cerpen : Biar Aku Simpan Duka Ini


note : Kadang-kadang, kita tak mampu berkongsi masalah dengan orang lain. Maka, mengadulah dengan Yang Esa. :')


  Berkali-kali aku menekan loceng namun dari tadi tiada siapa yang keluar berjumpaku. Langit yang mendung aku pandang seketika. Sebentar lagi pasti hujan tapi di mana aku ingin berteduh? Muhammad Mahraz yang berada dalam gendonganku sedang lena dibuai mimpi. Kasihannya anak ini. Bapanya sendiri tidak mengaku kehadiran dia dalam hidup kami.

  Tidak guna aku menyalahkan Sang Pencipta. Sudah tercatat untukku mempunyai anak yang tidak seperti orang lain namun kenapa Muhammad Hail Khasyi tidak mampu menerimanya? Kenapa? Apa salah anakku yang tidak berdosa ini?

  Sekali lagi aku menekan loceng. Berharap dia membuka pintu. Seketika kemudian, suamiku keluar. Tangannya menjinjing beg pakaian. Aku mengerutkan dahi.

  “Abang!” Tegurku.

  Dia mendekatiku. Matanya jatuh pada wajahku. Tidak terukir langsung senyuman di bibirnya. Wajahnya masam dan serius.

  “Iqah ingat abang tak nak buka pintu.”

  “Memang aku tak nak buka tapi kau asyik memekak,” bentaknya kasar.

  Aku tersentap. Empangan mataku hanya menunggu waktu untuk pecah.

  “Nah! Beg kau.” Beg pakaian dihulurkan kepadaku. Teragak-agak aku mencapai beg itu.

  “Kenapa ni?” Ajuku perlahan.

  “Nur Raiqah, sudah tiba masanya kau tinggalkan aku. Dulu, aku pernah bertanya. Antara aku dan budak ni, mana yang kau pilih. Jawapan kau, budak ni. Jadi aku rasa baik kau pergi. Kau tahu kan aku tak suka dia? Dia budak terencat!”

  Ya Allah! Kenapa semua ini harus terjadi?

  Aku dilayannya dingin. Malah dia pernah menyuruhku membuang anak ini. Tidak pernah aku khabarkan semua ini kepada keluargaku mahupun keluarga mentuaku.

  Biar aku simpan duka ini. Biar hanya aku yang tahu segala cerita ini.

  “Abang, kalau itu yang abang nak, Iqah tak ada pilihan. Mungkin ini yang terbaik untuk kita. Meskipun dia tak macam budak lain, kasih sayang Iqah untuk dia takkan pernah berubah.”

  “Pergi mampuslah dengan kasih sayang kau!” Bentaknya lagi. Tika ini, hatiku bagaikan ditusuk belati. Teganya suami yang aku sayang berkata begitu.

  Aku berpaling untuk melangkah pergi namun tiba-tiba saja bahuku dipegangnya. Aku menoleh.

  “Aku akan bagi nafkah tiap-tiap bulan tapi ingat! Jangan pernah muncul dalam hidup aku lagi!” Dia memberi amaran kepadaku.

  Perlahan-lahan aku mengangguk. Mungkin ini yang terbaik untuk kami.

  Ya Allah, berikanlah aku kekuatan. Moga hari esok lebih baik dari hari ini. Moga akan nada sinar kebahagiaan untuk hamba-Mu ini.

  Dan saat itu, hujan mula membasahi bumi. Aku melindungi Muhammad Mahraz daripada terkena titisan hujan. Terus aku melangkah pergi. Cintanya untukku mungkin hilang tapi selagi dia bergelar suamiku, kasih dan cinta ini hanya untuk dia.

*****

  Teragak-agak aku ingin mengetuk pintu rumah Along. Mustahil untuk aku pulang ke rumah keluargaku mahupun rumah mentuaku. Perjalanan berjam-jam lamanya dari Kuala Lumpur ke Kedah membuatkan tulang belakangku sakit dan letih. Tersembul wajah Along yang mendukung Balqis, anaknya.

