Aku memandang beg sandangku yang sudah menjadi mangsa Adeeba dan rakan-rakannya. Mataku memandang kemas beg sandangku itu. Tidakkah mereka tahu betapa bernilainya beg itu kepadaku? Air mata yang aku tahan menitis jua.
Adeeba mendekatiku lalu tangannya menyeka air mataku kasar sebelum aku ditolaknya. Cecair pekat berwarna merah mula mengalir di celah jari-jemariku. Para pelajar yang lalu-lalang dan memerhatikan tingkah laku Adeeba hanya tersenyum dan menyindir. Bagaikan aku ini pesalah!
“Kau tak sepatutnya ada di sini. Orang bodoh, orang miskin macam kau patut sedar yang sekolah ini hanya untuk orang yang berkelayakan!” Bentaknya sebelum berlalu pergi. Para pelajar mula bersurai dan aku pantas mengambil beg sandangku yang sudah kotor dan koyak.
Mereka tak sedar bukan semua orang yang hidup di muka bumi ini bahagia dan rezeki melimpah ruah. Aku bekerja siang dan malam untuk membeli beg sandang ini dan hasilnya, beg sandang ini sudah tidak boleh digunakan lagi. Tak mungkin aku mampu undurkan masa. Tak mungkin aku katakan aku tak mampu terima tawaran untuk belajar di sekolah elit ini.
Lantas aku berlari ke belakang bangunan sekolah. Sebuah bangku di bawah sepohon pokok yang besar menjadi tempat aku menghamburkan tangisan. Aku pasti tiada sesiapa di sini kerana waktu persekolahan sudah di penghujungnya.
“Tak guna kalau menangis macam budak bodoh.” Tangisanku terhenti tatkala terdengar suara garau seseorang. Aku menyeka air mataku menggunakan telapak tangan. Jariku yang luka tidak aku pedulikan.
“Awak ni siapa? Buat apa kat sini?”
Lelaki itu ketawa. Baju sekolah yang tidak dimasukkan ke dalam seluar dan tali leher yang hilang entah ke mana membuatkan aku berasa takut. Takut dia salah seorang daripada rakan Adeeba. Dia melabuhkan punggung di atas tanah tanpa menghiraukan seluarnya yang mungkin kotor.
“Aku ni manusia dan tak salah kalau aku duduk kat sini. Sekolah ni bukan kau punya pun!” Memang! Memang sekolah ni bukan aku yang punya dan kerana itu aku dibuli.
Tengku Adeeba. Nama yang begitu cantik tapi sayang, perangainya tidak mampu menjadi secantik dirinya. Sepanjang beberapa bulan aku di sini, aku mendapat tahu dalam dirinya, mengalir darah diraja. Seorang yang bongkak dan pembuli. Aku, manusia yang menjadi mangsa bulinya. Aku tidak tahu apa salahku. Apabila ditanya, jawapannya cukup mudah.
“Aku buli kau sebab aku bencikan kau! Kau tak sepatutnya ada di sini.”
Apa salahku sehingga dia bencikan aku? Setahu aku, aku tidak pernah melukan hati mana-mana pihak. Hadirku di sini hanya untuk menuntut ilmu. Aku mengaku aku orang miskin namun aku bukannya insan yang boleh dicaci dan dihina sesuka hati.
“Kenapa kau menangis?” soal wajah putih bersih itu tanpa memandang wajahku. Ranting di hadapannya dipatahkan. Haih. Kesian ranting itu. Langsung tidak bersalah.
Aku hanya diam. Membiarkan soalan itu tidak dijawab. Keadaan sekeliling yang sunyi dan sepi tanpa orang yang lalu-lalang membuatkan aku teringat akan satu hadis.
‘Tidaklah seorang lelaki itu berdua-duaan dengan wanita yang bukan mahramnya, kecuali syaitan akan menjadi orang yang ketiga.’ – Hadis Riwayat Al Bukhari dan Muslim.
Aku bingkas bangun lalu mencapai beg sandangku. Lelaki itu turut bangun. Belum sempat aku memulakan langkah, lelaki itu meraih pergelangan tanganku. Aku cuba meleraikan genggamannya tapi tidak mampu.
“Jangan sentuh saya!” Ucapku memberi amaran.
“Kau nak pergi mana?”
