Bibirku mengalunkan ayat suci Al-Quran. Mataku terpejam seketika. Sesungguhnya aku berserah segalanya kepada Yang Esa. Usai membaca Al-Quran, aku menanggalkan telekung dan mencapai getah rambut milikku. Aku memandu langkah menuruni anak tangga.
“Saniah…” Namaku diseru. Aku berpaling. Abang mendekatiku. Bibirnya menampal senyuman manis. Bahuku dirangkulnya lembut. Pasti ingin meminta pertolonganku.
Keningku terjungkit. Abang menarikku ke sofa lalu menyuruhku duduk. Dia lesap ke dapur seketika sebelum datang dengan segelas air oren. Aku tahu akalnya. Dia tidak akan melakukan sebegini rupa melainkan ingin meminta pertolongan.
“Tak payahlah duk bagi air oren segala. Nak apa sebenarnya?” Ajuku. Abang menggaru kepala yang tidak gatal lalu tersenyum.
“Pandai adik abang ni. Tak sia-sia jadi adik abang. Err. Tolong abang boleh?”
Telahanku tepat sekali.
“Tolong apa?”
“Tolong temankan abang pergi beli barang,” tuturnya dengan nada yang sungguh sopan. Kalah aku gayanya.
Aku menghela nafas lemah. Ini yang aku tidak suka. Menemani abang membeli barang bukan pilihan yang baik. Sungguh aku rela mendengar leteran ibu berjam-jam lamanya berbanding menemaninya. Abang lelaki yang sungguh cerewet.
Membeli barang saja mengambil masa berjam-jam. Itu belum masuk masa untuk membayar dan sebagainya. Mungkin itu salah satu sebab abang masih belum berkahwin dan single. Ah! Tidak baik aku berkata begitu. Jodoh di tangan Yang Esa.
Raut wajah tenang dan tampan milik abang aku pandang. Sungguh aku syukur kerana mempunyai abang sepertinya.
“Tengok abang pulak. Boleh tak?”
Aku menggoyangkan jari. Wajahnya masam.
“Kenapa? Wardina Saniah, si bunga mawar halus dan lembut, tolonglah!”
Tanganku diraihnya lalu dia melutut di hadapanku. Ini yang aku benci ni. Muhammad Raif selalu tahu cara untuk menangani kedegilanku.
Lambat-lambat aku mengangguk. Abang melompat gembira. Aku menggeleng. Macam mana nak jadi bapak budak kalau perangai macam budak-budak!
*****
Troli yang penuh dengan barang-barang keperluan seharian aku tolak dengan perasaan geram. Abang hanya berjalan selamba di hadapanku. Sesekali dia berhenti melihat makanan yang menarik minatnya. Jam tangan pada pergelangan tangan kanan aku lirik. Masaku sudah terbuang selama 2 jam.
Telefon bimbitku tiba-tiba berdering. Abang berhenti lalu memandangku. Isyarat matanya menyuruhku mengangkat telefon. Aku menjuihkan bibir.
“Assalamualaikum, Saniah. Kamu kat mana ni?” Si pemanggil bertanya laju.
“Wa’alaikumsalam, ibu tercinta. Saniah kat Pacific ni. Teman abang beli barang.”
Abang ketawa kecil. Pasti dia tidak memberitahu ibu terlebih dahulu tentang ketiadaan aku di rumah. Dia tahu ibu sangat khuatir denganku. Khuatir aku diculik katanya meskipun sudah banyak kali aku menyakinkan ibu aku sudah besar dan sudah pandai menjaga diri.
Di sebalik kelembutanku, terselit kekerasan yang amat sangat. Kekerasan yang acap kali membuatkan ibu dan ayah runsing.
“Raif ni pun satu. Bukan nak beritahu ibu. Kalau macam tu, tak apalah. Ibu terkejut Saniah tak ada kat rumah masa ibu balik. Jangan balik lambat sangat. Assalamualaikum.”
