milik seorang Muhammad Syaukat tanpa aku sedar.

*****

  Masih tertanya-tanya kenapa orang tua Syaukat membawaku ke hospital namun aku diamkan saja. Suasana yang agak asing bagiku. Memandang lautan manusia yang berpusu-pusu masuk ke dalam lif. Biasalah. Waktu melawat berada di puncaknya. Kepala yang tidak gatal aku garu berkali-kali. Sedari tadi aku hanya membisu.

  Ibu Syaukat menarikku ke dalam lif di kala pintu lif terbuka.

  “Mak cik, kita nak pergi mana?” Aku benar-benar buntu.

  Namun dia hanya mendiamkan diri. Sudahlah! Tiada guna aku bertanya.

  Tidak berapa lama kemudian, pintu lif kembali terbuka dan sekali lagi aku ditarik memaksaku membuntuti langkah ibu Syaukat. Kami berhenti di hadapan sebuah bilik. Hanya beberapa orang yang berpapasan denganku sejak tadi. Tidak ramai seperti wad biasa. Mungkin ini wad kelas pertama.

  “Safi masuklah dulu. Mak cik dengan pak cik nak turun makan,” arah ibu Syaukat.

  Dan tika itu juga mereka hilang dari pandanganku. Aku masih teragak-agak untuk memulas tombol pintu. Akhirnya aku hanya berdiri di hadapan pintu tanpa sepatah kata. Lama sekali aku hanya berdiri kaku. Patutkah aku masuk ke dalam?

  Kelopak mataku tertutup seketika sebelum aku kembali mencelikkan mata dan memulas tombol pintu. Sekujur tubuh sedang terbaring. Samar-samar saja wajah itu pada penglihatanku. Kakiku semakin pantas melangkah mendekati katil. Kelihatan seperti seorang lelaki. Dia berbaring membelakangiku dan pastilah aku tidak mengenali siapa lelaki ini.

  Takut-takut aku menyapa bahunya dan dia menepis jemariku.

  “Pergi!” bentaknya kasar.

  Darahku berderau. Terkejut dengan tengkingnya. Tapi sekali lagi aku meletakkan jemariku di bahunya yang dialasi baju itu.

  “Aku cakap, pergi!”

  “Saya…” Kata-kataku mati di kala lelaki itu berpaling. Jemariku jatuh. Mataku membuntang.

  Pandanganku dan lelaki itu bertaut lama. Bibir itu digerakkan seolah-olah menyebut namaku dalam diam.

  “Syaukat.”

  “Safi.”

  Melihat lelaki ini bagaikan satu kebahagiaan yang tidak akan hilang namun melihat lelaki ini sedang terbaring di atas katil tanpa bergerak merupakan satu kesakitan.

  Sudah bertahun-tahun lamanya aku tidak bertemu lelaki ini dan kini, aku bertemunya kembali. Bertemu di kala dia sedang terlantar di hospital. Kenapa dia berada di sini? Seraut wajah yang tidak banyak berubah.

  Jelas sekali dia terkejut dengan kehadiranku. “Safi buat apa datang sini?”

  “Jum… jumpa Syaukat.” Payah sekali untuk aku menuturkan kata.

  Lambat-lambat dia mengangguk sebelum menepuk sisi katil. Keningku bertaut rapat. Dan Syaukat semakin galak menepuk katil. Menyuruh aku melabuhkan punggung di sisinya. Akhirnya, aku duduk di sisinya yang masih terbaring.

  Sembilan tahun tidak bersua muka. Kini, berjumpa jua di kala dia sedang sakit.

  Jemarinya singgah di pipiku. Perbuatan biasa ketika aku kecil dulu. Cuba mengelak namun lelaki itu menggeleng.

  “Safi makin cantik,” ujarnya lembut.

  Aku membisu.

  “Pipi Safi sejuk.”

  Bagaimana tidak sejuk sedangkan penyaman udara terpasang?

  Lama pandanganku dan Syaukat bersabung. Jantungku berdetak laju. Keliru. Inikah yang dinamakan cinta?

  Seulas senyuman terlorek di bibirnya yang pucat.

  “Safi dah kahwin?”

  “Tak,” balasku sepatah.

  “Dah ada teman lelaki?”

  “Belum.”

  Jelas sekali dia senang dengan jawapanku. Aku buntu. Tidak tahu harus berkata apa. Adakah harus bertanya mengapa dia ada di sini tika ini?

  Dan akhirnya dia membisu meskipun jemarinya masih singgah di lekuk pipiku.

  “Safi, Syaukat nak ke tandas. Boleh tolong?” tuturnya kekok sebelum menjatuhkan jemarinya.

  Terus aku mengangguk.

  Selimutnya tersingkap. Darahku berderau. Andai waktu bisa dihentikan…

  “Ma… mana kaki Syaukat?”

  Muhammad Syaukat hanya tersenyum pahit.
 

BERSAMBUNG...



Assalamualaikum dan selamat petang. Ini cerpen terakhir untuk tahun 2012. Kira penutup tirai sebelum Cik Hanna semakin dewasa.

Tinggalkan komen kalau rajin. Sayang anda semua :)



 
 

 

 
 
  



cerpen : Bagas



  Angin mula menyapa dua lekuk pipi. Dirasakan seperti masuk hingga ke tulang hitam. Langkahku mati di hadapan sebuah pusara yang ditaburi bunga. Terukir pada batu nisan nama seseorang yang terlalu hampir denganku, Bagas…

  Kenangan lalu mula bermain di ingatanku.