“Balik.” Terus dia meleraikan genggaman lalu berlalu pergi. Aku terpinga-pinga dengan tindakannya. Aku menghela nafas sebelum kembali duduk di atas bangku itu. Teringat kembali akan tawaran untuk bersekolah di sini.
*****
Wajahku yang sudah comot tidak aku pedulikan. Keringat yang mengalir di dahiku aku kesat dengan jari jemariku. Mentari yang tidak segan silu menunjukkan dirinya membuatkan aku menjadi dahaga. Cangkulanku terhenti. Aku mengorak langkah. Ingin berehat seketika di tepi pagar. Upah menanam sayur tidaklah banyak mana tapi cukup untuk menyara hidup aku dan ayah.
“Zalfa..” Aku menoleh. Kelihatan seorang kanak-kanak kecil dalam lingkungan 6 tahun menghampiriku. Di tangannya ada sepucuk surat.
“Ya.” Ucapku lembut.
“Ada posmen datang tadi. Lepas tu Nini baca ada nama Zalfa. Sebab tu Nini datang sini. Nah!” Surat itu diserahkan kepadaku. Surat apakah ini?
“Terima kasih.”
“Sama-sama. Nini pergi dulu ya.”
Aku mengangguk. Kanak-kanak itu terus berlari sambil melambaikan tangannya. Aku membalas lambaiannya sambil tersenyum. Alangkah indahnya jika hidupku seperti dia. Tiada apa yang perlu dirisaukan.
Surat itu aku buka.
“Tahniah! Anda berjaya memasuki Jasmine High School dan pengajian anda ditanggung sepenuhnya oleh pihak sekolah.” Aku membaca isi kandungan surat itu. Patutkah aku gembira?
Ayah tersenyum tatkala aku mengkhabarkan berita ini. Ada sinar gembira di wajahnya. Sanggupkah aku menghilangkan sinar gembira itu dalam sekelip mata? Sanggupkah aku? Tapi aku tak sanggup tinggalkan ayah sendiri dalam keadaan ayah sakit. Aku bukan anak yang kejam.
“Nanti ayah bagi duit. Beli barang keperluan.”
Aku menggeleng. Wajah ayah bertukar menjadi keruh.
“Ayah, Zal bukan tak nak pergi tapi ayah kena faham. Kalau Zal pergi, ayah akan duduk sendiri. Zal tak sanggup!” Aku mencapai tangan ayah.
“Habis Zal nak duduk macam ni? Kerja padahal masih muda?
“Itu yang Zal pilih. Zal rela.”
“Ayah tak rela! Zal suka atau tak, Zal kena pergi.”
Aku mengangguk lemah.
Wajah ayah yang bagaikan menahan sakit aku pandang. Lamunanku terhenti. Aku menghampiri ayah. Terasa bahang saat aku berada dekat dengannya. Aku meletakkan tangan kananku di dahinya. Ayah demam! Aku buntu. Harus dibawa ke hospital. Saat ini juga hujan mula turun. Hatiku mula risau. Bagaimanakah aku ingin membawa ayah ke hospital?
Ayah yang sudah tidak sedarkan diri aku papah perlahan keluar dari rumah yang sudah uzur dan meniti waktu untuk rebah ke bumi. Sebelah tanganku memapah ayah dan sebelah lagi memegang payung. Langsung aku tidak kisah hujan yang menimpaku. Ayah lebih penting sekarang ini.
Aku menyusur jalan raya yang dipenuhi puluhan kereta. Aku berhenti di perhentian bas untuk menahan teksi. Ayah yang kesejukan hanya mampu aku pandang dengan belas kasihan. Saat itu, sebuah kereta berhenti di hadapanku. Seorang lelaki keluar dari perut kereta.
Lelaki itu! Lelaki yang sama aku jumpa di belakang bangunan sekolah.
“Kenapa ni?” soal lelaki itu.
“Saya nak bawa ayah saya pergi hospital tapi…” Belum sempat aku meneruskan kata, lelaki itu mendekati ayah lalu memapah ayah memasuki perut kereta miliknya.
“Tengok apa lagi. Cepatlah!”
*****
Tubuhku menggigil kesejukan. Baju kurungku sudah basah gara-gara ditimpa air hujan. Bibirku sudah berwarna biru. Kepalaku sudah berpinar. Lelaki itu datang lalu melabuhkan punggung di hadapanku. Wajahku diratahnya.