“Wa’alaikumsalam.”
Abang mendekatiku. Dia masih ketawa. Lantas aku mencubit lengannya. Terus abang terjerit kecil. Orang yang lalu-lalang memandang hairan. Wajahku merona merah.
“Abang ni sengaja tau!” Ucapku geram.
“Maafkan patik, si bunga mawar halus dan lembut.”
Aku mendengus kasar. Muhammad Raif ini selalu bergurau dengan maksud namaku.
“Raif. Ini Raif kan?”
Aku dan abang terganggu dengan suara seorang lelaki. Abang mendongakkan wajahnya. Dahinya yang berkerut hanya seketika. Selepas itu bibirnya mengoyakkan senyuman. Lelaki itu diraih ke dalam pelukannya.
Lelaki itu menumbuk bahu abang. Ini gaya lelaki. Terlalu santai dan bersahaja.
“Lama tak jumpa kau, mat!” Nada abang naik satu oktaf dek kerana teruja. Ceria habis gitu.
“Apa mat-mat? Aku ada namalah.”
Abang mengangguk. Aku bagaikan patung cendana. Langsung tidak dipedulikan. Lantas aku menapak ke belakang. Tidak selesa diapit dua lelaki. Aku membelek coklat-coklat yang berada kemas di barisannya. Ingin membeli namun tatkala berfikir kembali, aku batalkan kembali niatku.
Di rumah sudah ada banyak. Tidak perlulah membazir. Wajah lelaki itu aku pandang seketika. Sepertinya aku kenal lelaki ini. Cuba memerah kembali otak kalau-kalau aku teringat tentang dirinya namun hampa. Tidak aku tahu apa-apa tentang lelaki ini.
“Lupa pula wahai si air mawar yang setia. Adik aku, si bunga mawar halus dan lembut. Sepandan sungguh.” Aku tersedak mendengar kata-kata abang. Naik minyak sungguh. Kalau lelaki ini tiada, sudah lama lengannya menjadi mangsa cubitanku.
Lelaki itu ketawa. Ketawa yang sangat kerap aku dengar.
“Kau ni tak habis-habis. Saniah sihat?”
“Tanya aku buat apa? Tanyalah adik aku,” tutur abang selamba.
“Sihat?”
“Huh?”
Terus abang ketawa. Aku menggaru lenganku. Lelaki itu menggeleng seraya menampal senyuman manis. Sepertinya aku kenal senyuman ini. Ah! Siapakah lelaki ini sebenarnya? Kenapa aku rasa seperti dia begitu dekat di hati?
“Adik aku blur tu. Jom minum. Aku belanja.”
“Eh, abang. Macam mana dengan semua ni?” Aku menudingkan jari ke arah troli. Abang menepuk dahi. Dompetnya dikeluarkan lalu dia menghulurkan beberapa keping not RM50.
“Tolong bayar. Lepas tu pergi KFC.” Menonong abang dan kawannya pergi. Meninggalkan aku terkulat-kulat di sini. Kurang asam punya abang. Jumpa kawan, adik ditinggalkan.
*****
Aku hanya berdiam diri. Abang dan rakannya asyik bersembang. Aku menghela nafas. Sudah sejam setengah di dalam KFC yang sesak ini. Bermakna tiga jam setengah aku menghabiskan masa bersama abang! Sepatutnya hari ini aku berehat. Berehat seketika daripada berfikir panjang tentang kehidupan yang jerih ini.
Mendekatkan diri dengan Yang Esa. Itu sepatutnya yang aku lakukan hari ini. Bukannya berhuhu haha bersama abang.
“Saniah…” Abang menyeru namaku.
“Kenapa?” Balasku acuh tidak acuh.
“Dia tanya tu.”
Tanya? Tanya apa? Oh, Wardina Saniah. Jangan terlalu asyik berangan sehingga terlupa akan hal sekeliling.
