cerpen : Bukan Serupa


  

  Aku meraup wajahku. Wanita yang aku temui sebentar tadi benar-benar menggangguku. Wajahnya, senyumannya, renungannya. Semuanya sama! Tiada yang berbeza. Aku benar-benar terpaku. Tapi mustahil dia! Dia sudah tiada.

  “Imran..” Namaku diseru. Aku berpaling. Najdat menyapa bahuku. Bibirku melemparkan senyuman hambar.

  “Kau ada masalah ke?” Ajunya.

  Lantas aku membawa tubuhku ke jendela. Tanganku dimasukkan ke dalam kocek seluar. Tali leher yang aku pakai telah aku rungkaikan. Satu demi satu masalah datang. Ingatanku masih pada gadis tadi. 

  Najdat berada di sisiku. Dia turut membuang pandang ke luar jendela.

  “Aku nampak Syahindah tadi,” keluhku lemah. Najdat menjongketkan kening. Matanya menyorot dalam anak mataku. Meminta penjelasan daripada kata-kataku.

  “Imran, Syahindah dah mati!”

  Lelaki itu bagaikan mengingatkan aku tentang apa yang berlaku. Aku mengangguk.

  “Aku tahu tapi aku jumpa dia tadi.”

   Ya! Memang benar aku jumpa Syahindah. Dia terlanggarku lalu meminta maaf. Terus terbatal niatku untuk memarahinya apabila terlihat wajahnya. Jantungku seolah-olah terhenti seketika. Gadis itu tersenyum kepadaku lalu berlalu pergi.

  Dan aku kelu di situ. Ingin menyeru namanya tapi lidahku kelu.

  Najat tersenyum pahit. Dia memeluk bahuku. Mataku ditutupnya.

  “Imran Saghir, yang kau jumpa tadi bukannya Syahindah. Syahindah dah tiada!” Bisiknya di cuping telingaku.

  “Aku…” Tidak mampu meneruskan kata.

  Siapa yang tidak sedih apabila tunang pergi kerana kemalangan jalan raya. Sepatutnya keesokan harinya aku dan dia berkahwin tapi takdir Allah mendahului segala-galanya. Enam tahun peristiwa itu berlalu. Sudah enam tahun!

  Kalau Syahindah masih ada pasti dia sudah berusia 28 tahun. Aku menengadah siling bilikku. Aku sudah tua. Kalau balik ke rumah mama pasti dibebel.

  “Imran, lupakan masa lalu. Kau kena kuat. Cukuplah kau dibayangi masa lalu. Aku tahu kau faham kata-kata aku. Kau bukan budak kecil lagi. Fikirkanlah kata-kata aku.” Bahuku ditepuk. Aku memandang sepi langkah Najdat.

  Pelupuk mataku sudah bergenang. Hati, kenapa masih rindukan dia?

*****

  Keretaku terhenti. Seorang gadis sudah terjelopok jatuh. Aku bingkas keluar dari perut kereta. Tiada kereta yang lalu-lalang tika ini.

  “Maafkan saya. Saya tak nampak cik melintas tadi.” Ucapku penuh sopan. Aku mengerling jam pada pergelangan tangan kananku. Aku sudah terlewat untuk menghadiri mesyuarat di Berjaya Holding.

  Gadis itu memanggungkan wajah. Aku tertungkap seketika. Dia pantas bangun. Mataku jatuh ke wajahnya.

  “Tak apa. Salah saya juga sebab tak nampak kereta encik,” tuturnya lembut.

   Syahindah! Gadis ini ialah gadis yang aku jumpa minggu lepas.

  Dia kemudian mencapai beg sandangnya yang turut terjatuh bersama dirinya. Saat itu juga aku dapat menangkap tangannya yang terluka.

  “Cik luka!” Aku menarik tangannya tapi saat itu juga dia meleraikan pautanku.

  “Tak apa. Sikit saja.. Saya..” Belum sempat dia meneruskan kata, aku sudah menarik lengannya lalu menyuruhnya masuk ke dalam perut kereta.

  Gadis itu menolak namun wajahku yang sudah bertukar riak membuatkan dia terpaksa menurut. Degilnya sama seperti Syahindah.