“Kau sakit?”
Hanya gelengan menjawab soalannya. Aku terasa tidak bermaya tapi aku tahan saja. Mana mungkin seorang gadis berumur 16 tahun sepertiku mampu menahan sakit sedangkan sakit itu mengurangkan dosa. Mungkin disebabkan hujan sebentar tadi.
“Wajah kau pucat. Kau…” Kata-katanya tidak lagi aku dengar. Pandanganku berbalam. Akhirnya aku rebah di situ.
Aku tersedar. Terasa seperti ada sesuatu menimpa tanganku. Lelaki itu! Aku pandang sekeliling. Ada sofa, televisyen dan barang kelengkapan yang lain. Aku di mana? Aku memicit dahiku. Kepalaku sungguh sakit tika ini.
Perbuatanku membuatkan lelaki itu tersedar.
“Kau dah sedar?” Soalan bodoh diajukan kepadaku. Masa aku tidak sedar lagi sedangkan sudah terang lagikan bersuluh mataku telah terbuka.
“Saya kat mana?”
“Hospital. Kau pengsan tadi.” Oh, pengsan rupanya!
Terus aku teringat akan ayah. Aku bingkas bangun dan ingin turun daripada katil tapi lelaki itu menghalang.
“Jangan turun katil. Ayah kau sekarang tengah tidur.” Dia bagaikan dapat membaca apa yang ada di fikiranku. Aku tidak mampu berbuat apa-apa. Akhirnya aku tertidur. Satu rasa terbit di hati detik itu. Rasa yang muncul tanpa aku sangka. Aku memegang dadaku. Berharap rasa itu lenyap buat selamanya.
*****
Sejak tadi aku menanti lelaki itu di belakang bangunan sekolah. Aku pasti dia akan datang. Aku ingin mengucapkan terima kasih kepadanya kerana membantu aku. Tak mampu aku balas jasa dia.
“Kau tunggu aku?”
Aku berpaling. Lantas aku tersenyum dan mengangguk. Dia memasukkan tangannya ke dalam poket seluar sekolah.
“Saya nak ucapkan terima kasih. Nanti bil tu saya janji saya akan bayar.”
“Sama-sama. Bil tu tak payahlah bayar. Anggap saja aku bersedekah untuk kau wahai Nurul Zalfa.”
Aku pantas menggeleng. Tak mahu terhutang budi.
“Ikut suka kau lah!” Dia terus berlalu. Aku bersandar pada batang pokok lemah. Sesekali aku mengeluh dan menatap langit yang membiru.
Adeeba memasuki kelasku. Aku tahu aku bakal menjadi mangsanya sekali lagi.
“Woi, minah! Datang sini,” tengkingnya. Pelajar lain hanya memerhati. Aku mematung. Langsung tidak mengikuti arahannya.
Dia berang. Lantas Adeeba mendekatiku lalu pipiku ditamparnya. Darah mengalir lagi. Aku menahan sakit. Kali ini aku takkan menangis.
“Apa salah saya?” soalku lemah. Aku hairan. Kenapa guru tidak mengambil tindakan atas sikapnya yang melampau ini? Adakah sebab dia ini anak orang berada?
Adeeba ketawa. Hujung daguku dicengkamnya.
“Kau tanya apa salah kau? Salah kau banyak! Terlalu banyak. Aku bencikan kau. Kau patut mati. Kau patut berambus dari sini.”
*****
Jalan yang berdebu aku susur dengan perasaan gembira. Mana tidaknya. Hari ini gajiku keluar. Aku sudah berjanji dengan ayah untuk membawanya keluar. Tudungku yang bertiup aku pegang erat. Jam pada pergelangan tangan aku kerling. Sudah pukul 6 petang.
Langkahku terhenti tatkala terlihat sebuah Toyota Prius berwarna putih tersadai elok di tepi jalan. Tingkapnya terbuka. Hatiku tiba-tiba digasak rasa ingin tahu. Lantas aku mendekati kereta itu. Seorang lelaki sedang terlena di tempat pemandu.
Aku mengerutkan dahi. Benarkan dia terlena?
“Kenapa encik tidur di sini?” soalku lantang tetapi tiada jawapan. Dengan menggunakan beg sandangku, aku menggerakkan lelaki itu tetapi tiada balasan. Aku mencubit sedikit bahunya tetapi dia masih menutup mata. Aku risau.
