Jemariku menekan
dahi berkali-kali. Kini, kerana kesilapanku aku sendiri, tiada Naurah Faghira
di sisi. Mataku jatuh pada pagar balkoni. Seandainya aku mampu undurkan masa.
Seandainya aku tidak mempercayai segala kata-kata Haziqah.
Semuanya sudah
terlambat. Seorang Naurah Faghira telah tiada.
Kelopak mataku sudah
bergenang dan tanpa mampu aku tahan, air mata lelakiku menitis jua.
Terhinggut-hinggut aku menahan esakan dalam kegelapan malam.
*****
Sedari tadi aku
hanya membisu. Memandang sepi secawan kopi yang sudah sejuk. Aku melarikan
pandangan di kala pandanganku dan bekas ibu mentuaku bertaut. Selalu saja aku
ke sini usai menziarahi kubur Naurah.
“Waqar sihat?”
“Alhamdullilah,
sihat.”
Namun hati ini tidak
sihat sama sekali!
Dari jauh aku
memandang Haziqah yang sedang duduk menekur lantai. Aku tahu dia rasa bersalah
atas apa yang berlaku. Sudahlah. Naurah tetap tiada meskipun Haziqah menyesali
perbuatannya. Isteriku tetap pergi…
Kenyataan itu tidak
pernah berubah.
“Dah tiga tahun
Naurah pergi,” ujar bekas ibu mentuaku mendatar.
Lidahku kelu. Tiga
tahun? Mengapa dirasakan bagai semalam dia pergi meninggalkan aku?
“Mak rindukan dia.”
Aku juga. Sungguh
aku rindukan dia.
Dan rasa rindu itu
tidak pernah hilang meskipun sesaat. Sebaris namanya tetap terpahat kukuh di
hatiku.
Senyumannya,
tangisannya, gelak tawanya. Semuanya tidak pernah aku lupakan! Seorang wanita
yang lemah. Naurah Faghira selalu mengalah, selalu jatuh. Dan kerana itu, dia
pilihanku. Aku tahu dia tegar sebenarnya.
Jika dia tidak
tegar, dia tidak akan menuruti permintaan bekas ibu mentuaku supaya
menggantikan Haziqah di kala Haziqah melarikan diri.
“Waqar semakin tua.”
“Tahu!” balasku
sepatah.
“Waqar tak nak cari
pengganti Naurah?”
Darahku tersirap.
Pandanganku dan dia bertaut lama. Cuba mencari maksud di sebalik renungan dan
bicaranya.
Mana mungkin aku akan
mencari pengganti Naurah Faghira.
“Sampai mati pun
Waqar akan hidup sendiri,” tuturku perlahan sebelum mengorak senyuman hambar.
“Sepatutnya Waqar
cari pengganti dia. Cari seorang isteri yang mampu jaga pakai dan minum Waqar.”
“Waqar mampu jaga
diri sendiri.”
Terus aku bangun dan
masuk ke dalam perut kereta.
Tiada siapa mampu
menggantikan isteriku.
*****
Haziqah membisu. Aku
menengadah langit. Tidak pasti mengapa dia datang bertemu denganku. Dan jika
dia menyuruhku untuk menerimanya sebagai isteri, jawapannya tidak! Sekeping
hatiku bukan miliknya.
“Ziqah minta maaf
atas apa yang berlaku dulu,” ujarnya selepas lama mendiamkan diri.
Aku bangun dan
menapak mendekatinya. Pinggangku dicekakkan. Senyuman sinis tercalit di
bibirku.
“Kenapa baru
sekarang? Kenapa bukan tiga tahun dulu? Kenapa bukan masa Naurah masih hidup?”
“Ziqah…” Dia
kehilangan kata.
Melihat wajahnya
membuatkan rasa sakit hati menghentak hatiku. Tapi aku akui ada juga salahku.
Waqar Hijazi,
belajarlah daripada kesilapan. Moga kesilapan yang dilakukan tiga tahun lalu
menjadi pengajaran.
Mata Haziqah sudah
merah. Aku tahu dia ingin menangis. Aku tahu dia menyalahkan dirinya atas apa
yang terjadi. Dia sudah berubah namun aku tetap tidak mampu menerimanya. Waqar
Hijazi tidak mencintai Haziqah langsung.
Belum tentu aku
menerimanya meskipun dia rela melakukan apa-apa saja.
Aku menghela nafas
lemah. “Waqar maafkan segala kesilapan Ziqah sebab dulu, Waqar turut melakukan
kesilapan yang sama. Naurah seorang isteri yang baik tapi Waqar sia-siakan dia.
Seandainya Waqar mampu undurkan masa pasti Waqar takkan buat buat macam tu.”
“Dia baik. Moga dia
tenang di sana,” tutur Haziqah lembut.
“Waqar nak masuk
pejabat dulu. Assalamualaikum.”
Tubuhku dipalingkan
dan aku mengatur langkah meninggalkannya. Langkahku mati di kala dia menyeru
namaku. Wajahku dipalingkan.
“Dia pilihan Waqar
dan dia akan terus berada di hati Waqar.”
*****
Potret Naurah
Faghira aku tenung lama. Tanpa sedar, aku mengoyak senyuman nipis. Jemariku
menyentuh potret itu.
Kisah yang penuh
penyesalan. Tidak menghargai Naurah Faghira merupakan satu khilaf yang besar.
“Abang rindukan
Naurah,” ujarku sambil tertawa. Air mataku jatuh ke atas potret itu.
Diam seketika.
“Naurah pilihan
abang dan Naurah akan terus berada di hati abang. Abang relakan Naurah pergi.
Terima kasih untuk segalanya. Cinta abang untuk Naurah takkan pernah hilang dan
Naurah Faghira adalah pilihan abang buat selamanya.”
Dia pilihanku dan dia
akan terus berada di hatiku. Tiada siapa mampu menggantikan dia. Hanya dia
hingga ke akhir usia…
Assalamualaikum dan selamat malam. A short story from me. Hikss... 3 m/s ja.
Acc, ni sambungan cerpen Bukan Pilihannya. BP macam tergantung gila dan hanna buat sambungan so that orang boleh tahu kisah Waqar.
Tahun depan PMR :)