  “Eh, Iqah. Buat apa kat sini? Mana Khasyi?” Ajunya hairan.

  Aku hanya menunduk.

  Suasana sepi mula membelenggu aku dan Along. Kak Zarqa sudah menghilangkan diri ke dapur. Mahraz telah aku letakkan di dalam baby cot.

  “Jawab soalan Along. Mana Khasyi?”

  “Dekat Kuala Lumpur,” ujarku tanpa memandang wajah Along. Aku menahan sebak di dada. Langsung tidak menghiraukan diri yang letih dan lemah.

  “Dia kat Kuala Lumpur? Habis Iqah datang sini naik apa?”

  “Naik bas.”

  Kepalaku aku dongakkan dan memakukan pandangan pada wajah Along. Jelas kelihatan mukanya merah menahan amarah. Nafasnya tidak teratur.

  “Naik bas? Nur Raiqah, apa yang terjadi sebenarnya?”

  Tubir mataku mula bergenang dan sesaat kemudian, aku menangis teresak-esak. Along mendekatiku lalu dia merangkul erat tubuhku. Aku terus dan terus menangis. Peritnya rasa ini telah lama aku tanggung. Telah lama aku pikul.

  Apa yang harus aku beritahu kalau ibu mahupun ayah bertanya? Pasti mereka akan khuatir denganku. Ditinggalkan suami gara-gara anak yang tidak sempurna seperti bayi lain.

  Jari-jemari kasar Along menyeka air mataku. Hujung daguku dipegangnya lalu dia memaksaku menatap wajahnya.

  “Nur Raiqah, cakap dengan Along apa yang terjadi,” pujuknya lagi.

  “Dia.. Dia dah tinggalkan Iqah. Dia tak nak Iqah muncul dalam hidup dia lagi.”

  Mata Along terpejam seketika. Dia memicit dahi lalu memandangku.

  “Macam mana boleh jadi macam ni, Iqah?” Ada nada sebak dalam bicaranya.

  “Dia suruh Iqah pilih antara dia dan Mahraz. Mustahil untuk Iqah meninggalkan Mahraz. Dia anak Iqah! Walau apa pun yang terjadi, Iqah akan terus berada di sisi Mahraz. Iqah sayang dia. Iqah tak kisah dia tak macam budak lain.

  Tapi Iqah tak faham kenapa Khasyi mesti bencikan anak kami. Mahraz tak bersalah. Teganya Khasyi buat macam ni dekat Mahraz. Sampai hati dia.” Aku luahkan segala-galanya meskipun berat untuk aku katakan semua ini.

  Bagaikan semua ini bebanan untukku. Ah! Tidak baik berkata begitu. Ini semua ujian untukku. Kalau orang lain boleh menghadapinya, kenapa tidak aku?

  Nur Raiqah bukan wanita lemah. Sekali hayat dikandung badan, Nur Raiqah tak boleh mengalah. Walau apa pun yang terjadi, bebanan dan keperitan takkan pernah ada dalam kamus hidup aku. Aku mesti kuat dan tabah.

  Mahraz perlukan aku. Perlukan aku yang tegar. Bukannya aku yang lemah!

  “Ya Allah!” Hanya itu yang meluncur keluar dari bibir Along.

  “Along, boleh Iqah tumpang sini?”

   “Iqah, jangankan tumpang. Duduk selamanya dengan Along pun tak apa,” tuturnya seraya mengoyak senyuman manis.

  Aku ketawa kecil.

  “Tak naklah duduk selamanya dengan Along. Lepas Iqah dapat kerja, Iqah pindahlah.”

  “Yelah, intan payung.”

  Untuk kali ini saja air mata ini menitis!