“Sakit,” ucapnya lemah. Sakit? Aku belek wajahnya. Tiada langsung luka.
“Sejuk..” Adakah dia demam? Aku meletakkan tanganku yang berlapik di atas dahinya. Panas! Apa yang harus aku lakukan?
Dompetnya di atas dashboard aku pandang. Pasti ada alamat rumahnya. Dompetnya aku buka. Telahanku benar. Tercatat alamat rumahnya. Aku menolak lelaki itu ke tempat sebelah. Giliran aku berada di tempat pemandu.
Kereta berhenti di hadapan sebuah rumah. Bagaikan istana. Lelaki di sebelahku sedang terlena. Aku membuka pintu kereta. Mendekati pengawal keselamatan.
Aku memegang pipiku yang ditampar. Apa salahku sekarang ini?
“Kau buat apa dengan abang aku?” soalnya. Aku kenal suara ini. Adeeba! Rupa-rupanya lelaki tadi abang kepada dia.
“Saya tak buat apa. Saya cuma hantar dia balik,” terangku.
Menyesal pula aku rasakan kerana membantu lelaki itu tadi. Sudah 8 tahun berlalu. 8 tahun aku tidak berjumpa dengan wanita bernama Adeeba ini. Selepas aku disuruh berambus, aku terus keluar daripada sekolah itu.
Sekarang, dia muncul kembali dalam hidupku. Memegang watak sebagai seorang wanita yang kejam.
“Tipu!” Jeritnya.
“Saya cakap benda benar. Kenapa awak tak pernah percayakan saya? Dulu, awak buli saya. Awak suruh saya berambus dari sekolah tu. Saya berambus. Awak nak apa lagi?”
Tiada jawapan untuk soalanku. Sebaliknya dia ketawa. Sumbang saja bunyinya. Adeeba mendekatiku. Hujung tudungku dipegangnya.
“Kau rupanya, Nurul Zalfa. Ingatkan kau dah mati. Masih hidup rupanya.”
“Ya! Saya masih hidup. Masih bernafas dan masih bahagia meskipun bahagia itu sedikit demi sedikit hilang disebabkan awak!” Lurus saja aku menudingkan jadi ke arahnya. Adeeba membengkokkan jari yang aku tuding.
“Memang! Aku bahagia bila kebahagiaan kau tu hilang. Silap aku dulu sebab buli kau sikit. Sepatutnya aku buat kau mati!”
“Kenapa awak begitu bencikan saya? Apa salah saya? Saya tak pernah kacau hidup awak,” luahku kesal.
Wanita di hadapanku ku ini masih seperti dulu. Baik dari segi gaya atau suara. Patutlah dia ini senang saja merosakkan beg sandangku. Lihat saja rumah yang didiaminya. Bagaikan istana. Berpuluh-puluh pembantu rumah dan pengawal keselamatan. Satu yang mustahil untukku.
Namun aku bersyukur meskipun aku tak sekaya dirinya. Aku ada ayah. Itu sudah cukup.
“Kau nak tahu sebab apa aku bencikan kau? Kau nak tahu?”
Aku hanya terdiam.
“Sebabnya cukup mudah. Sebab abang aku cintakan kau, bodoh! Kau rampas abang aku. Masa kau belum datang sekolah tu, hidup abang aku dihabiskan bersama aku saja tapi bila kau datang, semuanya punah. Abang aku dah tak macam dulu. Semua sebab kau!”
Aku terpana. Siapakah abang Adeeba? Kenapa aku tidak pernah tahu dia mempunyai abang?
“Abang awak siapa?”
Matanya merah. Dia mencekakkan pinggang.
“Kau tanya siapa abang aku? Abang aku tu lelaki yang kau jumpa belakang sekolah dulu. Lelaki yang bayarkan bil hospital ayah kau. Kau memang tak guna. Perempuan sial. Perempuan..” Kata-katanya tidak habis. Seorang lelaki melayangkan penampar di wajahnya. Aku terkejut.
Lelaki itu. Lelaki yang aku jumpa di belakang bangunan sekolah abang Adeeba rupanya. Lelaki yang aku cintai dalam diam. Patutlah Adeeba begitu membenciku. Aku pasti dia sangat rapat dengan abangnya sehingga tidak mampu menerima perempuan lain.
