cerpen : Iman Firzanah




  Hatiku bagaikan luruh mendengar kata-kata yang meluncur keluar dari bibir Syed Iffat Izdiyad. Kalau ikutkan hati mahu saja aku layangkan penampar tapi aku masih waras. Mana mungkin seorang isteri bertindak sedemikian.

   Pipiku sudah merah menahan marah. Dadaku berombak kencang. Syed Iffat menunduk. Aku ni macam queen control pula. Tanganku meramas bucu bantal yang aku pegang sejak tadi. Ada udang sebalik batu rupanya ajak aku makan di luar.

  “Sayang, janganlah diam macam ni. Abang tak suka,” tutur Syed Iffat. Wajahnya mula menunjukkan riak risau. Aku hanya menyepi. Dia mendekatiku. Aku bergerak. Menjauhkan diri daripadanya.

  “Sayang….”

  Tubuhku cuba dirangkul. Aku menepis. Syed Iffat mula serba-salah.

  “Sayang, kalau tak izin tak apalah. Abang tak kisah tapi jangan diam macam ni. Abang tak suka.”

  “Abang, Iman ni tak cukup baik ke? Iman ni menyusahkan abang ke?” soalku perlahan. Susah benar aku ingin berkata. Seolah-olah aku tiada suara untuk berbicara.

  “Bukan macam tu. Iman baik dan Iman tak pernah menyusahkan abang tapi Iman kena faham. Iman tak mampu lahirkan zuriat untuk abang. Abang… abang terpaksa berkahwin lain sebab abang inginkan zuriat sendiri. Darah daging abang!”

  Memang aku tak mampu lahirkan zuriat tapi inikah jalannya? Selama ini aku bertahan. Aku berusaha mempertahankan rumah tangga kami supaya tiada yang ketiga tapi aku gagal. Mungkin satu kesilapan aku berkahwin dengannya. Aku tak layak untuk Syed Iffat Izdiyad Syed Iqtiqar.

  Sepatutnya aku sedar siapa aku. Hanya seorang manusia yang tidak punya apa-apa.

  “Jadi abang ingat Iman tak mampu lahirkan anak? Macam tu?”

  Siapa dia untuk menilai semua itu? Dia hanya seorang insan biasa sepertiku. Kekuasaan Sang Pencipta mampu mengubah segalanya. Hanya kerna kami sudah dua tahun berkahwin tapi tidak mempunyai zuriat sudah dicop tidak mampu melahirkan anak.

  Bukannya aku tidak ingin mempunyai cahaya. Percayalah. Aku juga ingin tapi masih belum punya rezeki. Isteri mana yang tidak ingin menimang cahaya mata?

  “Sayang, jangan cakap macam tu. Abang percaya sayang mampu lahirkan anak.”

  “Tadi abang cakap abang yang Iman tak mampu lahirkan anak.” Bidasku. Biar Syed Iffat terasa. Dia tak mengerti perasaan wanita ini.

  “Abang.. abang.”

  Syed Iffat sudah kehilangan kata. Wajahnya yang putih bersih itu kadangkala kelihatan tidak tenang.

  “Abang nak kahwin dengan siapa?”

  “Aisyah,” balasnya ringkas. Dalam mindaku terbayang wajah Aisyah. Gadis yang acapkali memakai t-shirt tanpa lengan dan skirt paras lutut. Orang macam tu suami aku nak buat isteri. Carilah yang elok sikit. Paling tidak pun menutup aurat dan baik. Ini tidak. Budi bahasa entah ke mana. Cakap ikut suka mulut. Pakai ikut suka hati.

  Teringat kembali kata-kata ibu masa aku kecil. Wanita yang rela berpoligami akan mendapat payung emas di syurga. Tapi relakah aku? Dari cara aku berbicara, aku bagaikan tidak ingin berpoligami. Mana mungkin aku ingin berkongsi kasih sayang seorang suami.