  “Eh, encik ni bukan lelaki yang saya langgar minggu lepas ke?” Ajunya. Suaranya naik satu oktaf. Aku hanya tersenyum.

    Sesaat kemudian aku dan dia membisu. Saat kereta berhenti di lampu isyarat, aku mencuri memandang wajahnya. Raut wajahnya tenang. Sepasang mata yang dia miliki membuatkan aku tersedar dia agak berbeza dengan Syahindah. Dia punya mata yang bundar tetapi Syahindah punya mata yang sepet.

  “Syahindah…” Ucapku di luar sedar. Dia memalingkan wajah. Memandangku.

  “Ya, saya.”

  Dahiku berkerut.

  “Nama cik, Syahindah?”

  Dia mengangguk. Aku sepertinya hilang arah. Saat lampu isyarat menunjukkan warna hijau, aku meneruskan pemanduan. Bercadang untuk pergi ke klinik Najdat. Bolehlah dia merawat gadis ini dan dalam masa yang sama bertemu gadis ini.

  Aku ingin Najdat tahu betapa samanya gadis ini dan Syahindah.

*****

  Gadis itu menggaru kepala. Keadaan klinik Najdat sangatlah sesak. Aku mendekati gadis itu tetapi gadis itu menjauh. Aku meraup wajahku kasar. Tali leher sudah aku campak ke dalam kereta. Meeting dengan Berjaya Holding pun telah aku batalkan.

  “Encik, orang ramai sangat. Saya nak baliklah. Luka saya sikit ja,” tuturnya perlahan. Aku mencekakkan pinggang. Rahangku turun naik. Aku cuba mengawal suaraku. Jelas gadis itu ketakutan.

  “Durrah Syahindah.” Gadis itu berdiri. Aku tetap berdiri tegak.

  Lantas dia berjalan ke bilik doktor. Aku mengekorinya. Baru ku tahu namanya bukan Syahindah saja. Durrah Syahindah. Nama yang cukup indah.

  Tombol pintu dipulas perlahan. Aku turut membolosi ambang pintu. Najdat sedang meneguk minuman. Seketika kemudian dia menanggalkan cermin mata dan meletakkan ibu jarinya pada pangkal hidung lalu mengurut pangkal hidungnya.

   Pasti Najdat keletihan. Tu lah. Aku ajak kerja dengan aku tak nak. Gadis di hadapanku berdiri di hadapan Najdat. Mata Najdat membulat.

  “Syahindah..” Najdat bersuara. Kening gadis itu bertaut.

  “Macam mana doktor tahu nama saya?”

  Haha. Baru tahu apa yang aku rasa apabila terlihat gadis ini tapi kenapa kami dipertemukan selepas enam tahu Syahindah pergi? Ah! Ini yang tertulis untukku.

  “Aaa. Kan ada nama awak dalam kad ni,” tutur Najdat. Dia menghela nafas lega. Matanya kemudian jatuh ke wajahku. Bibirnya menggariskan senyuman sinis.

  “Eh, kau pun ada?”

  Aku tahu soalannya lebih kepada memerliku. Aku tersenyum.

  “Doktor kenal encik ni?”

  Najdat mengangguk. Gadis itu kelihatan bingung.

  Kemudian Najdat mempersilakan gadis itu duduk. Aku masih berdiri. Langsung tidak aku pedulikan bebelan Najdat kepada gadis itu. Yang aku pedulikan hanya gadis itu. Syahindah.

*****

  Aku berdiri di balkoni bilikku. Menengadah langit malam yang sepi tanpa bintang. Bulan pun tiada. Kosong! Sekosong hatiku. Aku bukan makin muda. Makin tua adalah. Tahun ini sudah 30 tahun. Sepuluh tahun lagi pasti menjejak umur 40 tahun.

   Pintu bilikku diketuk bertalu-talu. Pasti Najdat. Hanya kami berdua di dalam rumah ini.

  “Masuk!” Laungku kuat. Lantas daun pintu ditolak. Najdat tersengih. Dia mengorak langkah mendekatiku.

  “Sumpah aku terkejut tadi. Ingatkan aku jumpa Syahindah.”

  “Kan aku dah cakap,” ucapku perlahan.

  Najdat kemudian duduk di atas lantai. Pasti tidak larat berdiri. Lelaki ini sebaya denganku. Akan berkahwin beberapa bulan yang akan datang.

