DIA DI SISI
Pipiku dielus lembut
berkali-kali. Semakin aku menepis jemarinya, semakin galak Syaukat mengelus
pipiku. Aku menolak jemarinya lagi. Dia menggeleng sebelum melepaskan tawa
kecil. Bibirku diketap. Tubuhku aku peluk lalu aku mengengsot ke tepi.
“Kenapa lari ni?”
ajunya tidak puas hati.
“Tak suka Syaukat
pegang pipi Safi.”
Lelaki itu hanya
tersenyum sebelum melabuhkan punggung di sisiku. Mata bening itu memandangku
sekilas sebelum merebahkan diri di atas hamparan rumput yang menghijau. Aku
turut melakukan benda yang sama. Mataku melekat pada langit petang. Simbahan
sang suria terkena wajahku namun aku biarkan saja.
Hujung tudung
terbuai dek angin. Hanya kami berdua tika ini. Anak-anak kecil yang selalu
bermain layang-layang masih belum muncul.
“Nanti bila Safi
besar, Safi nak kahwin dengan siapa?”
Aku membisu
seketika.
“Syaukat, sekarang
kan dah besar dah.”
“Mana ada besar.
Safi baru tingkatan dua. Syaukat pun baru 18 tahun,” ujarnya lembut.
Benar juga
kata-katanya. Aku baru saja berusia 14 tahun. Masih muda dan masih perlu
melalui jalan yang berliku.
Muhammad Syaukat.
Seorang lelaki yang aku kenal sejak kecil. Menganggap dia seperti abangku
sendiri kerana seorang Nur Safi hanya mempunyai dua orang kakak. Namun aku tahu
perasaan Muhammad Syaukat melebihi perasaan seorang abang.
Adakah aku turut
mencintainya?
“Safi sayang, besar
nanti Safi nak kahwin dengan siapa?”
“Entah!”
Mana mungkin aku
mengetahui aku bakal mendirikan rumah tangga dengan siapa. Jodohku adalah rahsia.
“Entah?”
“Ya. Jodoh itu
rahsia. Manalah Safi tahu Safi nak kahwin dengan siapa bila Safi besar nanti.”
“Memanglah tapi bila
Syaukat besar nanti, Syaukat nak kahwin dengan…”
Kata-katanya mati.
Terus dia bangun dan bercangkung di hadapanku. Aku turut bangun. Pandanganku
dan dia bersabung. Kakiku ditarik memaksa aku melunjurkan kaki dan dia
melabuhkan kepalanya di atas ribaku.
Ingin menolak
kepalanya namun aku bagaikan membeku. Jemari dingin itu kembali singgah di
pipiku.
“Syaukat nak kahwin
dengan Safi. Nak ada di sisi Safi hingga Syaukat dah tak ada di atas muka bumi
ini.”
*****
Dari jauh, aku
pandang ibu dan ayah Syaukat. Entah mengapa mereka bertandang ke rumahku. Ingin
bertanya, lidahku kelu. Sepuluh tahun sudah berlalu. Seorang Nur Safi sudah
menjadi wanita yang tegar dan tabah mungkin. Syaukat? Entahlah. Terputus
hubungan begitu saja.
Cinta? Mungkin hanya
mainan bibir semata-mata.
“Safi, tolong
buatkan air,” laung mak dari ruang tamu.
Lambat-lambat aku
menapak ke dapur. Lama sekali mataku jatuh pada termos. Aku mencapai cawan dan
laju saja aku membuka almari dan mengambil bekas teh.
Jantungku berdetak
laju. Bagaikan ada sesuatu yang tidak diingini akan berlaku. Ah! Mungkin
perasaanku saja. Aku buka termos. Keluhan kecil tercetus dari bibirku. Tiada
air panas pula. Laju saja aku mengisi air paip ke dalam cerek lalu aku letakkan
di atas dapur gas.