*****

  “Mama!” Jerit Mahraz. Aku menoleh. Terkedek-kedek anak kecil itu berlari mendekatiku. Bibirnya tidak henti-henti menguntum senyuman manis. Terubat sedikit rasa rindu di hati gara-gara terpaksa bermesyuarat di Langkawi selama beberapa hari.

  Tidak aku pedulikan lautan manusia di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim. Terus aku bawa Mahraz ke dalam pelukanku. Rambutnya aku usap lembut. Dahinya aku kucup penuh kasih sayang.

  “Siapa bawa Mahraz datang?”

  “Uncle Nafiz,” tuturnya pelat. Aku tersenyum sambil mendukungnya.

  “Anak mama ni beratlah!” Usikku lalu mencuit hidungnya. Dia tertawa kecil. Dari jauh, jelas kelihatan tubuh Along, Kak Zarqa dan Balqis.

  Doktor memberitahu kepadaku Mahraz tidak seperti kanak-kanak lain. IQnya rendah jika dibandingkan kanak-kanak yang sebaya dengannya tapi aku tetap bersyukur dengan apa yang terjadi.Muhammad Mahraz sudah berusia 5 tahun. Dan aku sudah berumur 29 tahun. Khasyi pula berumur 33 tahun.

  Ini bermakna hampir lima tahun aku dan Muhammad Hail Khasyi tidak bertemu namun nafkah tetap disalurkan setiap bulan. Hubungan kami tetap tidak mempunyai titik noktahnya. Keluargaku dan keluarga mentuaku tidak mampu berbuat apa-apa.

  Aku hanya mampu berharap semua mimpi ngeri ini akan berakhir.

  “Amboi! Araz sampai tak tunggu uncle.”

  “Uncle lambat sangat. Balqis pun sama!”

  “Apa Balqis pulak?” Aju Balqis tidak puas hati. Dia mencekakkan pinggang. Aku tertawa kecil.

  Mungkin orang yang melihatku akan mengatakan bahawa aku bahagia. Namun rasa di hati ini hanya aku yang tahu. Biar aku simpan sakit ini. Biar aku simpan duka ini. Tidak perlulah orang lain merasai. Cukuplah hanya diriku.

  “Dah! Tak payah bergaduh. Jom balik. Mama Mahraz nak belanja kita makan,” ujar Kak Zarqa.

  “Ei! Mana ada,” nafiku.

  Pecah ketawa Along dan Kak Zarqa. Aku mendukung Mahraz. Sesekali dia berbicara tentang kawan-kawan di tadikanya.

*****

  Mahraz merangkul erat tubuhku. Angin malam mula menyapa pipi. Aku menengadah langit yang bertemankan bulan dan bintang. Wajah Mahraz yang saling tidak tumpah wajah Khasyi membuatkan aku terkenangkan dia. Bagaimanakah keadaan dia di sana?

  “Mama, Araz sayang mama sangat-sangat.”

  Bibirku melemparkan senyuman manis.

  “Mama tahu.”

  “Araz sayangkan papa jugak!”

  Darahku berderau. Wajahku berubah. Selama ini aku tak pernah ceritakan apa-apa pasal Khasyi kepada Muhammad Mahraz. Tidak guna menceritakan soal Khasyi yang tidak pernah mengambil berat hal anakku.

  Bibir mungil itu tidak putus-putus melakarkan senyuman. Mata bening itu memandangku tenang. Mata yang terlalu sama dengan mata Khasyi. Tanpa sedar, aku mengeluh lemah. Malangnya nasib anak kecil ini. Tidak diterima dan diakui ayah sendiri.

  “Araz, mama tak suka Araz cakap pasal papa,” tekanku sedikit keras.

  Dia hanya tersenyum. Ah! Mahraz tidak mengerti apa-apa.

  “Ma, Araz harap sangat mama dan papa bersatu,” tuturnya kemudian melekapkan telapak tangan miliknya ke atas tanganku.