“Sihat?” soal lelaki itu lembut.
“Alhamdullilah,sihat.”
Aku memaniskan wajah meskipun sungguh malas rasanya. Haip! Anak dara tak baik malas. Kakiku sungguh gatal menguis lantai. Kentang goreng yang dibeli dilihat sepi. Aku tiada selera untuk makan. Yang aku tahu sekarang ini hanyalah pulang dan merebahkan diri di atas tilam yang empuk.
Lelaki itu mengangguk. Dia diam seketika. Mungkin tidak tahu ingin bercakap apa.
“Kerja apa sekarang ni?”
“Ajar budak-budak mengaji. Ijazah simpan dalam almari,” celah abang.
Ngee. Abang ni memang. Suka sakitkan hati aku. Bukan tak nak kerja kerajaan. Rezeki tak ada. Bagus apa ajar budak-budak mengaji. Dapat pahala. Apabila kita mati, terputus semua amalan melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang diambil manafaat atau faedah dengannya dan anak yang soleh yang selalu berdoa untuknya.
Lagipun aku memang suka mengajar kanak-kanak mengaji. Kalau tidak dididik membaca Al-Quran dari kecil, pasti besar tidak punya niat untuk membaca Al-Quran lagi.
“Tak apalah. Kerja mulia tu.” Aku melayangkan senyuman sinis kepada abang. Abang mencebik. Sekarang, aku boleh mendabik dada kerana ada yang membela.
“Kenal abang?”
Aku menggeleng.
“Abang, Mawardi Hulaif.” Ucapnya tenang.
Mataku membulat. Rahangku jatuh. Wajahku pucat bagaikan tiada darah yang berani mengalir tika ini. Jantung berdegup kencang. Nafasku tersekat. Parah!
Mustahil ini Mawardi Hulaif. Kenapa aku tidak boleh cam wajahnya? Rasanya aku ingin menangis. Kenapa abang ingin menoreh luka yang sudah sedia dalam lukanya? Abang kejam!
*****
Lenaku terganggu apabila aku merasakan ada insan mencuit pipiku berkali-kali. Terpampang wajah abang yang bengis apabila aku membukakan mataku. Aku menggaru kepalaku yang tidak gatal. Mulutku terbuka beberapa kali kerana menguap.
“Abang ni kenapa?” soalku hairan.
“Tanya kenapa? Apa semua ni?”
Hatiku berdegup kencang. Kenapa diari milikku jatuh ke tangan abang? Matilah aku. Pasti abang akan mengamuk besar.
Tanganku diheretnya kasar menuruni anak tangga. Sebelum itu tudungku dicapai lalu disuruhku memakainya. Aku yang terpinga-pinga hanya menurut kata-katanya. Sungguh aku digasak rasa takut apabila melihat lelaki yang aku cinta berada bersama-sama ibu dan ayah di ruang tamu.
“Terangkan segalanya!” Tegas abang berkata-kata.
“Raif…” Tegur ayah lembut.
Pelupuk mataku sudah bergenang. Sampai hati abang buat aku begini. Lelaki itu hanya berdiam diri sebelum menekur lantai.
“Saniah, Saniah..”
“Saniah apa?” Tengking abang.
Ibu mendekatiku lalu meraihku ke dalam pelukannya. Terus aku menangis. Ini adalah kali pertama aku menangis di hadapan lelaki yang tiada kaitan dalam hidupku. Abang hanya membisu di saat ayah menegur perbuatannya.
Salah akukah atas apa yang terjadi?
“Raif, tak payahlah berkasar dengan Saniah.”
“Jangan bela sangat perempuan ni! Saniah, now tell me the truth!”
Betapa aku takut sekarang ini.Ibu mengusap lembut bahuku. Menyalurkan kekuatan untukku. Mata ibu merenung dalam anak mataku. Menyuruhku memberitahu segala-galanya. Memberitahu rahsia hati yang sudah aku pendam bertahun-tahun lamanya.