“Deeba jangan melampau. Abang tak pernah ajar Deeba hina orang.” Sudah kebahkah dia daripada demam?
Adeeba memegang pipinya. Wajahnya merah menyala.
“Abang yang melampau! Sebab perempuan ni, abang pukul Deeba! Deeba benci abang. Deeba tak rela abang cintakan dia.”
Terus Adeeba berlalu pergi. Meninggalkan aku dengan lelaki ini saja.
Aku mengambil beg sandangku di atas sofa lalu berlalu pergi. Lelaki itu mengejarku dan cepat saja dia meraih pergelangan tanganku.
“Lepaskan saya!” Keras saja suaraku.
Lelaki itu menggeleng. Aku sudah tidak mahu masuk dalam permainan Adeeba dan abangnya. Cukuplah selama ini aku dibenci.
“Lepaskan saya,” rayuku. Mataku sudah berkaca.
Mataku dipandangnya. Perlahan-lahan dia melepaskan pergelangan tanganku.
“Sebab aku lepaskan kau dulu, aku derita. Silap aku sebab biarkan adik aku buli kau. Hati aku berdarah tapi aku tak mampu buat apa-apa. Hanya mampu perhatikan kau. Hanya mampu mengucapkan kata cinta dalam diam.” Dia berjeda.
Terus aku ketawa. Memang sumbang tetapi masih cukup kuat untuk memeranjatkan dia yang hanyut dibuai perasaan.
Aku tidak layak untuk dicintai! Aku hanya seorang manusia miskin lagi hina. Jangankan untuk bersama dengan lelaki ini, hadir dalam hidupnya juga satu kesilapan yang sangat besar lagi menyeksakan. Kerana dirinya, aku derita. Tapi silap diakah kerana mencintaiku?
“Kenapa kau ketawa?”
Mata itu memandang mataku sebelum aku mengalihkan pandangan. Terasa degupan jantungku laju. Saat itu ada satu rasa terbit di hati ini.
“Saya ketawa sebab saya rasa encik tak berguna. Sanggup menampar adik sendiri sebab orang asing dalam hidup encik. Encik, kasih sayang orang asing tu boleh diganti tapi kasih sayang keluarga sendiri takkan pernah boleh diganti.
Sakit dibuli itu telah lama lenyap dalam kegelapan. Hati encik yang berdarah tu tak mungkin saya ubatkan. Cinta encik itu mungkin hanya nafsu semata-mata!” Tingkahku.
Lelaki itu menggeleng. Lalu menyambung kata. “Aku yakin dengan cinta aku. Hati yang berdarah tu, hanya kau yang mampu ubati! Kenapa susah sangat kau nak terima cinta aku, huh?”
Aku tersenyum pahit.
“Saya takkan pernah terima encik selagi ada yang tidak merelakan encik mencintai saya.” Terus aku melangkah pergi. Meredah hujan dan air mataku berjuraian keluar dari pelupuk mata. Hatiku yang sakit aku biarkan saja. Cinta yang berbalas itu tidak mampu buatkan aku tersenyum. Biarkan masa merawat segalanya.
*****
Ayah yang sedang tersenyum aku pandang. Hairan! Kelihatan ayah bagaikan terlalu gembira. Ada apa-apa yang aku tidak tahu?
“Kenapa ayah gembira sangat ni?” soalku usai membersihkan diri.
“Tadi, ada lelaki datang. Dia bawa ayah pergi jalan-jalan masa Zal pergi kerja tadi. Baik sangat laki tu!”
“Ayah, mana boleh macam tu. Dibuatnya dia berniat jahat dengan ayah macam mana?”
Hatiku digasak rasa risau. Takut-takut ada insan yang mencederakan ayah. Cukuplah aku kehilangan ibu. Tidak sanggup lagi aku kehilangan ayah. Hanya dia satu-satunya insan yang mampu menggembirakan hatiku.
Hidupku sudah tidak seperti dulu lagi. Alhamdullilah! Sekarang aku sudah mempunyai pekerjaan tetap meskipun gaji tidak seberapa. Hanya bekerja sebagai seorang guru tadika. Itu sudah mampu untuk menampung hidup aku dan ayah.