  Aku? Jangankan tunang. Calon pun tak ada. Calon yang mama tolong pilihkan semua tak boleh pakai. Muka plastik semua!

  “Tapi umur budak tu tak sama dengan Syahindah.”

  Tak semestinya wajahnya mirip Syahindah umurnya sama dengan Syahindah. Aku pasti gadis itu lebih muda dari Syahindah.

  “Oh. Dia umur berapa?”

  “18.” Kata-kata Najdat memetik gegendang telingaku. Aku memandang Najdat. Dia mengangguk.
   “Muda lagi,” keluhku lemah.

  Najdat bingkas bangun. Dia berdiri di sebelahku. Dia pasti tahu apa yang aku rasa. Betapa peritnya kehilangan orang yang tersayang.

  “Tapi kalau jodoh takkan ke mana. Lupakan Haifa Syahindah. Kejar Durrah Syahindah.”

  Aku menumbuk perlahan bahunya. Kerja gila tu. Budak tu nak mengundi pun tak boleh lagi. 18 tahun. Sedangkan aku sudah 30 tahun.  Tapi kenapa aku masih teringatkan gadis itu?

*****

  Mama dari tadi membebel. Papa hanya berdiam seperti selalu. Aku menggaru kepalaku. Balik rumah mesti kena bebel. Sakit telinga aku. Tiada siapa yang mampu membantuku ketika ini. Adik-adikku sudah pulang ke universiti.

  “Imran Saghir! Kamu bukan makin muda. Kamu makin tua.”

  “Tahu.”

  “Kalau tahu kenapa tak berkahwin lagi? Puas mama kenenkan kamu dengan anak-anak kawan mama tapi semua kamu tolak. Kamu nak cari perempuan macam mana? Macam Syahindah? Imran, Syahindah dah pergi,” bebel mama. Aku memekakkan telinga. Mataku menatap kaca televisyen.

  “Tahu.”

  Mama mencekakkan pinggang. Dia menghalangku daripada terus menatap kaca televisyen.

  “Mama cakap kamu tengok televisyen. Abang, tengok anak abang ni.”

  Papa melipat akhbar yang dibaca. Tangan mama ditariknya. Mama menarik muka masam. Bibirnya dijuihkan. Mama merajuk sekejap sahaja.

  Mama, anakmu ini bukan tidak ingin berkahwin tapi entahlah.

  “Awak ni biarlah. Imran tu bukan budak kecik. Kalau ada jodoh adalah, kalau tak ada nak buat macam mana?” Ya! Aku sokong papa.

  “Abang ni memang! Saya buat demi kebaikan Imran. Imran dah tua, bang. Jangan kerana Syahindah dia tak nak kahwin sampai bila-bila.”

  “Ma, Imran tahu Imran tua. Imran sedar Indah dah tak ada. Imran bukan budak kecik. Bila tiba masanya pasti Imran berkahwin. Mama jangan risau,” pujukku.

  Wajah mendung itu bertukar cerah. See! Sekejap saja mama merajuk.

*****

  Setelah berhempas-pulas aku meminta salah seorang sahabatku mencari alamat gadis bernama Durrah Syahindah, akhirnya aku berjaya. Aku perlu lakukan sesuatu. Alamat yang tercoret pada sekeping kertas aku tatap lama.

  Keretaku  berhenti di hadapan sebuah rumah. Rumah yang sudah uzur. Hatiku diterpa rasa sayu. Pasti ini rumah Durrah Syahindah. Nampaknya dia dan Haifa Syahindah berbeza. Haifa Syahindah dilahirkan dalam serba kemewahan tapi gadis bernama Durrah Syahinda dilahirkan dalam serba kekurangan.

  Aku keluar dari perut kereta. Mengetuk pintu rumah itu bertalu-talu dan melaungkan salam dan akhirnya seorang gadis membuka pintu.

  “Encik!” Jelas sekali dia terperanjat. Aku mengoyak senyuman.

  “Siapa tu?” soal satu suara. Aku mengangkat wajahku.

  Gadis itu membisu. Baru aku tahu gadis ini tinggal bersama ayahnya. Ibunya telah lama meninggalkan dunia ini. Gadis itu bekerja sebagai cashier di sebuah stesen minyak. Ayahnya pula sudah uzur.