“Betul kan Saniah cintakan Hulaif?”
Aku berdiam diri.
“Saniah ni kenapa?”
“Muhammad Raif! Kenapa nak marah-marah Saniah? Cinta itu fitrah. Tidak perlu kamu memaksa adik kamu. You’re too much, Raif! Saniah, masuk bilik.” Suara ayah naik satu oktaf.
Malam itu, aku berteleku di atas tikar sejadah. Air mata yang menodai pipi aku kesat. Jangan menangis lagi, Wardina Saniah. Harus aku simpan sedikit kekerasan dalam diri. Betapa malunya aku tadi. Malu diperlakukan begitu di hadapan Mawardi Hulaif.
Ah! Kenapa harus aku malu dengannya? Sepatutnya aku malu dengan Yang Esa. Aku pertaruhkan rindu untuk insan yang belum tentu untukku.
Pintuku diketuk bertalu-talu. Aku tahu gerangan yang mengetuk pintu itu. Raif! Mustahil si angah yang berada nun jauh di Jepun sana.
“Boleh abang masuk?” Laung abang dari luar bilik. Aku hanya berdiam. Menyeka air mataku lalu menanggalkan telekung.
Daun pintu ditolak lalu dia membolosi ambang pintu. Lantas abang duduk di atas katilku manakala aku berada di atas lantai melipat telekung. Langsung tidak menghiraukan dia. Tanda mogok!
“Maafkan abang.” Meminta maaf itu mudah namun dalam maksudnya.
“Abang tak sepatutnya baca diari Saniah. Abang dah langgar hak peribadi Saniah dan abang tak patut paksa Saniah. Maafkan abang?” Tuturnya lagi.
“Kalaulah maaf tu boleh hilangkan sakit hati Saniah,” ucapku sinis. Abang terngadah.
Tanganku cuba diraihnya namun aku tepis kasar. Wajahnya berubah. Aku tahu abang rasa bersalah yang amat sangat. Hatinya turut sakit tapi hati aku bagaimana? Untuk hari-hari berikutnya aku pasti berasa malu untuk bertemu Mawardi Hulaif.
Setiap hari, aku berdoa. Meminta petunjuk apakah itu sebenarnya cinta atau nafsu semata. Rindu yang hadir, aku tidak hiraukan kerana sepatutnya rindu itu hanya untuk insan yang membimbingku ke syurga. Ya Allah, betapa aku hanya hamba-Mu yang terlalu alpa dengan keasyikan cinta seorang lelaki ajnabi.
“Wardina Saniah..” Aku mendongakkan wajah. Memandang wajah putih bersih milik abang. Hatiku terasa tenang. Bibirku melemparkan senyuman.
“Saniah maafkan abang,” ucapku lembut. Terus dia membawaku ke dalam pelukannya. Bahu diusap.
*****
Terus aku berlari masuk ke dalam rumah. Aku tinggalkan saja barang-barang di dalam bonet kereta. Ayah yang sedang menyelak helaian akhbar di ruang tamu mengerutkan dahi. Angah dan ibu di dapur aku dapatkan.
“Assalamualaikum.”
“Wa’alaikumsalam,” tegur ibu dan angah.
Tangan ibu aku raih lalu aku kucup lembut. Beg sandangku aku letakkan di atas meja makan. Angah yang sedang membasuh pinggan aku dekati lalu aku raih bahunya. Dia menggeleng seraya mencuit pipiku. Aku mengaduh kesakitan.
“Pergi mana tadi? Kenapa tak ajak angah?”
“Abang punya pasallah. Ajak Saniah pergi beli barang. Lepas tu jumpa Ma..” Kata-kataku terhenti. Ibu menjungkitkan kening. Menanti aku menyambung ayat.