“Tak! Mula-mula ayah tak nak ikut tapi dia cakap, dia datang sebab rindukan anak ayah,” tutur ayah sambil tersenyum.
“Lain kali kalau lelaki tu datang lagi, ayah jangan pedulikan dia.”
Aku gusar. Usai menidurkan ayah, aku merebahkan diri di atas katil. Aku memejamkan mataku. Masalah demi masalah yang muncul langsung tidak aku hiraukan. Biarlah hari esok mengharungi semua itu. Untuk hari ini, aku sudah tidak berdaya.
Para pelajarku yang bising aku pandang. Sudah berulang kali aku beri amaran supaya mereka diam tapi langsung amaranku itu tidak diendahkan. Aku menghela nafas. Mengajar mereka bukan satu tugas yang mudah. Harus banyak sabar.
Tapi, mereka jugalah yang buatkan aku masih mampu tersenyum di saat hati menangis hiba. Kanak-kanak. Semuanya menyenangkan hati ini.
“Cikgu..” Jerit seseorang. Aku mengangkat wajahku.
“Ya?”
“Ada orang nak jumpa cikgu.” Shafinaz menudingkan jari ke arah pintu. Aku turut melontarkan pandangan. Memandang pintu tadika yang terbuka luas.
Pen yang aku pegang terjatuh.
“Apa yang awak buat dekat sini?” Getaran suaraku menusuk gegendang telinganya. Wajah tampan itu tampak cemas dan kalut.
“Ikut aku! Deeba kemalangan.”
*****
Dari tadi Adeeba tidak lepas memegang erat tanganku. Matanya berkaca. Aku mengesat air mata yang turun dari mata cantik itu. Bibirnya pucat. Tangannya sejuk. Lelaki itu berada di belakangku. Memerhatikan aku dan Adeeba.
“Z..a..l..fa” Tersekat-sekat Adeeba memanggilku.
Aku tersenyum lalu mengangguk. Rambutnya yang terjuntai aku selak ke belakang.
“Ma..afkan D..Deeba.”
“Pintu kemaafan Zalfa untuk Tengku Natrah Adeeba takkan pernah tertutup. Zalfa maafkan Deeba.”
Tersengguk-sengguk dia menangis. Aku meraihnya ke dalam pelukanku.
“D..eeba rela a..ba..ng cin..cintakan Zalfa. Dee..ba sa..yangkan Z..alfa. Cin..ta Teng..ku Kha..lish E..shan ha..nya un..tuk Za..lfa.”
Patutkah aku tersenyum gembira saat ini? Saat Adeeba merelakan dia mencintaiku.
Nafasnya berombak kencang. Aku gelabah. Memandang lelaki itu. Dia pantas mendapatkan doktor.
“Deeba, ingat Allah!” Bisikku di telinganya.
“Allah..” Hanya itu yang dia ucapkan sebelum matanya terpejam. Pergilah, Deeba. Semoga kau tenang di sana. Sesungguhnya setiap yang bernyawa itu pasti akan mati.
Aku menghamburkan tangisan. Lelaki itu masuk bersama doktor.
“Dia dah tak ada.” Lelaki itu terkulai layu. Air mata lelaki miliknya menitis. Wajah Adeeba aku pandang. Tiada lagi dendam. Tiada lagi kebencian.
*****
Tengku Khalish Eshan. Jujurnya, aku tidak pernah tahu namanya. Sebelum ini, aku merasakan nama itu tidak penting. Namun sekarang, nama itu akan terus tersemat di hatiku. Hanya dia hingga aku menghembuskan nafas yang terakhir.
“Sayang termenung lagi.” Tegurnya. Dia melabuhkan punggung di sebelahku. Aku tersenyum. Tangannya mencapai tanganku lalu digenggam erat.
“Zal cuma teringat Deeba.”
Wajah itu bertukar keruh. Pasti dia sedih.
“Sayang masih marahkan dia?” tekanya.
Aku menggeleng. Langsung tidak terlintas di hatiku tentang amarah. Yang berlalu itu biarlah berlalu. Tidak harus dikenang kembali. Anggap itu satu pengajaran dalam hidup ini.
Raut wajah lelaki itu aku pandang. Tidak aku sangka dia inilah yang datang berjumpa ayah. Berani sungguh! Mujur kedatangannya disambut baik oleh ayahku. Lelaki ini pandai mengambil hati ayah. Aku tahu ayah senang dengan kehadirannya.