  “Pak cik, sebenarnya ada sebab saya datang ke sini.”

  “Sebab apa tu nak?” Aju ayahnya.

  Aku senang dengan lelaki tua ini. Sungguh berbudi bahasa.

  “Saya nak berkahwin dengan anak pak cik,” luahku sopan. Gadis itu mengerutkan dahi. Dia memandangku dengan riak wajah yang tidak percaya.

  “Tapi, kenapa nak kahwin dengan anak pak cik?”

  “Pak cik, saya cintakan anak pak cik. Saya bukan makin muda, saya makin tua. Pak cik izinkan tidak? Memang saya tak sopan datang ke sini terus tanyakan anak pak cik tapi saya tak boleh tunggu lama. Takut disambar orang.”

  Lelaki itu ketawa.

  “Itu terpulang kepada anak pak cik.”

  Gadis itu berlalu pergi. Pasti malu. Aku menghantar langkahnya dengan anak mataku.

  Apa yang aku buat ni? Ah! Aku keliru.

  “Tapi nak ke anak dengan Indah? Kami ni miskin. Tak berharta.”

  Aku mendekati lelaki itu. Tanganku diletakkan ke atas bahunya.

  Tidak pernah aku kisah pasal harta. Aku tahu mama dan papa tidak kisah juga. Kekayaan yang ada bukan milik kami tetapi milik Yang Esa.

  “Saya terima dia seadanya, pak cik.”

*****

   Daun pintu bilikku aku tolak perlahan. Gadis itu duduk di birai katil. Dia melipat pakaian. Rambutnya yang beralun dan panjang dibiarkan lepas bebas. Aku memejamkan mata. Kenapa aku lihat bayangan Syahindah dalam dirinya?

  “Abang..” Gemersik suaranya menerobos gegendang telingaku.

  Aku mengatur langkah mendekatinya. Lalu aku melabuhkan punggung di sisinya. Tanganku mengelus lembut rambutnya. Wajahnya merona merah. Pasti tidak senang dengan kelakuanku. Aku ketawa kecil. Dia memandangku.

  “Indah ni takut sangat dengan abang. Abang tak makan oranglah,” ucap sambil ketawa.

  Indah memandang wajahku. Anak matanya menerobos dalam anak mataku. Bibirnya melemparkan senyuman manis. Aku terpana! Hatiku berdegup kencang. Melihat senyumannya aku jadi tidak tentu arah. Tapi aku lihat Syahindah dalam dirinya.

  “Indah, boleh abang tanya?” Ajuku lembut. Jari-jemariku bermain dengan tangannya.

  Indah mengangguk.

  “Err. Kenapa Indah terima lamaran abang?”

  Berat untuk aku bertanyakan soalan itu tapi aku teruskan jua. Aku perlu tahu kenapa dia terima lamaranku. Jarak umur antara kami bukannya dekat.

  Mataku jatuh ke wajahnya. Wajahnya tenang memandangku. Aku pasti wajah itu jarang disolek. Jelas ketara keaslian di wajahnya. Agak berbeza dengan Syahindah. Di wajah Syahindah pasti tercolet solekan nipis.

  Kenapa harus aku membezakan isteriku dengan Syahindah? Ah!

  “Sebab Indah yakin abang jodoh Indah. Abang, kenapa abang lamar Indah?”

  “Sebab abang cintakan Indah,” turutku sambil tersenyum kelat.

  Detik ini, aku telah menipunya. Aku tidak mencintai dirinya. Aku berkahwin dengannya gara-gara wajahnya yang mirip Syahindah. Sakitkah hatinya kalau mengetahui kenyataan ini?

  Marahkan mama dan papa kalau turut mengetahui soal ini?

  “Abang, terima kasih kerana terima Indah dalam hidup abang. Indah akan cuba jadi isteri yang terbaik,” lafaznya.

 Aku mengangguk. Kepalanya aku usap lembut lalu aku meraihnya ke dalam pelukanku.

  “Maafkan abang kerana tidak mampu mencintai Indah.” Kata-kata itu hanya mampu aku ucap dalam hati.