Lantas aku melabuhkan punggung di atas kerusi. Membisu saja. Ibu dan angah berpandangan sama sendiri. Sekeping biskut di dalam plastik aku capai. Jari-jemariku mengetuk meja. Ibu mendekatiku. Dia duduk di hadapanku.
Aku mengalihkan pandangan. Tidak mahu anak mataku berlaga dengan anak mata ibu. Takut mata itu mampu menghidu sesuatu.
“Jumpa siapa?” Aju ibu lembut. Angah turut memandangku.
“Err. Jumpa kawan abang. Nama Ma apa entah.” Maafkan aku kerana menipu.
Tiba-tiba bahuku disapa seseorang. Aku menoleh ke belakang. Abang! Matilah aku.
“Jumpa Hulaif,” ucap abang selamba.
Wajahku berubah. Aku lantas menunduk. Ayah yang berada di ruang tamu turut menapak ke dapur. Semua sudah menatap wajahku penuh makna. Aku mengetap bibir. Abang hanya tersengih-sengih. Dia memang sengaja!
Sudah bertahun-tahun nama itu tidak disebut di hadapanku. Tiada sesiapa mengungkit soal itu lagi dan kini, aku pasti hati yang sembuh berdarah kembali. Benar aku tidak tahu bagaimana aku boleh mencintai seorang lelaki ajnabi bernama Mawardi Hulaif.
Namun cinta itu aku rahsiakan dan melarang hati untuk tidak terus mencintai.
“Dia sihat?” soal ayah selepas kami dilanda kebisuan seketika.
“Sihat. Lagi dua bulan dia kahwin.”
Aku biasa-biasa saja mendengar kata-kata abang. Masa merawat segalanya. Buat apa aku menangisi insan yang belum tentu milikku. Sesungguhnya hati ini telah aku letakkan untuk insan bernama suami.
“Saniah tak apa-apa?”
Aku menggeleng. Bibirku seraya melemparkan senyuman manis.
“Saniah bukan budak-budak lagi, ayah. Yang berlalu tu, biarlah berlalu.”
“Alhamdullilah. Beruntung ibu dapat anak macam Saniah.”
*****
Angah meraih tanganku. Riak wajahnya tenang. Bibirnya mengoyak senyuman bahagia. Angah yang tua tiga tahun dariku memang seorang gadis yang manis dan lembut. Berbeza pula dengan abang yang tua empat tahun dariku. Seorang yang lasak dan selamba. Selambanya itulah yang membuatkan aku selalu digasak rasa geram.
“Saniah, boleh angah tanya sesuatu?”
Aku ketawa kecil.
“Sejak bila angah minta kebenaran Saniah kalau nak bertanya?”
“Hurmm. Saniah masih cintakan Hulaif bukan?”
Rahangku jatuh. Aku memeluk tubuh. Membawa diri ke jendela. Memandang sepi langit malam yang kosong tanpa bintang. Mengapa ada yang mengetahui isi hati ini? Angah menapak ke arahku. Dia berdiri di sebelahku.
Jelas kedengaran desahan nafasnya. Angah merupakan seorang pensyarah di Universiti Utara Malaysia. Dia sudah berkahwin. Beberapa hari ini dia tinggal di sini gara-gara suaminya bekerja di luar daerah. Meskipun sudah beberapa tahun berkahwin, angah masih belum dikurniakan zuriat.
“Saniah boleh tipu orang lain. Bukan angah!” Tegas kata-kata angah.
Aku memegang dadaku lalu menutup mata. Angin malam menyapa pipiku.
“Bertahun-tahun Saniah cuba hilangkan rasa cinta itu tapi apa yang Saniah temui hanya jalan mati. Dua bulan lagi, dia akan berkahwin. Saniah harus buang rasa ini jugak!”
“Cinta adalah penyakit yang bahaya. Ubatnya adalah perkahwinan.” Suara angah menerobos gegendang telingaku.
Aku terpana. Terus aku tertungkap seketika.