Usai membuat air, aku
menatang dulang. Kakiku diseret ke ruang tamu berhati-hati. Di kala pandanganku
dan ibu Syaukat bertaut, bibirku mengorak senyuman manis. Aku letakkan dulang
berhati-hati di atas meja kopi sebelum aku menghulurkan tangan untuk bersalam
dengan ibu Syaukat. Sudah berkira-kira untuk pergi namun ibu Syaukat menyapa bahuku.
“Duduklah,” ujar
ayah Syaukat perlahan.
Terus aku melabuhkan
punggung di sisi mak. Ada debar yang tak mampu aku tafsir.
“Safi kerja apa
sekarang ni?” aju ibu Syaukat.
“Safi kerja kat syarikat pelancongan mak cik.”
Ibu Syaukat
mengangguk.
Masih menanti ibu
Syaukat berkata-kata. Aku tahu mereka datang bersebab. Hakikatnya, sudah lama
aku tidak bertemu mereka sekeluarga kerana mereka berpindah ke Johor ketika aku
berusia 15 tahun dan terkubur begitu saja hubungan aku dan Syaukat.
“Syaukat tak datang?”
Segan sebenarnya mahu bertanya namun aku gagahkan jua.
Soalanku membuatkan
semua diam tak terkutik. Dahiku berkerut. Rasanya tiada salah dalam tutur
bicaraku.
“Dia nak datang tapi
tak boleh,” sampuk ayah.
“Kenapa pulak?”
“Ada sebab yang
tertentu tapi Syaukat pasti nak jumpa Safi. Safi nak jumpa dia?”
Terus aku
mengangguk. Pastilah aku ingin berjumpa dengan seorang Muhammad Syaukat. Jujur,
aku merinduinya. Hatiku milik seorang Muhammad Syaukat tanpa aku sedar.
*****
Masih tertanya-tanya
kenapa orang tua Syaukat membawaku ke hospital namun aku diamkan saja. Suasana
yang agak asing bagiku. Memandang lautan manusia yang berpusu-pusu masuk ke
dalam lif. Biasalah. Waktu melawat berada di puncaknya. Kepala yang tidak gatal
aku garu berkali-kali. Sedari tadi aku hanya membisu.
Ibu Syaukat
menarikku ke dalam lif di kala pintu lif terbuka.
“Mak cik, kita nak
pergi mana?” Aku benar-benar buntu.
Namun dia hanya
mendiamkan diri. Sudahlah! Tiada guna aku bertanya.
Tidak berapa lama
kemudian, pintu lif kembali terbuka dan sekali lagi aku ditarik memaksaku
membuntuti langkah ibu Syaukat. Kami berhenti di hadapan sebuah bilik. Hanya
beberapa orang yang berpapasan denganku sejak tadi. Tidak ramai seperti wad
biasa. Mungkin ini wad kelas pertama.
“Safi masuklah dulu.
Mak cik dengan pak cik nak turun makan,” arah ibu Syaukat.
Dan tika itu juga
mereka hilang dari pandanganku. Aku masih teragak-agak untuk memulas tombol
pintu. Akhirnya aku hanya berdiri di hadapan pintu tanpa sepatah kata. Lama
sekali aku hanya berdiri kaku. Patutkah aku masuk ke dalam?
Kelopak mataku
tertutup seketika sebelum aku kembali mencelikkan mata dan memulas tombol
pintu. Sekujur tubuh sedang terbaring. Samar-samar saja wajah itu pada
penglihatanku. Kakiku semakin pantas melangkah mendekati katil. Kelihatan
seperti seorang lelaki. Dia berbaring membelakangiku dan pastilah aku tidak
mengenali siapa lelaki ini.
Takut-takut aku
menyapa bahunya dan dia menepis jemariku.
“Pergi!” bentaknya
kasar.
Darahku berderau.
Terkejut dengan tengkingnya. Tapi sekali lagi aku meletakkan jemariku di
bahunya yang dialasi baju itu.
“Aku cakap, pergi!”