*****

  Setelah tiga bulan aku dan Indah mendirikan rumah  tangga, dia mengandung. Alangkah bahagianya aku. Namun rasa cinta itu tetap tidak hadir. Aku keliru dan buntu.

  Indah menghampiriku. Tangannya memegang sebji oren dan sebilah pisau. Aku menggeleng. Asyik-asyik oren. Sampaikan aku turut dipaksa untuk makan oren. Aku merangkul erat bahunya. Dia meletokkan kepala di bahuku. Kaca televisyen ditatapnya penuh makna.

  Loceng rumah ditekan bertalu-talu. Indah bingkas bangun untuk mengetahui gerangan siapakah yang hadir tapi aku halang.

  “Eh, mama. Papa pun ada jugak! Masuklah.” Aku membuka pintu pagar.

   Indah meminta izin untuk menyediakan minuman. Aku tegah berkali-kali tapi dia tetap degil. Mahu tidak mahu aku benarkan juga kerana takut dia merajuk. Sudahlah merajuk sehari semalam tak habis lagi.

  Mama menarikku ke halaman rumah. Papa hanya membuntuti langkah kami.

  “Imran, mama nak tanya sikit.”

  “Tanyalah,” ujarku acuh tidak acuh.

 Mama mencekakkan pinggang. Papa hanya berdiam seperti selalu.

  “Kamu kahwin dengan Indah sebab wajah dia mirip Syahindah bukan?”

  Kata-kata itu cukup untuk buat aku terkedu. Macam mana mama boleh tahu? Aku melabuhkan punggung di atas bangku. Wajahku diraup kasar.

  “Awak ni cakaplah perlahan sikit. Nanti kalau Indah dengar, mati kita,” tegur papa lembut.

   Mama mendengus. Dia berdiri di hadapanku. Aku tahu mama sayangkan Indah. Ya. Dia sayangkan Indah melebihi Syahindah. Aku tidak tahu kenapa tapi kata mama dia senang dengan Indah. Indah menantu yang baik.

   Senang dibawa berbual dan berbincang. Setiap minggu pasti mama menelefonku supaya membawa Indah ke rumahnya. Mereka berdua sangat rapat.

  “Imran Saghir! Jangan berdiam. I need to know the truth.”

  “Habis nak Imran cakap apa lagi? Kan mama dah tahu kebenaran.”

  “What? Jadi betullah apa yang Najdat cakap? Imran, kamu ni ada otak ke tak?” Bertubi-tubi soalan ditanyakan kepadaku.

  Najdat rupanya yang memberitahu mama. Tak guna punya Najdat. Dia sudah berjanji untuk tidak memberitahu mama dan papa. Hatiku digasak rasa geram. Tahulah apa yang aku nak buat dengan Najdat bila aku jumpa dia.

  “Ma, boleh tak jangan buat Imran semakin pening? Tahulah Imran nak uruskan macam mana. Hidup kami bahagialah walaupun tak ada sekelumit cinta Imran untuk Indah.”

  “Bahagia? Imran Saghir, kalau Indah tahu memang kamu takkan bahagia. Kamu jangan buat Indah macam patung. Dia ada hati dan perasaan.”

  “Habis mama nak Imran buat apa? Imran hanya cintakan Haifa Syahindah. Bukan Durrah Syahindah!” Suaraku naik satu oktaf.

  Belum sempat mama berkata, Indah keluar dari rumah. Tangannya menatang dulang. Bibirnya mengoyak senyuman manis. Wajah berseri-seri itu aku tatap seketika. Aku lantas mendapatkanya. Mama berdiam diri. Dia melarikan pandangan. Papa menekur lantai. Indah menggariskan senyuman sekali lagi. Indah memang tidak lokek dengan senyuman.

  “Kenapa duduk kat luar rumah? Maaflah lama sangat Indah buat air.”

  Mama mendekati Indah. Diberikan dulang itu kepadaku. Mama merangkul bahu Indah lalu menyuruh Indah duduk. Mata mama mencerlung apabila pandangan kami berlaga. Aku tahu mama tengah marah.

  “Saja duduk kat sini. Sejuk sikit. Indah, nanti nak masuk universiti mana?” soal mama lembut.

  “Universiti mana pun tak apa, mama. Lagipun kan keputusan SPM tak keluar lagi.”