  Dahiku berkerut. Rasa hairan mula bertamu di hati. Pelik dengan sikap Mahraz. Gayanya tidak seperti kanak-kanak yang berusia lima tahun. Lagipun, IQnya rendah.

  “Macam-macamlah Araz ni.” Aku bingkas bangun namun Mahraz melelar pergelangan tanganku.

  “Araz tahu mama masih sayangkan papa. Mama, tempat seorang isteri di sisi suami.”

*****

  Hatiku berasa tidak enak. Entah kenapa. Aku memejamkan mata. Jam pada pergelangan tangan kanan aku kerling. Sudah pukul 6 petang. Kenapa Along belum menghantar Mahraz pulang? Lantas aku mencapai telefon bimbitku.

  “Assalamualaikum, Along.” Tegurku saat dia menjawab panggilanku.

  “Wa’alaikumsalam. Kenapa?”

  “Laa. Kenapa Along tak hantar Mahraz pulang? Dah pukul 6!”

  Diam seketika.

  “Mahraz bukan dah balik ke?” Darahku berderau. Mustahil! Mustahil untuk aku menjemput Mahraz di tadika. Kebiasaannya memang Along yang mengambil Mahraz.

  “Belumlah! Along yang ambil dia kan?”

  “Tadi Along pergi tadika. Cikgu Siti cakap ada orang dah jemput dia. Mestilah Iqah yang jemput,” tegas Along.

  Jantungku berdetak laju. Apa yang sebenarnya terjadi? Di mana Mahraz sebenarnya.

  “Along, janganlah bergurau.”

  “Along serius ni!”

   Aku terus menamatkan panggilan begitu sahaja. Tika ini, aku bagaikan hilang arah. Di mana Mahraz? Di mana anakku? Untaian hangat yang sudah bertahun-tahun lamanya tidak menodai wajah ini mula menuruni lekuk pipi.

Terhinggut-hinggut aku menahan esakan. Fikiranku buntu. Tidak tahu mahu mencari Mahraz di mana. Teringat senyuman Mahraz. Teringat gelak ketawa Mahraz. Pandanganku berbalam dan sesaat kemudian, aku rebah tidak sedarkan diri

*****

  Jari-jemari runcing milikku bergerak sebelum kelopak mataku terbuka. Dalam kesamaran aku melihat sekujur tubuh sedang berdiri membelakangkan aku. Perlahan-lahan aku cuba bangun. Cuba mengingati apa yang terjadi. Sesaat kemudian terus aku teringatkan Mahraz.

  “Araz. Mana Araz?” Ajuku lemah. Tubuh itu berpaling. Darah merah menyerbu wajahku. Jantungku berdetak laju.

  “Apa yang abang buat kat sini?”

  Dia tidak menjawab soalanku malah dia mendekatiku. Rambutku dielus lembut. Aku mengelak. Lelaki itu merenungku tajam. Wajahnya masih sama seperti lima tahun lepas. Adakah perangainya juga berubah?

  “Mana Muhammad Mahraz?” Soalku tanpa jemu.

  “Mana Mahraz?” Suaraku mula naik satu oktaf.

  Bibirnya terkunci. Mataku jatuh pada wajahnya. Mata bening itu memandangku tenang. Tiada langsung riak di wajahnya.

  Aku cuba turun daripada katil tetapi dia menghalang. Berkali-kali aku meronta namun usahaku gagal. Tidak aku punya kekuatan untuk melawannya. Akhirnya aku tersandar lemah di birai katil. Kelopak mataku bergenang.

  “Mana anak Iqah? Mana Araz?”

  “Mana? Mana dia?” Bentakku kasar selepas Khasyi hanya membisu.

  “Dia..”

  Kata-katanya terhenti. Aku menagih jawapan daripadanya. Mana anakku? Mana permataku? Kenapa dia tidak ada di sini?

  “Dia apa?”

  “Dia hilang,” tuturnya teragak-agak.