“Wardina Saniah tidak perlu risau. Jodoh itu di tangan Yang Esa. Setiap insan diciptakan berpasangan. Kalau benar Wardina Saniah diciptakan untuk Mawardi Hulaif, pergilah ke hujung dunia pun Saniah tetap akan bersamanya.
Kalau Saniah bukan untuk dia, kita tidak mampu berbuat apa-apa melainkan berdoa. Berdoa supaya Saniah boleh jumpa lelaki yang lebih layak untuk Saniah.”
Aku mengangguk. Benar kata-kata angah.
Ya Allah, berikanlah aku petunjuk. Aku serahkan segalanya kepada-Mu.
“Wardina Saniah seorang wanita yang halus dan lembut hatinya. Semoga Saniah jumpa insan yang takkan mengubah kehalusan dan kelembutan itu.”
“Mudah-mudahan.”
*****
Perlahan-lahan aku menghela nafas lega. Kanak-kanak sudah beransur pulang. Namun di kala itu juga aku tertancap pada seorang kanak-kanak perempuan berdiri di hadapan pintu pagar rumahku. Aku mengerutkan dahi. Lantas aku memandu langkah mendapatkannya.
“Majdina tak balik lagi ke?” sapaku lembut. Kanak-kanak itu berpaling. Dia menggeleng seraya mengoyak senyuman. Aku melutut di hadapannya.
“Jom akak hantar balik!”
Sepanjang perjalanan, dia tidak habis-habis bercerita. Terhibur aku jadinya. Rumahku yang sepi kerana semuanya bekerja membuatkan aku dilanda rasa sunyi. Angah pula telah kembali ke rumahnya. Aku bertambah sepi lagi.
Langkahku terhenti di pintu pagar sebuah rumah banglo yang tersergam indah. Rumah ini rumah Majdina rupanya. Setahu aku ini adalah rumah milik seorang ahli politik. Muncul rasa segan pula.
Lantas aku menekan loceng berkali-kali. Majdina menyandarkan tubuh pada sebuah kereta yang tersadai di luar pintu pagar. Anak orang kaya rupanya. Aku tidak berapa mengambil tahu latar belakang kanak-kanak yang aku ajar.
“Assalamualaikum,” laungku selepas tiada siapa memberi respon untuk beberapa ketika.
“Wa’alaikumsalam.”
Dirasakan seperti suara yang menyahut salamku berada di belakangku. Lantas aku berpaling. Seorang lelaki muda tersenyum kepadaku. Dia memakai kemeja hitam dan slack kelabu. Tangan kanannya menjinjing briefcase.
“Abang…” Tegur Majdina lalu meraih lelaki itu ke dalam pelukannya.
“Cik ni siapa?” soal lelaki itu sopan.
“Saya yang ajar Majdina baca Al-Quran.”
Lelaki itu mengurut dagunya yang bersih tanpa kumis. Majdina berdiri di sebelahnya. Renungan lelaki itu yang tajam membuatkan aku jadi tidak betah. Wajahku diterpa rasa malu.
“Oh. Wardina Saniah rupanya. Si bunga mawar halus dan lembut,” tuturnya selamba.
Aku terkedu. Kenapa dia tahu namaku? Ah! Mestilah Majdina yang memberitahu. Majdina kan suka bercerita.
“Saya, Azraei. Fidai Azraei.”
Nama yang sungguh unik bagiku.
Dari tadi aku menekur lantai. Pesan ibu, aku harus menjaga pandangan.
“Abang, bila nak lamar akak Saniah?”
Mataku membulat. Betapa aku terperanjat dengan kata-kata yang meniti dari bibir Majdina. Lamar?
Lelaki itu ketawa kecil. Wajahnya merona merah. Pasti malu!
Terus aku teringat Surah An-Nur ayat 26. Wanita-wanita yang baik itu adalah untuk lelaki-lelaki yang baik. Ya Allah, betapa aku bersyukur hati ini tidak lagi milik lelaki bernama Mawardi Hulaif yang hanya menunggu masa untuk menjadi seorang suami dan ayah.