Lelaki yang mewarisi empayar milik keluarganya seorang yang matang. Umurnya baru mencecah 27 tahun. Tak banyak yang aku tahu tentang lelaki ini tapi yang pasti, hati ini miliknya. Cinta yang semakin lama semakin mekar.
“Sayang, sayang sayang abang tak?”
“Sayang!”
“Sayang, sayang cinta abang tak?”
“Cinta.”
“Sayang, sayang rela tak abang mencintai sayang?” Dia meletakkan dagunya di atas bahuku.
“Abang, Zal rela abang mencintai Zal.”
“Terima kasih, sayang!”
“Sama-sama kasih.” Kami terus ketawa. Aku merebahkan kepalaku di bahunya. Tak pernah aku sangka lelaki ini akan menjadi suamiku.
Seketika kemudian, aku meletakkan tangan kananku di hadapan wajahnya.
“Kenapa pulak ni?” soal dia hairan.
“Baru Zal teringat pasal bil hospital ayah dulu. Nanti bila Zal ada duit, Zal bayarkan…” Belum sempat aku meneruskan kata, jari telunjuknya diletakkan di bibirku. Tanda menyuruhku berhenti berkata-kata.
“Bil tu tak payah bayarlah. Bukan banyak mana pun. Lagipun tu akan ayah abang juga,” tuturnya sambil mengenyitkan mata.
Aku mencebik. Mentang-mentanglah ayah sayang dia!
“Kalau macam tu, tak apalah. Tak payahlah Zal bayar.”
“Tapi, Zal tetap kena bayar dengan cinta Zal.”
“Pulak! Ikut suka abanglah.” Terus aku mengalah.
“Apa pun terima kasih.” Ucapku.
“Sama-sama cinta.”
Assalamualaikum. Maybe ada yang akan tanya (kalau ada yang tanya) kenapa gueh tak pandai buat cerita cinta, jawapannya cukup mudah. Gueh suka cerita cinta lepas kahwin. Yang sebelum kahwin gueh tak layan. Hikhik. Semoga cerpen ini memberi pengajaran tauladan *ye la tu!* Selamat membaca
bercinta lepas kahwin indah <3
ReplyDeleteyupz.. bercinta hingga ke syurga
DeleteBest ! :D
ReplyDeletethanks ya sbb baca dn komen.. hanna main tulis ja ni
Deletehaish.. apasal best sangat nieh?! *cekak pinggang sambil buat muka cair..* ;p
ReplyDeleteapasal cekak pinggang pulak ni? tehee
Deletebest, best sgt hanna. bab hati berdarah-darah tu ayat yg paling mantop. huhu. waiting 4 next cerpen!
ReplyDeleteterharu pulak baca komen ni.. hehe. Insya-Allah hanna akan mengarang cerpen baru bila idea menjelma
Delete<3 b'chenta lps kawen lg bestt.. ihihi
ReplyDelete-MisxYana
a'ah.. bercinta lepas kahwin lagi best
Deletegud job!
ReplyDeleteterima kasih, kak
Deletecite yg sedeyh tp tak menusuk hati.damn seriously..cik writer mgkin bole refer http://nooraihas.blogspot.com/ dan http://myblog-warnabiru.blogspot.com/..pls make them as ur references. dlm cite mst ade konflik
ReplyDeleteterima kasih atas teguran cik anon
Deletetapi hanna tak selesa cerita ada konflik sebab bagi hanna, kehidupan bukannya selalu tentang konflik dengan orang ketiga. hikss :)
Best best cerpen ni cik Hanna! ! :') sy suke . Ade jugak unsur keagamaan disini :')))))
ReplyDeletebest sampai x terkata
ReplyDeleteBest sangat..Saya suka cinta lepas kahwin.Sebabnya semua dah halal dan menjadi ibadah.
ReplyDeleteBest sangat
ReplyDeleteCinta lepas kahwin memang best sebab semuanya dah halal
ReplyDeletejujur sya katakn..mna2 cerpen ke..novel ke..ending msti kwin dgn musuh..wlhl dlm khidupn..tk mngkin trjd..musuh ttp musuh..wlupn ni cma cerpen rekaan..kbyakkn nya..psti mcm ni..hmm
ReplyDelete