  Aku memejamkan mata. Linangan air mata mula mengalir di pipiku. Dahiku ditekan berkali-kali. Hilang? Aku menggeleng. Bagaimanakah keadaaan Mahraz sekarang ini? Dia hanya kanak-kanak berusia lima tahun!

  Khasyi merangkul erat tubuhku. Aku menumbuk dada bidangnya berkali-kali.

  “Ini semua salah abang! Ini semua sebab abang. Kenapa abang bencikan dia? Kenapa abang tak suka dia?”

  “Maafkan abang, sayang.”

  Aku tersenyum sinis. Kemaafan yang dihulurkan kepadaku takkan pernah mengembalikan Muhammad Marhaz.

  “Maaf Muhammad Hail Khasyi takkan pernah kembalikan Muhammad Marhaz. Takkan!” Bisikku keras. Lelaki itu terpana.

*****

  Sudah tiba bulan berlalu dan permata hatiku tetap tidak kembali. Berpuluh-puluh cara telah aku usahakan namun semuanya menemui jalan buntu. Muhammad Mahraz tidak dapat dikesan! Kata polis, dia mungkin diculik dan dibawa ke negara jiran.

  Aku mengikat rambutku lalu berdiri di balkoni. Membiarkan angin malam menyapa pipi. Langit yang bertemankan bintang dan bulan langsung tidak menenangkan hati. Terbayang di fikiranku senyuman Mahraz. Ketawa Mahraz. Keletah Mahraz.

  Akhirnya, untaian hangat menitis. Pinggangku dirangkul dari belakang. Aku menoleh. Wajahku berubah.

  “Jangan sentuh Iqah!” Keras sahaja suaraku menerjah gegendang telinganya.

  “Kenapa abang tak boleh sentuh Iqah?”

  Ku biarkan saja soalannya tidak terjawab. Siang malam dia berada di sisiku. Semua yang aku mahukan, pasti dia cuba untuk tunaikan. Aku lelah. Lelah dengan semua ini. Kenapa lelaki ini harus ada di sini saat aku perlukan masa untuk sendiri?

  Aku bukan insan yang suka meluahkan rasa. Apa yang aku rasa, biarlah hanya aku dan Yang Esa saja yang tahu. Rasa janggal turut hadir. Mungkin kerana bertahun-tahun lamanya tidak bertemu Muhammad Hail Khasyi.

  “Iqah risaukan Araz ke?” Tebaknya selepas kami hanya berdiam diri.

  “Memang! Memang Iqah risaukan dia. Dia jantung hati Iqah. Iqah tak kisah dia tak sempurna macam kita. Tak kisah orang cakap dia terencat atau apa. Dan Iqah tak kisah kalau ayah dia tak kisahkan dia. Dia masih ada Iqah,” balasku dingin.

  Khasyi mengetap bibir. Mungkin terngadah. Biarkan! Biarkan dia terngadah.

  “Abang.. Abang tahu abang silap. Masa tu abang keliru. Abang tak dapat terima kenyataan yang anak abang tak sempurna. Abang perlukan masa untuk sendiri.”

  Bibirku melakar senyuman sinis.

  “Iqah tak peduli.”

  “Maafkan abang, Iqah. Kalaulah abang boleh undurkan masa,” ucapnya menyesal.

  “Encik Muhammad Hail Khasyi, tak perlu ucapkan sejuta kali maaf. Kerana hati ini tetap sama. Keras lagikan sakit. Boleh tak lepaskan saya dari hidup encik?”

  Lelaki itu menggeleng. Nafasnya turun naik. Wajahnya merah menahan amarah. Tangan kirinya menggenggam penumbuk. Pasti aku menjadi mangsa tumbukannya kalau aku ini bukan wanita dan bukan isterinya.

  Pasti tidak suka dengan kata-kataku. Aku kenal lelaki ini. Jika marah, dia pasti menggenggam penumbuk. Tanda cuba bersabar. Ah! Pedulikan.