  Aku tahu segalanya. Aku tahu keluarga Syed Iffat tidak menyukaiku. Selalu saja aku mendengar ibu Syed Iffat menyuruh Syed Iffat menceraikan aku. Tidak aku pasti apa kesalahanku. ‘Bukan semua orang sukakan kita.’ Arwah ibu selalu berkata begitu dan sekarang, aku mula sedar betapa bermaknanya ayat itu.

  “Nantilah Iman fikir macam mana.”

  “Terima kasih sayang,” ucapnya riang. Dia mungkin bahagia tapi aku?


JENDELA yang terbuka ku dekati. Sesaat kemudian tanganku sudah memegang kain langsir. Elia mengusap bahuku. Aku memandang luar tingkap. Keluhan tercetus dari bibirku. Butir-butir jernih mula nakal mengalir. Aku sendiri tak pasti kenapa aku perlu sedih. Sepatutnya aku tegar, tabah. Bukan menangis bak anak kecil.

  “Iman, janganlah sedih. Aku sedih bila kau sedih.”

  Aku menggeleng. Serta-merta aku mengesat air mata yang mengalir.

  “Air mata ni degil sangat. Aku tak sedih. Aku cuma hairan. Hairan kenapa aku dituduh mandul sedangkan doktor sudah mengesahkan aku tidak mandul. Apa salah aku? Kenapa dunia terlalu kejam buat aku? Aku nak juga hidup macam orang lain. Aku nak juga bahagia.”

  “Suatu hari nanti pasti kau akan dapat cahaya mata jika diizinkan Ilahi. Dunia tak kejam. Dunia tak pernah kejam. Ini dugaan untuk kau. Dugaan untuk kau supaya kau dekatkan diri dengan Sang Pencipta. Bukan setiap hari kita boleh tersenyum riang. Ada kalanya kita akan menangis. Itu adat. Kau kena faham. Lain orang lain dugaannya. Tak ada manusia yang tak diuji.

   Kau tak boleh mengalah. DIA takkan uji kau lebih daripada kemampuan kau. Percayalah. Suatu saat nanti kau akan bahagia. SABAR…” Elia menarikku ke dalam pelukannya. Air mata yang tertahan terus mengalir sepi. Semoga sahabat ini diberkati hidupnya. Dia banyak membantu diri ini.

  Tatkala aku rebah, dia yang membantuku untuk berdiri kembali. Tatkala hati ini dihiris sembilu, dia yang menyuruhku mengubat hati itu. Selain Yang Esa, dia yang ada untukku. Selepas aku berkahwin, dia masih tak jemu-jemu berada di sisiku.

  Baju kurung merah jambu dan berbunga putih yang tersarung di tubuhku bagaikan tidak mampu membantuku untuk tampak ceria dan bersemangat. Wajahku tetap pucat dan mataku tetap sembap. Mujurlah Syed Iffat tidak perasan ketika aku menyediakan sarapan untuknya. Aku tak ingin dia risau. Cukuplah selama ini aku membuat dia risau.

  “Habis, sekarang ni kau izinkan dia kahwin lain?” soal Elia setelah lama kami melayan perasang masing-masing.

  “Aku rasa aku patut izinkan dia berpoligami. Dia berkemampuan dan aku rasa dia akan adil. Lagipun ini satu-satunya cara untuk aku balas budi Syed Iffat dan keluarganya. Aku dah banyak menyusahkan mereka.”

  “Kau yakin?” soal Elia seolah-olah tidak puas hati dengan kenyataanku. Aku mengangguk. Bibirku mengukir senyuman. 


SYED Iffat yang sedang tekun menyelak akhbar aku dekati. Perlahan-lahan aku memicit bahunya. Pasti dia letih kerna sehari-suntuk berada di pejabat. Menggalas tugas sebagai jurutera membuatkan dia terpaksa bertungkus-lumus. Semuanya untuk membuatkan aku hidup senang. Bukannya aku tak ingin bekerja tapi dia membantah dan aku sebagai seorang isteri, harus taat kepada suami.

  “Abang…”

  “Ya sayang. Kenapa?” Wajahku ditatapnya. Rambutku dielusnya lembut.

  Benarkan ini yang aku ingin? Sudikah aku berkongsi kasih? Ah! Ini yang aku inginkan. Semua ini untuk melihat dia bahagia.