“Akak tahu tak, abang saya suka akak. Setiap hari dia asyik sebut nama akak. Dia cakap, dia jatuh cinta pandang pertama. Nak tegur akak, dia tak berani. Tapi dia dah cakap kat mama yang dia nak meminang akak. Dia..” Belum sempat Majdina meneruskan kata, lelaki itu terus menekup mulutnya.
Aku menggaru kepala yang tidak gatal sebelum ketawa. Aku anggap kata-kata Majdina sebagai gurauan.
*****
Mataku tidak lekang dari menatap kaca televisyen namun fikiranku melayang jauh. Aku asyik teringat peristiwa yang berlaku siang tadi. Tanpa sedar, bibirku mengukirkan senyuman manis.
“Saniah, kenapa senyum?”
Aku tersedar dari lamunan panjang. Rupa-rupanya ayah, ibu dan abang khusyuk memerhatikanku. Aku termalu sendiri. Lantas aku menggaru kepalaku. Abang duduk di sebelahku. Bahuku diraihnya. Itulah hobinya. Mengangguku tanpa sebab.
Di usia 28 tahun, matangnya terlalu sedikit. Pengurus pemasaran ini memang begini!
“Saniah..” Belum sempat aku menghabiskan kata, ada insan yang memberi salam. Kami berpandangan sesama sendiri.
Di dapur, aku asyik berfikir. Siapakah lelaki dan wanita yang datang itu? Kelihatan seperti orang kaya mengikut cara pemakaian mereka. Apakah tujuan kedatangan mereka ke sini?
Aku mengangkat dulang. Cawan-cawan aku letak di atas meja kaca. Tetamu-tetamu yang hadir tidak lekang dari memandangku. Usai aku meletakkan cawan-cawan dan teko air, aku meneruskan langkah untuk berlalu pergi namun ibu menyuruhku duduk.
Aku hanya menurut tanpa sebarang kata.
“Saniah kenal mereka?”
Aku menggeleng. Wanita itu menghadiahkan senyuman kepadaku. Aku membalas lalu menekur lantai. Itu memang hobiku agaknya.
“Saniah kenal Azraei?”
“K..kenal,” ucapku tersekat-sekat.
“Ini ibu bapa Azraei,” terang abang.
Oh! Ini ibu bapa lelaki tadi rupanya. Habis apa kedatangan mereka ke sini?
“Mereka ke sini sebab bertanyakan Saniah.”
“Tanyakan Saniah?” Aku menuding jari ke arah diri sendiri. Wanita yang dikenali sebagai ibu Azraei mengangguk. Tanganku diraihnya. Ada sinar gembira di matanya.
“Tujuan kami ke sini kerana kami ingin menyunting Saniah untuk Azraei. Memang agak tidak sopan mak cik dan pak cik ke sini berdua sahaja. Tapi niat kami ikhlas. Sudikah Saniah menjadi seorang isteri dan ibu untuk Fidai Izraei?”
“Mak cik, tolong berikan masa untuk saya berfikir,” lafazku tenang.
*****
“Ya Allah, kiranya insan bernama Fidai Izraei adalah jodohku, aku rela. Jika dia bukan untukku, berikanlah aku petunjuk-Mu. Sesungguhnya kepada-Mu aku memohon dan berserah. Jadikanlah aku wanita yang solehah.
Panjangkanlah umurku, umur kedua-dua ibu bapaku, umur ahli keluargaku serta umur seluruh umat Islam. Ampunkanlah dosa kami dan permudahkanlah urusan kami di atas muka bumi ini, Ya Rabbul Izzati.” Aku mengaminkan doaku. Air mata terus menitis menuruni lekuk pipi.