  “Takkan! Abang takkan pernah lepaskan sayang. Langkah dulu mayat abang.” Dia memberi amaran kepadaku.

  “Kenapa?” Bentakku.

  Tangannya masih merangkul erat pinggangku. Bibirnya didekatkan dengan cuping telingaku. Seperti yang aku pernah lakukan kepada dia.

  “Sebab abang cintakan sayang. Sebab hanya ada Nur Raiqah di hati abang.”

  Aku terpempan. Lelaki itu meleraikan pautan lalu melangkah pergi meninggalkan aku.

*****

  Dahiku mencium tikar sejadah. Air mataku merembes keluar. Betapa berdosanya aku selama ini kepada suamiku. Aku berkasar dengannya. Aku menengkingnya. Ya Allah, benarkan keputusanku ini? Menerimanya kembali.

  Dia kembali di saat Muhammad Mahraz pergi meninggalkan aku. Aku tahu dia cuba merawat duka di hati. Dan aku tahu dia juga menyayangi Mahraz. Buktinya, siang malam dia berusaha mencari di mana keberadaan anakku.

  Usai menyapu mukaku, aku mengangkat tangan. Berdoa. Sesungguhnya hanya kepada DIA aku mengadu dan meminta.

  “Ya Allah, ampunkanlah dosaku. Dosa suamiku, dosa ahli keluargaku serta seluruh dosa umat Islam. Engkau permudahkanlah urusanku di atas muka bumi-Mu ini, Ya Allah. Engkau kembalikanlah anakku dalam keadaan sihat walafiat jika itu yang tertakdir untuk dia. Berikanlah aku kekuatan menempuh dugaan-Mu.

  Tunjukkanlah aku jalan yang lurus. Berkatilah rumah tangga aku hingga ke syurga-Mu.” Aku mula menanggalkan telekung. Melihatkan rambutku yang ditocang tinggi.

  Saat aku berpaling, aku lihat Khasyi berdiri di belakangku. Aku terkejut.

  “Dah lama ada kat sini?” Soalku teragak-agak.

  “Sejak Iqah mula berdoa.”

  Pasti dia mendengar doaku. Mendengar setiap aksara yang meluncur keluar dari bibirku.

  Mataku jatuh pada wajahnya. Kelopak matanya bergenang. Dan sesaat kemudian, titisan jernih mula menodai pipinya. Khasyi mengorak langkah lalu mendekatiku. Tubuhku dirangkul erat. Aku rasa selamat saat ini. Aku rasa dilindungi tika ini.

  “Maafkan Iqah, abang.”

  “Kita mula hidup baru, sayang.”

*****

    Aku menongkat dagu. Hampir setahun Muhammad Mahraz tidak dapat ditemui. Perutku yang memboyot aku usap penuh kasih sayang. Hebahan di akhbar dan kaca televisyen tetap menemui jalan buntu. Dia tidak dapat ditemui!

  “Araz baliklah, mama rindukan Araz. Papa pun rindukan Araz. Araz akan ada adik. Baliklah!” Rintihku sendiri.

  Di hadapan suamiku, aku berpura-pura bahagia. Namun di belakangnya, aku menangis pilu. Tidak mampu aku terima suami ini. Biar aku simpan duka ini seorang ini.

  Telefon bimbitku berdering. Perlahan-lahan aku bergerak lalu mencapai telefon bimbitku yang berasa di atas meja telefon.

  “Assalamualaikum.”

  “Wa’alaikumsalam! Sayang, polis dah jumpa Araz!”

  Hatiku berbunga. Terima kasih, Ya Allah.

*****

  Tubuhku longlai. Lututku bagaikan tidak mampu menampung berat badanku. Aku mengetap bibir. Menahan air mata daripada menitis. Khasyi mendekatiku. Wajahnya suram. Dia mengusap belakangku. Cuba mengalirkan kekuatan kepadaku.