  “Abang, Iman izinkan abang berkahwin lagi.”

  “Betul?” soal Syed Iffat. Aku mengangguk.

  “Abang bukan apa. Abang tak nak sayang menyesal dengan keputusan sayang. Kalau sayang tak izinkan abang berkahwin lagi, abang takkan kahwin. Betul ini keputusan sayang?”

  “Betul. Ini keputusan Iman. Iman izinkan abang berkahwin lagi tapi Iman harap sangat abang berlaku adil. Oh ya, bila nak jalankan akad nikah?”

  Iman Firzanah, jangan menangis. Jangan menyesal. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata? Tak mungkin aku tarik balik. Apa yang aku rasa buruk untukku mungkin yang terbaik untuk diri ini. Setiap yang terjadi pasti ada hikmahnya.

  Syed Iffat Izdiyad perlukan zuriat. Darah dagingnya sendiri dan sekarang, aku masih belum mampu melahirkan anaknya. Masih belum ada rezeki.

  “Insya-Allah abang akan cuba berlaku adil. Tiga bulan lagi. Sayang kena ada di sisi abang masa tu.”

  Aku menggaru pipi. Mana mungkin aku ada di sana. Kerja gila namanya. Tak pasal-pasal air mata ini mengalir nanti. Haru!

  “Abang, Iman bukan tak nak tapi Iman kena teman Elia pergi Jordan jumpa adik dia. Iman dah janji dengan dia,” tipuku. Wajah Syed Iffat berubah. Dari ceria bertukar mendung. Aku resah tapi dalam masa yang sama, aku tak mampu.

  Wanita ini hanya wanita biasa. Meskipun bibir mengiyakan, hati ini tetap menidakkan.

  Jari-jemariku diramasnya. Mataku bertembung dengan matanya. Aku menunduk. Tak mampu menahan panahan matanya.

  “Sayang cuba tipu abang kan?” tuturnya lantang. Hatiku kecut. Jarang sekali dia marah.

  “Mana ada. Iman tak tipu abang. Betul!” dalihku. Maafkan Iman, abang.

  “Betul?”

  “Betul. Abang tak percaya Iman ke?”

  “Mestilah abang percaya. Sayang kan ratu hati abang. Abang cuma inginkan kepastian.”

  “Jomlah tidur. Abang dah ngantuk ni.”

  “Abang pergi dulu. Nanti Iman susul.”

  Langkahnya ku ekori dengan ekor mata. Aku menghela nafas. Mujur tidak kantoi. Kalau tidak, pasti aku dipaksa pergi upacara akad nikah dia dan Aisyah. Tanganku melekap pada perutku. Bilakah perut ini akan berisi? Bilakah aku akan mempunyai zuriat?

  Air mataku menitis tanpa menyedari sepasang mata yang memerhati. Hatinya diragut pilu namun dia tiada pilihan.

  ‘Maafkan abang, sayang!’


KEPALA yang berpinar aku picit. Sudah beberapa bulan aku diserang sakit kepala tapi aku hanya membuat tidak endah. Dan sekarang, kepalaku sakit yang amat. Aku mencapai telefon bimbit milikku. Ingin menelefon Elia. Untuk menyusahkan Syed Iffat tidak mungkin sama sekali kerna lusa dia akan diijabkabul. Lusa juga aku akan berangkat ke Jordan untuk menenangkan diri.

  Sekarang Syed Iffat berada di rumah keluarganya. Sudah berkali-kali Syed Iffat memujukku untuk turut serta tapi aku masih tidak mahu pergi. Tak mahu merosakkan suasana yang tenang dan damai. Lebih baik aku di sini.

  “Assalamualaikum. Elia, tolong aku.”

  Jawapan doktor perempuan itu mengejutkan aku. Wajah doktor dan Elia aku pandang silih berganti. Aku masih terkejut. Malah dalam keadaan terkejut juga.

  Pipiku dicubit. Sungguh tidak percaya tapi dalam masa yang sama aku gembira. Akhirnya penantianku selama ini tidak sia-sia. Alhamdullilah.