  Mama mengangguk. Mereka asyik berbual. Papa memerhati halaman rumahku. Aku leka melayan perasaan sendiri.

*****

  Aku merengus kasar. Najdat hanya tersengih.

  “Kau ni sengaja kan nak buat mama aku marah?”

  “Imran, aku bukan sengaja. Aku cuma nak mama kau tahu kebenaran. Aku tak larat simpan rahsia. Kesian bini kau,” ucapnya sambil menjulingkan mata.

  “Banyaklah kau kebenaran. Mama aku dah marah aku. Kelmarin dia pergi rumah aku. Sembur aku. Nasib baik Indah tak dengar.”

  Najdat hanya mencemik. Dia mengetuk  meja makan. Ramai sungguh orang hari ini. Mungkin kerana waktu tengah hari. Semuanya memakai pakaian pejabat.Najdat pula cuti. Kliniknya tidak dibuka hari ini. Cuti apa aku pun tidak pasti.

  “Padan muka! Tapi sumpah aku kesian dengan bini kau.”

  Telefonku berdering. Aku menyeluk kocek slack. Jelas terbias nama mama. Aku mengerutkan dahi. Mama jarang nak telefon aku kalau tak ada hal. Tambah-tambah sekarang tengah merajuk. Memang taklah!
  Aku menjawab panggilannya.

  “Assalamualaikum.” Aku memberikan salam.

  “Wa’alaikumsalam. Imran, balik rumah cepat,” tutur mama. Di hujung talian jelas kedengaran esakan mama.

  Najdat memandangku. Dia menjongketkan kening.

  “Rumah Imran or rumah mama?” Soalku blur.

  “Rumah kamulah! Cepat. Mama tunggu.” Terus mama mematikan talian. Aku menggaru kepalaku. Apa yang terjadi sebenarnya?

*****

  Mama sedang menekup mukanya. Papa berdiam diri. Bahu mama dirangkul papa. Aku hairan. Kenapa mama menangis? Aku mendekati mama. Mama memandangku tajam. Matanya mencerlung.

  Lantas tangannya melayangkan penampar di wajahku. Najdat membulatkan mata.

  “Mama, kenapa tampar Imran? Indah mana?” Sejak dari tadi aku tidak melihat Indah.

  Terus mama ketawa. 

  “Kenapa mama tampar kamu? Kamu dah ada jawapan untuk soalan tu. Indah? Entahlah. Mama pun tak tahu dia pergi mana selepas dia tahu kebenaran,” sinis kata-kata mama.

  “Apa yang mama cakap ni?” Aku cuba mengawal suaraku. Mama menggapai telapak tanganku lalu diletakkan sehelai kertas yang terlipat elok.

  Assalamualaikum, abang.

   Terlebih dahulu Indah minta maaf sebab pergi dari sini. Indah tak berniat nak pergi tapi keadaan memaksa Indah untuk pergi. Indah tak marahkan abang meskipun Indah tahu abang tak cintakan Indah. Sebenarnya Indah dengar apa yang abang dan mama cakapkan.

  Abang, jangan paksa diri untuk cintakan Indah. Walau siapapun Syahindah, pasti dia wanita yang cantik dan hebat kerana itu walaupun sudah bertahun-tahun dia pergi dia tetap di hati abang. Abang, rasa cinta itu boleh dipupuk. Tapi sekarang Indah rasa biarlah antara kita cinta itu tidak hadir. Indah tak nak dikatakan perampas.

  Terus-terang Indah katakan Indah sedih apabila mengetahui abang berkahwin dengan Indah kerana wajah Indah yang mirip Syahindah. Tapi ini yang terbaik untuk Indah. Tak kisahlah wajah Indah dan Syahindah sama. Yang pasti kami bukan serupa. Dia lain dan Indah lain.

  Abang jangan cari Indah. Indah akan kembali kepada abang apabila telah tiba waktunya. Indah boleh jaga diri dan kandungan Indah. Abang, Indah sayang abang…
Yang benar,
Durrah Syahindah

  Aku terduduk. Najdat merampas surat itu dari tanganku lalu dibacanya. Mama menangis teresak-esak.

  Rambutku diramas kasar. Tidak aku sangka semua ini berlaku. Kenapa dia pergi?

  “Imran, kamu dah buat Indah terluka! Kamu dah buat dia pergi,” jerit mama.