  “Jom sayang. Pasti Iqah nak tengok Araz,” ujar Khasyi.

  Aku mengangguk. Tanganku dipimpinnya lalu kami masuk ke dalam bilik mayat.

  Sekujur tubuh yang tidak bernyawa sedang terbaring kaku. Tangan dan kakinya dipotong. Hatiku digasak rasa sayu. Kasihan Muhammad Mahraz. Diseksa sehingga mati. 
  
  Inikah yang terbaik untukku, Ya Allah?

  Engkau kembalikan dia kepadaku dalam keadaan tidak bernyawa lagi.

  Betapa kejamnya insan yang melakukan sebegini kepada dia! Teganya dia melukai Muhammad Mahraz. Terketar-ketar aku mengusap rambut Mahraz. Kelopak mataku hangat dan tanpa mampu aku tahan, titisan jernit merembes laju.

  Mataku jatuh pada wajahnya. Sungguh tenang dan bibirnya seolah-olah melakarkan senyuman bahagia.

  “Araz, anak mama. Mama rindukan Araz. Mama sayangkan Araz tapi kenapa Araz pergi tinggalkan mama?” Soalku pedih.

  “Abang, kenapa dia tinggalkan Iqah? Kenapa?” Aku bertanya pula kepada Khasyi. Dia menunduk. Aku tahu dia turut menangis.

  Aku tersentak di kala Khasyi menepuk bahuku. Sebotol air mineral dihulurkan kepadaku. Aku menggeleng. Aku tidak lapar. Along dan Kak Zarqa berbual. Keluargaku dan keluarga mentuaku dalam perjalanan ke sini.

  Aku bersetuju doktor melakukan post mortem.

  “Tuan, puan.” Aku mendongakkan wajah. Inspektor Zainudin yang mengendalikan kes Mahraz memandang Khasyi dan aku silih berganti.

  “Penjenayah sudah ditangkap. Kami akan mengambil tindakan yang sewajarnya.”

  Bibirku melemparkan senyuman hambar. Tidak sanggup aku bertentang mata dengan insan yang telah membunuh anakku!

  “Araz tahu mama masih sayangkan papa. Mama, tempat seorang isteri di sisi suami.” Masih terngiang-ngiang kata-kata terakhir Muhammad Mahraz di cuping telingaku.

  Ya Allah, kuatkanlah hamba-Mu ini.

*****

  Tanganku memegang batu nisan. Aku mengukirkan senyuman.

  “Araz, semoga Araz bahagia di sana. Suatu hari nanti, mama pasti akan ikut Araz jugak. Mama tahu ini semua ujian untuk mama. Araz anak yang baik, taat. Mama tak menyesal dapat anak macam Araz. Mama sayang Araz,” tuturku dalam sendu.

  Khasyi merangkul bahuku.

   “Sayang, jom balik.”

  Aku mengangguk lemah. Perlahan-lahan aku bangun lalu dia memimpinku pulang. Langkahku terhenti seketika. Memandang kubur Muhammad Mahraz seketika sebelum meneruskan langkah. Langit yang mendung aku tatap.

  Aku masuk ke dalam perut kereta. Khasyi merenungku.

  “Iqah jangan bersedih. Kita semua milik DIA. Mestilah kita kena kembali kepada DIA. Semua yang bernyawa pasti akan mati.”

  “Tapi Iqah sayangkan Araz.”

  “Abang pun sayangkan dia. Allah sayangkan dia sebab tu Allah ambil dia kembali.”

  Aku menghela nafas lemah.

  Setibanya aku di rumah, aku meluru masuk ke dalam bilik. Ku biarkan Khasyi bersendirian di ruang tamu. Aku menghamburkan tangisan. Duka ini sangat menyakitkan.

  Dan tiba-tiba, ada tangan menyapa lembut bahuku.