  “Tahniah! Puan mengandung tiga bulan.”

  Terngiang-ngiang kata-kata doktor itu tadi. Kenapa aku tidak pernah perasan aku mengandung? Adakah kerna terlalu risaukan Syed Iffat dan hal poligaminya? Aku mengusap perutku. Menunggu Elia membeli minuman. Ingin sekali aku ikut bersama tapi Elia menegah. Katanya aku perlu banya berehat.

   Seketika kemudian pintu kereta dibuka. Elia masuk ke dalam perut kereta. Menghulurkan sekotak air milo kepadaku.

  “Terima kasih,” balasku ringkas. Serta-merta aku menghilangkan dahaga. Hairan tatkala mata Elia masih melekat pada wajahku.

  “Kenapa dengan kau ni? Muka aku ada apa-apa ke?”

  “Iman, kau kan dah mengandung. Kau tak nak beritahu Syed Iffat?”

  Terus aku teringat suamiku. Betapa gembiranya aku hingga aku terlupa kewujudan dirinya. Bapa kepada anak dalam kandunganku. Tak boleh! Kalau aku beritahu sekarang, Syed Iffat mungkin akan membatalkan akad nikah yang bakal berlangsung kerna dia berkahwin lagi untuk mendapatkan zuriat. Aku tak boleh beritahu. Bila keadaan dah tenang, baru aku khabarkan berita gembira ini.

  “Mestilah nak beritahu tapi bukan sekarang. Oh ya, lusa tolong hantar aku pergi lapangan terbang ya?” Hanya Elia yang mampu membantuku kerna aku tidak mempunyai lesen kereta.

  “Tapi hari tu bukan ada akad nikah laki kau ke?”

  “Ya tapi aku beritahu kat Syed Iffat yang aku terpaksa temankan kau pergi Jordan jenguk adik kau.”

  Wajah Elia berubah. Mesti aku akan disound.

  “Kenapa kau tipu dia? Tak baiklah. Dia kan suami kau. Lain kali kau jangan buat lagi,” tuturnya dalam nada yang kesal.

  “Aku terpaksa. Aku tak sanggup nak ada di sisi dia saat dia diijabkabul dengan Aisyah. Aku tak kuat.”
  Kini air mata sudah tidak mengalir. Aku sudah lali dengan semua ini. Aku mesti tabah.

  “Habis kenapa kau izinkan dia kahwin lain?”

  “Sebab aku dikatakan tak mampu melahirkan zuriat untuk dia.”

  “Itu dulu. Sekarang tidak lagi. Keluarga dia tak kisah kau tak ada?”

  “Tak kisah. Aku tak ada lagi bagus bagi mereka. Aku ni bukannya menantu pilihan.”

   Bahuku ditampar lembut. Aku tersengih. Sedar dengan keterlanjuran kata.

  Baru aku perasan. Dari tadi aku dan Elia berbual dan kereta masik tidak bergerak. Terlalu khusyuk bersembang hingga lupa dunia seketika.

  Syef Iffat buat apa sekarang ni? Aku rindu senyuman dia. Aku rindu wajahnya yang sesekali masam apabila aku diam. Dia tidak suka aku diam tanpa sebab. Dia suami yang baik hingga aku rasakan aku tidak layak untuknya. Dia tekun menjagaku. Merawat hati lara ini menggantikan tempat arwah ibu dan ayah yang meninggal dalam kemalangan jalan raya tahun lepas. Meninggalkan impak yang dalam pada diri ini.

  Keluarganya satu masalah tapi itu semua dia biarkan saja. Kami bahagia hinggalah hari dia bersuara untuk berkahwin lagi. Rasa derita perlahan-lahan datang dan lenyap seketika hari ini. Syed Iffat Izdiyad. Berumur 28 tahun. Lelaki yang mempunya sepasang mata bundar sepertiku. Yang membezakan kami adalah warna mata. Matanya berwarna hazel manakala mata milikku berwarna coklat kehitaman. Anak kepada Syed Iqtiqar dan Syarifah Faridah. Anak ketiga daripada lima beradik. Itu cerita dia.