  Aku membisu.

  “Macam mana mama dan papa boleh datang sini?” soalku cuba mengalih topik.

  “Tadi mama cakap dia tak sedap hati. Dia terus telefon papa. Papa pun nak tak nak balik dari pejabat. Bila kami sampai, kami tengok pintu pagar terbuka dan ada sepucuk surat atas bangku di luar rumah kamu. Mama baca,” terang papa.

  “Imran Saghir, selagi kamu tak jumpa Indah, jangan harap mama maafkan kamu.”

*****

   Berbulan-bulan Indah pergi meninggalkan aku.  Aku memegang dadaku. Hatiku berkecamuk. Bagaikan ditusuk belati tapi aku tahu dia lebih terluka. Puas aku cari tapi hampa. Puas juga aku bertanya kepada ayah mertua aku tapi dia membisu. Jawapannya cukup muda. “Indah pergi tenangkan diri. Nanti dia kenali. Imran jangan risau. Dia tak marahkan Imran. Ayah pun tak marahkan Imran.”

  Memang benar Indah dan Syahindah bukan serupa. Mereka berbeza. Aku memegang kepalaku yang sedikit berpinar. Syarikat aku biarkan orang kanan uruskan. Aku tiada masa untuk menguruskan Saghir Holding.

  Yang aku tahu sekarang hanyalah mencari Indah. Berpuluh-puluh penyiasat aku upah tapi semuanya tidak berjaya menjumpai dia.

  “Indah, kenapa tinggalkan abang?”

    Empangan mataku pecah. Titisan jernih mula menuruni lekuk pipi dan menodai wajahku. Mama marahkan aku. Kata papa, mama asyik menyebut nama Indah siang dan malam.

  Semua ini salahku! Kalaulah aku boleh ulang waktu bukan jalan ini yang akan diri ini pilih.

  “Abang takkan berhenti selagi abang tak jumpa Syahindah!”

  Durrah Syahindah, nama yang indah seindah dirinya. Benarkan aku tidak mencintai dia? Tapi dia sayangkan aku. Aku buntu.

  Ya Allah, kuatkanlah diriku. Tabahkanlah daku dalam menghadapi ujian-Mu. Maafkan hamba-Mu atas kesilapan yang pernah hamba-Mu ini lakukan. Aku serahkan segalanya kepada-Mu. Betapa aku salah kerana mencintai wanita yang bukan milikku.

  Akan aku nanti insan bernama Durrah Syahindah….


Tak setiap cerita berakhir dengan bahagia.. :')

Aaaa.. Actually akan ada sambungan. Insya-Allah. Terima kasih kepada yang membaca, mengomen, mengshare dan menglike. Lap you very the merry much. Tanpa anda, siapalah saya. Heee. Lupa pulop. Maaf ya kalau typo.



15 comments:

  1. Tak sabar tunggu sambungannya

    ReplyDelete
  2. best gila kottttttt... hehe
    smbung please, stiap ari bka blog nk tngok kot ada episod bru..
    klau bleh smbung cpt skit ek, nk tau ending dia..

    ReplyDelete
  3. best gila kot.... smbung please
    klau bleh cpt skit writer nk tau ending dia.. hehe
    stiap ari bka nk tngok klau ada episod bru..
    apa2 pon best...

    ReplyDelete
  4. bestt smbung la lg-hidayah

    ReplyDelete
  5. best sgt...cpt smbung ye awk..nk tau ending dy mcm ne..

    ReplyDelete
  6. salam..maaf..bukan nk mengata or what..
    awak mmg suka guna heroin yg errr x kerja tinggi ehh..
    sory just asking..cam kalu ada ijazah pon..she still x kerja ikut kelulsan dia..haha..
    just asking cik penulis, no hard feeling ehh :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumsalam
      Taklah cuma entahlah. Hanna pun keliru dengan diri sendiri. Boleh ja kan buat heroin kerja tinggi. Ngehngehngehngeh.
      #masih cuba n cuba nak menulis kisah yang heroin ada kerja ikut kelulusan.
      Tanya ja. Not a big probmlem meh. Hikhik

      Delete

Takut komen?
Jangan risau.
Gueh bukan raksasa makan orang.
Gueh hanna...