“Saya…” Kata-kataku
mati di kala lelaki itu berpaling. Jemariku jatuh. Mataku membuntang.
Pandanganku dan
lelaki itu bertaut lama. Bibir itu digerakkan seolah-olah menyebut namaku dalam
diam.
“Syaukat.”
“Safi.”
Melihat lelaki ini
bagaikan satu kebahagiaan yang tidak akan hilang namun melihat lelaki ini
sedang terbaring di atas katil tanpa bergerak merupakan satu kesakitan.
Sudah bertahun-tahun
lamanya aku tidak bertemu lelaki ini dan kini, aku bertemunya kembali. Bertemu
di kala dia sedang terlantar di hospital. Kenapa dia berada di sini? Seraut
wajah yang tidak banyak berubah.
Jelas sekali dia
terkejut dengan kehadiranku. “Safi buat apa datang sini?”
“Jum… jumpa
Syaukat.” Payah sekali untuk aku menuturkan kata.
Lambat-lambat dia
mengangguk sebelum menepuk sisi katil. Keningku bertaut rapat. Dan Syaukat
semakin galak menepuk katil. Menyuruh aku melabuhkan punggung di sisinya.
Akhirnya, aku duduk di sisinya yang masih terbaring.
Sembilan tahun tidak
bersua muka. Kini, berjumpa jua di kala dia sedang sakit.
Jemarinya singgah di
pipiku. Perbuatan biasa ketika aku kecil dulu. Cuba mengelak namun lelaki itu
menggeleng.
“Safi makin cantik,”
ujarnya lembut.
Aku membisu.
“Pipi Safi sejuk.”
Bagaimana tidak
sejuk sedangkan penyaman udara terpasang?
Lama pandanganku dan
Syaukat bersabung. Jantungku berdetak laju. Keliru. Inikah yang dinamakan
cinta?
Seulas senyuman
terlorek di bibirnya yang pucat.
“Safi dah kahwin?”
“Tak,” balasku
sepatah.
“Dah ada teman
lelaki?”
“Belum.”
Jelas sekali dia
senang dengan jawapanku. Aku buntu. Tidak tahu harus berkata apa. Adakah harus
bertanya mengapa dia ada di sini tika ini?
Dan akhirnya dia
membisu meskipun jemarinya masih singgah di lekuk pipiku.
“Safi, Syaukat nak
ke tandas. Boleh tolong?” tuturnya kekok sebelum menjatuhkan jemarinya.
Terus aku
mengangguk.
Selimutnya
tersingkap. Darahku berderau. Andai waktu bisa dihentikan…
“Ma… mana kaki
Syaukat?”
Muhammad Syaukat
hanya tersenyum pahit.
BERSAMBUNG...
Assalamualaikum dan selamat petang. Ini cerpen terakhir untuk tahun 2012. Kira penutup tirai sebelum Cik Hanna semakin dewasa.
Tinggalkan komen kalau rajin. Sayang anda semua :)
woot wott. Terima kasih
ReplyDeleteBest! MEnanti sambungannya pula.....
ReplyDeletetrimas2
Deletetunggu sambungan DDS
menarik... nak tw kesudahan
ReplyDeletehikss... thanks :)
Deletesama-sama kita nantikan ending
best2...
ReplyDeletehyep hanna ! ni nisa..^_^
hikhik.. terima kasih
Deletehai. Awat stay anon ni? muahahaha
nape cerpen hanna byk cerita sekerat jalan..
ReplyDelete2 dah jadi novel bersiri
sengih sat sebelum jawab soalan cik anon.
DeleteMuahahaha. Maaflah ya. Yang sekerat jalan tu, tak boleh nak buat ada. Ideaku hilang dalam kegelapan
Cik anon, yang ni cerpen bersiri. So, kisah ini akan bersambung
huyooooooooo ;)
ReplyDeletehikss :)
Deletesangat best lah ini cerpen ! :D love it !
ReplyDeletehikss.. trimas2
Delete