  Aku, Iman Firzanah Muhammad Idham. 26 tahun. Tiada yang istimewa dengan diriku tetapi diri ini yang menjadi pilihan Syed Iffat. Aku merupakan anak tunggal dalam keluarga. Sepi dan sendiri.

  “Boleh tolong aku ke tak ni?” soalku. Cuba melenyapkan ingatanku terhadap Syed Iffat.

  “Nasib baik kau kawan baik aku. Kau nak pergi mana nanti?”

  “Jordan.”

  “Oh! Eh, yang nak kahwin dengan laki kau tu siapa?”

  “Aisyah. Aku memang tak berapa suka dengan dia.”

  “Kenapa?”

  “Dia agak kurang dari segala segi kecuali dari segi bersolek dan sewaktu dengannya.”

  “Tak baik kau ni. Semoga dia diberikan hidayah.”

  “Amin.” Ya! Semoga Aisyah diberi hidayah.

  Kereta mula bergerak. Aku memejamkan mata. Ingin melepaskan lelah seketika.


LUSA yang dinantikan itu sudah menjelma. Aku memerhati orang di sekelilingku. Semuanya dengan kerja masing-masing. Semuanya sibuk melakukan urusan sendiri. Elia sudah meninggalkanku. Aku tak ingin dia menemaniku. Aku menyentuh perutku lalu aku mengoyak senyuman. Tak sabar rasanya ingin melihat anak ini membesar di hadapan mataku.

   Jam pada pergelangan tangan aku kerling. Masih ada beberapa jam lagi sebelum aku berlepas. Aku bingkas bangun. Ingin merayau di sekitar airport dahulu. Ingin juga mencari makanan. Terasa lapar meskipun sudah mengambil dua bungkus nasi lemak. Seleraku makin bertambah dua tiga hari ini.

  Usai membayar makanan, aku mula mencari tempat duduk. Harga yang mahal. Lain kali kalau nak makan, sila makan di luar airport. Aku hanya mengambil kuih-muih dan segelas air kosong. Hanya dua tiga orang di kafe ini.

   “Akak buat apa kat sini?” sapa seseorang. Aku tersedak. Lantas insan itu mengusap belakangku dan menghulurkan air kosong milikku.

  “Terima kasih,” ucapku dan aku menatap wajah itu. Terpana!

   Kepalaku mula ligat berfikir. Apa yang adik iparku lakukan di sini? Aku member ruang untuk dia melabuhkan punggung. Dia tersenyum mesra. Tidak seperti ibu dan ayah Syed Iffat. Adik-beradiknya menyenangi aku. Setahuku, Syamimi menuntut di luar negara. Mungkin dia pulang ke Malaysia untuk turut serta majlis perkahwinan Syed Iffat dan Aisyah.

  Syamimi masih tidak berubah. Sama seperti setahun yang lalu. Dengan t-shirt kosong dan cardigan berwarna pink serta jean berwarna hitam, dia nampak cantik. Ditambahkan lagi dengan shawl masa kini. Aku pandang diriku. Hanya berbaju kurung dan bertudung bawal labuh. Ya! Ini diriku dan aku selesa dengan penampilan diriku.

   “Akak, akak nak pergi mana ni?”

  “Jordan,” balasku bersama senyuman di bibir.

 “Buat apa?”

  “Melawat kawan akak di sana,” ujarku. Tipu! Aku pergi ke sana untuk tenangkan diri.

  “Jadi akak tak pergi akad nikah abang dengan Aisyah?”

   Aku menggeleng. Dadaku sebak. Namun ku tahan jua air mata dari mengalir. Tiada gunanya aku menangis. Jika ini yang tersurat untukku, aku harus terima.

  “Mimi buat apa kat sini?”

  “Baru mendarat tadi. Nak balik rumah. Tunggu Pak Ismail datang. Terjumpa akak kat sini. Sebab tu Mimi tanya.”

  Syamimi menggaru kepala.