*****

   Dwiky Bagas Aditya, biasanya dia dipanggil Bagas. Merupakan sahabatku sewaktu berada di bangku persekolahan.  Persahabatan kami bermula tika berada di kelas 5 SD bersama Kinanti, Dwi dan dulu kami sering bermain bersama-sama. Di saat aku sedih, di saat aku kesepian dan di saat aku punya banyak masalah, dia tidak pernah katakana tidak untuk menghibur hatiku dan membuatku tersenyum. Aku juga begitu di kala dia dihempap seribu satu masalah. Kami selalu menjaga hubungan antara satu sama lain.

   Saat kami sudah memasuki kelas 6 SD, Kinanti dan Bagas tidak lagi satu kelas bersamaku. Hanya aku dan Dwi saja yang berada di kelas yang sama. Walaupun kami sudah tidak sekelas lagi, selalu saja kami bersama dan saling mengingatkan agar persahabatan kami bertambah akrab. Sebelum Ujian Nasional kami menuliskan harapan agar kami lulus dengan nilai yang memuaskan. Jika harapan kami terkabul, tulisan yang bererti harapan itu akan kami buang ke sungai.

  Beberapa bulan kemudian, persahabatan kami mula renggang kerana kami fokus dengan Ujian Nasional dan kami tidak tahu bahawa Bagas terkena penyakit batu karang dan ginjalnya gagal berfungsi.

  Bagas dirawat di hospital. Sudah lama dia tidak masuk sekolah dan kami mula sedar bahawa kami tidak menghiraukannya di saat dia memerlukan semangat untuk melawan penyakitnya. Kami semua mulai khuatir dan baru sedar bahawa sakitnya mula tambah parah. Kami akhirnya sepakat untuk memberi wang untuk meringankan beban orang tuanya untuk membayar ubat-ubatan yang harus diambil oleh Bagas.

*****

  27 Februari merupakan hari lahir Bagas tetapi kami tak memberi hadiah untuknya dan hari itu kami sedang menjalani Try Out Bandar. Aku menghantar mesej kepada Bagas tetapi selalu tidak ada balasan darinya. Aku mengerti kalau dia sedang berada di hospital. Rasa khuatirku makin menjadi-jadi.

   Sesudah Try Out Bandar, Bagas mula kembali ke sekolah. Aku dan sahabatku senang. Hilang rasa rindu yang semakin menebal. Betapa bahagianya aku namun rasa sedih tetap menyelubungi diriku tatkala melihat tubuhnya yang semakin kurus dan wajahnya pucat. Namun aku dan sahabat-sahabatku tetap memberikan semangat kepadanya.

  “Semangat, Bagas! Jangan kalah dengan penyakit,” ujarku, Dwi dan Kinanti.

  Beberapa minggu kemudian, ada khabar dari Kinanti bahawa Bagas masuk ke hospital lagi. Penyakitnya melarat dan semakin parah dari sebelumnya. Kami berdoa Bagas agar dia boleh bertarung dengan penyakitnya dan boleh sembuh kembali. 

  Tika aku dan sahabat-sahabatku yang lain sedang berbual, seorang pelajar dari Kelas 6A mendekati kami.

   "Aku dengar Bagas tengah kritikal sekarang ni. Semangat ya. Doakan dia. Dia perlukan doa kita semua."

  Terus saja kami menangis. Kami inginkan dia sihat dan menduduki Ujian Nasional.

*****

  Pada pertengahan bulan April, aku dan sahabatku sudah sepakat untuk menjenguk Bagas di hospital dan memberi hadiah supaya Bagas lebih tegar melawan penyakitnya meskipun penyakitkanya semakin parah dari hari ke hari.

  Sekitar pukul 7 malam usai aku pulang dari mengaji, aku diberitahu  bahawa Bagas telah meninggal dunia. Terus air mataku menitis. Kenapa dia harus pergi meninggalkanku? Sepatutnya aku dan sahabat-sahabatku yang lain akan menjenguknya di hospital namun kami sudah terlambat.

  Hari seterusnya, usai pulang dari sekolah, kami semua menuju ke rumah Bagas. Rasa sedih semakin bertambah di kala melihat ibu Bagas menangis.

*****

  Lamunanku terhenti. Mataku kembali jatuh pada pusara Bagas.

  “Bagas, kenapa secepat ini kau pergi meninggalkan aku? Aku, sahabat yang selalu bersamamu dan selalu menyayangimu. Memang ini sudah takdir tapi aku akan mengenangmu, Bagas. Aku akan menyimpan harapan kita dulu. Aku takkan buang ke sungai seperti yang kita sangkakan dulu.

  Tubuhku berpaling sebelum aku menoleh seketika. “Aku tidak akan melupakan kau, Bagas. Aku akan selalu merindukanmu dan selalu mendoakan kau agar kau tenang di sana.”

Aku akan selalu mengingatimu,Bagas




 Assalamualaikum dan selamat petang. Sebenarnya cerpen ini bukan Cik Hanna yang tulis. Seorang kawan dari Indonesia yang menulis kisah ini. Ini kisah benar. Bukan kisah yang direka. Cik Hanna hanya menukar kepada bahasa Malaysia saja. 

Sama-samalah kita mendoakan Bagas agar dia tenang di sana.