  “Nur Raiqah, jangan simpan duka tu seorang diri. Abang selalu ada untuk Iqah.”

  Air mataku dikesatnya.

  “Abang sayangkan Iqah. Iqah kena jaga kesihatan. Baby perlukan Iqah.”

  Aku mengangguk. Muhammad Mahraz, mama doakan anak mama bahagia di sana. Aku perlu kuat. Aku perlu tabah. Masih ada seribu satu dugaan yang perlu aku lalui. Aku tidak boleh tersungkur dengan mudah.

  “Maafkan Iqah, abang.”

  Dia melakarkan senyuman. Ya Allah, aku redha dengan ketentuan-Mu. Ini bukan penghujung hidupku. Nur Raiqah wanita yang kuat! Semoga hari esok lebih baik dari hari ini.



 Maaflah kalau tak seronok. Aku bukan pandai sangat buat cerita sampai orang suka nak baca. BTW, exam dah habis! muahaha. Merdeka sebelum penyeksaan bermula.. *PMR tahun depan* huhu. Assalamualaikum :')
 
 
  



24 comments:

  1. Sedeynyer,kejamnyer wat araz camtu,
    Btw,gud luck 4 ur PMR hanna!
    Nnt wat cter besh2 lg ex, ;)

    ReplyDelete
    Replies
    1. ni yg dinamakan dunia zaman sekarang. Kejam!
      Hehe. Terima kasih.
      Insya-Allah :')

      Delete
  2. Aduh... PMR thn depan! Terpaksa lah tangguhkan pembacaan novel-novel. haha.. Anyway, cerpen best!

    ReplyDelete
    Replies
    1. boleh baca lepas PMR. muehehe
      Tengkayu <3

      Delete
  3. best! tp curious.. apa yg t'jd smpai mahraz hilang?

    ReplyDelete
  4. best!! sedih.. tp yana curious la apa yg t'jd smpai mahraz blh hilang?

    ReplyDelete
    Replies
    1. ehehe. Curios ya? Sorry ya sebab tak cerita lebih detail.. wee

      Delete
  5. alaa.... cedey..... ciannyer adik Mahraz tue... sobs sobs sobs.. jahat betul prg yg wat tue.. patut wat hukuman an eye for an eye... so potong jer tgn kaki dier... iskh.. setahun tue ilang.. x tau cemana perasaan tue.. uhuks...

    ReplyDelete
    Replies
    1. tu lah. Sedih woo kalau kita ada kat tempat Raiqah. Mmgnya ada ke hukuman an eye for an eye? huhu

      Delete
  6. Sangat sedihhhh.. Kesian araz..tapi ade hikmahnye kn. Allah ambil araz,until beri bhagia pd raiqah n suami. Hurmm..

    ReplyDelete
    Replies
    1. yepz. Setiap yg berlaku tu ada hikmahnya

      Delete
  7. Hanna,penulisan kat sekolah mesti perfect kan :-)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Biasa ja. Macam student lain jugak. Hehehe

      Delete
  8. Baru pmr ingatkan dah u dah....awak tingkatan 2 baru la...good luck untuk hari yang mendatang.tq

    ReplyDelete
    Replies
    1. hahahaha. lagi few years baru masuk u, insya-Allah. hanna form 4 tahun ni. ahaks. thanks ya cik anon

      Delete
  9. Best cerpen ni..sedih..gud luck ye dik untk spm thn dpn..

    ReplyDelete
  10. sadiis bangeet!haru campur kecewa aku bacanya,papa dia datang saat semua sudah terlambat,untung ini cuma cerita,kalau nyata hanya satu kalimat terucap"la haula walaa quwwata illaa billah!

    ReplyDelete
  11. Best..tpi sedih sgt..kejam btol org yg bunuh araz tu😭

    ReplyDelete

Takut komen?
Jangan risau.
Gueh bukan raksasa makan orang.
Gueh hanna...