  “Akak sedih kan?” Gadis itu bertanya lagi. Mengasakku serba sedikit.
.
  Kalaupun aku sedih, Syamimi tidak akan mengerti. Dia hanya gadis berumur 23 tahun yang sibuk dengan dunianya sendiri. Tidak memahami perasaan ini.

  “Tak sedih pun. Akak gembira.”

  “Tak payahlah tipu Mimi. Bukan baru hari ni kita kenal. Mimi tahu akak sedih. Perempuan mana yang gembira bila bermadu? Sebenarnya ada benda yang akak tak tahu,” tuturnya. Wajahnya mendung. Aku hairan.

  “Benda apa yang akak tak tahu?”

  “Sebenarnya abang kena kahwin sebab mama ugut dia. Mama beri pilihan. Antara berkahwin lain atau ceraikan akak. Abang tak ada pilihan. Abang terlalu sayangkan akak. Dia tak nak kehilangan akak. Abang sanggup buat apa saja untuk akak. Hari tu, dia datang jumpa Mimi. Dia keliru. Dia menangis, kak. Dia tak nak akak bermadu tapi dalam masa yang sama, dia tak nak.

  Dia tahu akak sedih. Mama  dan papa kejam! Hanya sebab akak tak boleh mengandung, mereka suruh abang kahwin lain.”

   Aku kelu. Begitu besar pengorbanan Syed Iffat buatku. Hanya kerna aku dikatakan tak mampu mengandung, dia terpaksa berkahwin lain. Maafkan Iman, abang. Semuanya kerna Iman. Iman tak layak untuk abang. Iman tak layak..

  Pengumuman kendengaran. Aku harus segera beredar. Tangan Syamimi ku capai.

  “Mimi, akak terpaksa pergi sekarang. Kirim salam dekat abang. Beritahu dia, akak tak layak untuk dia. Semoga dia hidup bahagia bersama Aisyah. Dia berhak untuk bahagia.”

  “Tapi kak..”

   Beg sandang yang terletak elok di atas meja makan aku capai. Mengorak langkah meninggalkan Syamimi. Sebutir air mata menitik juga. Selamat tinggal, abang. Semoga bahagia.

  “Iman Firzanah!” laung seseorang. Aku berpaling. Seorang lelaki yang memakai baju Melayu berwarna putih serta bersamping hitam berlari mendekatiku. Banyak mata memandangku. Aku menunduk. Syed Iffat! Apa yang dia buat di sini?

  Di belakangnya ada Syamimi dan Elia. Aku mengerutkan dahi.

  “Sayang, kenapa sayang tak beritahu sayang mengandung?” soalnya sambil merangkul tubuhku.

  “Mana abang tahu Iman mengandung?”

   Elia memandang tempat lain. Pasti kerjanya. Sudah berapa kali aku mengingatkan dia untuk tidak membuka cerita ini. Bukannya aku tak ingin Syed Iffat tahu tapi masa masih belum sesuai.

  “Itu tak penting. Sayang jangan tinggalkan abang lagi. Abang tak mampu hidup tanpa sayang. Jangan tinggalkan abang?”

  Aku merungkaikan pelukan. Maafkan Iman. Ini yang terbaik buat kita. Aku kembali mengorak langkah tanpa melihat Syed Iffat lagi.

   Elia melangkah. Ingin datang kepadaku.

  “Biarkan dia. Dia tahu apa yang terbaik untuk diri dia.” Elia tidak meneruskan langkah lagi. Hanya melihat aku berjalan.

   “Iman…” Aku berpaling. Mama, papa dan Aisyah. Mereka mendekatiku.

   “Kenapa semua ada kat sini?” soalku hairan.

  “Kami minta maaf. Khilaf kami. Selama ni kami anggap Iman berkahwin dengan Iffat kerna inginkan harta dia. Mujur Elia datang.”

   Aisyah mencapai tanganku.

  “Saya tak patut ambil hak awak. Dia milik awak. Syed Iffat terlalu sayangkan awak. Dia tak cintakan saya. Dalam hati dia hanya ada satu nama. Iman Firzanah. Setiap hari dia rayu dekat saya supaya kami tak berkahwin tapi saya buat tak dengar hinggalah Elia datang. Dia bongkar segalanya.