Tiga hari kemudian, aku mendekati ibu dan ayah yang sedang asyik berbual. Mereka adalah sifuku. Mengajarku erti hidup. Mereka adalah guru yang hanya meniti masa untuk bersara. Itu kata abang. Aku iyakan saja.
“Ibu, ayah.”
“Kenapa?”
“Saniah sudi berkahwin dengan Izraei.”
Aku yakin dengan keputusanku!
*****
Fidai Izraei yang sedang menyisir rambutnya aku hampiri. Lantas aku capai sikat dari tangannya lalu aku sisir rambutnya penuh kasih sayang. Dia menghadiahkan senyuman kepadaku. Baru aku tahu lelaki ini sebaya dengan abang dan bekerja sekali dengan abang. Ceh! Abang pun satu. Bukan boleh diharapkan sangat.
“Wardina Saniah..” Namaku diseru.
“Ya, saya.”
“Terima kasih kerana terima abang.”
“Saniah yang sepatutnya ucapkan terima kasih.”
“Sama-sama.”
Aku melentokkan kepala di atas bahunya. Wajah tampan itu memandangku redup. Riak wajah yang sungguh tenang ini akan terus terukir di hati. Mawardi Hulaif yang datang ke majlis perkahwinanku tadi hanya tersenyum manis.
Fidai Izrael langsung tidak berenggang dariku. Wajahnya monyok apabila aku meminta izin untuk hilang sebentar dari matanya. Lucu aku dibuatnya. Benar aku bahagia. Takdir Allah adalah takdir yang terindah dalam hidupku.
“Saniah tahu tak macam mana abang boleh jatuh cinta dengan Saniah?”
Aku menggeleng. Tanda tidak tahu. Dia tersenyum lalu mencuit pipiku.
“Pertama kali abang jumpa Saniah di Pacific. Masa tu Saniah cubit Raif. Abang ingatkan Saniah teman wanita Raif tapi abang syukur sangat Saniah adik Raif. Peluang untuk abang masih terbuka luas. Hanya Tuhan yang tahu perasaan abang untuk Saniah.
Setiap hari abang berdoa. Takut-takut bukan cinta yang hadir tapi nafsu serakah semata-mata. Abang buat solat istikharah. Alhamdullilah. Allah permudahkan urusan abang untuk merisik Saniah sebagai suri di hati abang.” Panjang lebar suamiku berkata-kata.
Pipiku merona merah. Rupa-rupanya dia lihat aku mencubit abangku.
Yang berlalu itu biarlah berlalu. Sekarang, aku hanya untuk Fidai Izraei.
“Wardina Saniah…”
“Ya?”
“Saja suka-suka. Wardina Saniah si jantung hatiku. Wardina Saniah yang halus dan lembut orangnya. Fidai Izraei suka Wardina Saniah..”
Perangai macam abangku rupa-rupanya. Padanlah bekerja di bawah satu bumbung yang sama. Dua-dua macam budak-budak!
Ya Allah, terima kasih kerana mengurniakan aku lelaki bernama Fidai Izraei. Semoga rumah tangga kami berkekalan hingga ke akhir dunia. Amin…
aaaa.. Gueh speechless la. Kalau typo tu harap dimaafkan ya
Menarik, first baca terus tertarik...
ReplyDeleteSyabas... :)
hehe. Terima kasih
DeleteBest3x
ReplyDeleteTerima kasih ya cik anon
Deleteok best..
ReplyDeleteterima kasih ya kak... :)
Deletedone! good job.. ada satu perkataan saja yg salah typing....tetamu jadi temamu kot klu xsilap...
ReplyDeleteTerima kasih!
haha. Cik hanna dah perbaik
Deletewow ! memang best !
ReplyDeleteterima kasih ya
Deletebest sesangat..suke bace..=3
ReplyDeleteheee.. terima kasih ;)
Deletegud job!
ReplyDeleteterima kasih, kak
Deletebest
ReplyDeletemmg nama dia izrael ke??
ReplyDelete