   Masa tu saya rasa sayalah orang paling kejam. Memisahkah sepasang suami isteri yang bahagia.”

   “Iman, jangan tinggalkan dia,” tutur mama.

  Ada tangan menyapa bahuku. Aku menoleh. Elia mula bersuara. “Iman, jangan menyesal kalau suatu hari nanti dia tinggalkan kau. Maafkan aku kalau aku beritahu semua pasal kau pada mereka. Percayalah. Ini semua untuk kebaikan kau. Iman, tempat seorang isteri di sisi suami.”

   Apa yang aku rasa buruk untukku mungkin yang terbaik untuk diri ini. Setiap yang terjadi pasti ada hikmahnya.

   Syed Iffat yang mula melangkah pergi dengan hampa membuatkan aku tersedar. Dia suamiku. Bapa kepada anakku.

   “Abang, tunggu.”


DARI tadi Syed Iffat leka menatap wajahku. Tangannya melekap pada perutku. Teruja katanya. Aku tersenyum bahagia. Aku bersandar pada bahunya. Wajahnya ku tenung. Mata yang bundar, bibir yang nipis.

  “Kenapa tengok abang macam nak telan?”

  “Salah ke?”

  “Tak salah pun. Abang lagi suka. Abang tahu abang kacak.”

   “Iman tahu abang kacak.”

  “Well! Nama pun suami sayang. Abang sayang sayang sangat-sangat.”

  “Sayang abang juga. Kenapa abang tak kahwin dengan Aisyah malam tu?”

   Syed Iffat memandang atas. Mungkin sedang berfikir.

  Dalam hati, aku bersyukur. Setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya. Tak rugi kalau bersabar.

   “Sebab abang tak cintakan dia. Dalam hati abang hanya ada satu nama. Iman Firzanah.”

  “Dalam hati Iman Firzanah ada satu nama. Syed Iffat Izdiyad.”

  “Pandainya bermadah. Isteri siapalah ni.”

  “Isteri abang. Hehe.” Kami tersenyum mesra. Tubuhku dirangkul erat.

   ‘Ya Allah,tatkala kebahagiaan itu mula menjelma, KAU berikan ujian untukku. Menguji kasih sayang seorang isteri. Anugerahkanlah aku kekuatan. Tanpa-Mu, aku kosong. Tanpa dugaan-Mu, aku takkan pernah tahu makna bahagia.’

    Malam semakin pekat. Kebahagiaan mula mengisi ruang hati. 




13 comments:

  1. suka cerita ni. good job dik :)

    ReplyDelete
  2. suka sangat ! nah , 10 bintang untuk hanna .. hehe :D

    ReplyDelete
  3. @Miss Niesa tak nak 10 bintang. Nak 100 bintang. Kekeke

    ReplyDelete
  4. saya tag hanna..heheee jgn marah , :)

    http://qasehkuwardah.blogspot.com/2012/06/segmen-lagi-nak-muntah-boleh.html

    ReplyDelete
  5. @Cik Mizah tak marahlah.. hehe. Thanks tag hanna :)

    ReplyDelete
  6. nasib baik kwn dia bijak g tw iffat..
    tq yee tuan tanah hehehhee

    ReplyDelete
    Replies
    1. kan. untung ada kawan cenggitu.
      ur welcome. eh. sepatutnya hanna yang ucapkan terima kasih sebab singgah dan komen di sini :)

      Delete
  7. Entah kenapa, seronok pulak baca.. Sarat dengan pengajaran.. Anyway, great job! πŸ‘πŸ»πŸ‘πŸ»πŸ‘πŸ»πŸ‘πŸ»πŸ‘πŸ»πŸ‘πŸ»πŸ‘πŸ»

    ReplyDelete
  8. Akak buatlah cerpen kahwin paksa kerana sikap pilih kasih keluarga.Please

    ReplyDelete

Takut komen?
Jangan risau.
Gueh bukan raksasa makan orang.
Gueh hanna...