cerpen : Berapakah Harga Cintamu?



  Sejak tadi skrin laptop menjadi tumpuanku. Langsung tidak berganjak dari situ. Mungkin pepatah mak mentua lalu belakang pun tak sedar boleh digunakan. Baju Hard Rock Café Bangkok yang tersarung di tubuhku bagaikan tidak mampu menahan kesejukan yang amat. Nama pun baju tiruan. Beli di pusat bebas cukai di Bukit Kayu Hitam tapi ada kena mengena ke dengan sejuk yang amat ini?

   Dari Youtube, aku berganjak ke laman Facebook. Koleksi novel Liana Afiera Malik bagaikan memujukku untuk membeli. Ah! Dugaan. Aku memejamkan mata. Membayangkan novel-novel itu berada dalam pelukanku.

  “Minah, buat apa?” Aku berpaling. Kacau line sungguh! Baru nak berangan. Mangkuk punya budak. Jangan nanti mangkuk berada di atas kepalanya sudah.

  “Hang ni pasai pa? Nasib baik aku sihat walafiat. Gamaknya aku terkejut beruk lalu mati macam mana?” Soalku kembali dengan nada yang kuat. Hatiku dihimpit rasa geram.

   Farhanah menggaru kepalanya yang tidak gatal. Membuat muka tidak bersalah lalu melabuhkan punggung di sebelahku.

  “Maaflah. Aku saja nak bergurau dengan hang.”

  Aku mencebik. Minah ni tak reti nak bergurau cara yang betul. Kalau aku terkejut dan sakit, siapa yang susah? Aku juga.

  Tumpuanku kembali ke arah skrin laptop. Koleksi novel idamanku hanya mampu aku pandang dengan pandangan kosong. Tak ada duit nak beli. Bayangkan kalau aku beli. Bab meminta duit ni haruslah ketika hari raya.

  Entah apa yang ada dengan novel. Aku pun tidak pasti. Yang aku tahu, aku sangat sukakan novel. Hinggakan termasuk ke dalam mimpiku.

  “Hang macam orang hilang laki ni pasai pa?” Farhanah menepuk bahuku. Aku menggosok bahuku. Macam manalah aku ni nak cantik. Setiap hari kena pukul.

  “Aku nak beli koleksi novel Liana Afiera Malik tapi biasalah. Tengah ‘kaya’ sekarang ni. Yang hang duk kata kat aku. Hang pun yang macam hilang hamster ni pasai pa?”

  Sejahat-jahat Farhanah, dialah yang ada saat aku susah. Dari kecil hinggalah sekarang, dialah sahabat aku. Kalau dia kahwin, konfem aku yang jadi pengapit dia. Baguslah. Boleh cari lelaki kacak dan kaya. Dua dalam satu gitu!

  “Aku? Masalah kerja,” keluhnya perlahan.

  “Kena buang kerja ka?”

  “Cet! Tak ada maknanya. Aku ni pekerja kesayangan bos. Sekarang, aku tengah buntu. Kawan Naufal tengah cari pengasuh. Aku beritahu Naufal yang aku nak tolong dia. Masalahnya sampai sekarang aku tak boleh cari orang yang bakal menjadi pengasuh yang hebat.”

  Terangguk-angguk aku mendengar kata-kata Farhanah. Kawan Naufal pun satu. Carilah sendiri. Tak pun pergi ke agensi kerajaan. Kan banyak.

  “Peduli apa aku. Yang aku tahu sekarang, aku kena dapatkan duit beli novel.” Ucapku tanpa memandang wajahnya.

  “Apa kata…”

*****

  Rumah banglo yang tersergam indah di hadapanku ku pandang tanpa sebarang perasaan kecuali perasaan geram. Farhanah punya pasal. Hampagas sungguh! Aku membetulkan tudung bawalku yang ditiup angin sebelum menekan loceng.

  Bertalu-talu aku menekan loceng dan akhirnya aku mengambil keputusan untuk beredar. Kata Farhanah, dia sudah memberitahu Naufal tentang kesudian aku untuk menjadi pengasuh. Kata-kata Farhanah bermain di mindaku.

  “Huissy. Tak naklah aku. Tak patut sungguh aku jadi pengasuh.”

  Tanganku dicapainya lalu digenggam erat. Sudah! Mula membuat sesi pujuk rayu.

  “Tolonglah. Gaji tinggi. Lagipun hang sekarang duk tanam anggur ja kat rumah. Baik hang jadi pengasuh.”

  Aku menggeleng. Tidak patut sungguh insan yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan sepertiku bekerja sebagai pengasuh. Hebat apa jadi penanam anggur! Tiap hari kerja tanam anggur. Nanti dah ranum boleh jual.

  “Ni, hanglah sahabat aku. Please!”

  Hatiku bagaikan sudah cair. Mak, tolong kita. Farhanah dah nak buat hati kita cair.

  “Ni, tolonglah!”

  Aku mendengus kasar.

  “Memangnya gaji sebulan berapa?” Farhanah sudah tersenyum simpul.

  “2500.” Mak ai! Banyaknya. Nak jadi pengasuh atau ketua pengasuh sebenarnya?

    Lamunanku tiba-tiba terhenti. Aku mula meneruskan langkah sebelum namaku dipanggil.

    “Cik..” Kedengaran suara garau memanggilku. Kalau panggil puan memang aku tak toleh.

  Tergamam! Itu sahaja yang mampu aku gambarkan. Seorang lelaki mengoyak senyuman seraya mendekatiku. Wajahnya aku pandang. Matanya sepet dan berwarna hitam. Tanda seorang lelaki Melayu dan mungkin ada campuran. Bibirnya kemerah-merahan tapi masih belum mampu melawan bibirku. Hidung mancung. Sekali kena dinding memang patah.

  Keningnya nipis. Aku memegang keningku. Jauh berbeza. Bagaikan langit dan bumi. Manakan tidak. Keningku tebal dan hampir bercantum sedangkan keningnya nipis dan cantik. Rasa rendah diri tiba-tiba muncul.

  “Cik..” Panggilnya lagi. Aku tersentak.

  “Ya?”

  “Cik yang nak jadi pengasuh tu ke?” soalnya lembut. Aku pun cakap kasar.

  Aku mengangguk sebelum menekur jalan yang bertar. Kawasan perumahan ini sepi tanpa kenderaan yang lalu-lalang.

  “Kalau macam tu, jemput masuk.”

   Pelawaannya ku biarkan sepi. Masuk? Tak pasal-pasal kena kahwin free. Aku tak nak. Aku nak kahwin yang kena keluar duit.

  “Jangan risau. Di dalam rumah ada pembantu dengan anak-anak saya,” tuturnya. Aku bagaikan tertampar dengan kata-katanya. Dia bagaikan tahu apa yang bermain di fikiranku.

  Anak? Ok! Memang tak ada peluang nampaknya untuk aku jadi isteri lelaki kacak dan kaya ini. Aku mula mengorak langkah. Membuntuti langkah lelaki ini masuk ke dalam rumahnya.

  Dari tadi aku hanya memandang hiasan rumah ini. Cantik dan aku pasti isi-isinya mahal. Kalau aku ni perompak, rumah ni mangsa pertama aku. Minuman yang dihidangkan untukku langsung tidak terusik.

  “Boleh saya tahu cik nama siapa?” Lelaki itu bertanya. Aku mengerutkan dahi. Mangkuk punya Naufal. Nama aku langsung tidak meniti di bibirnya ketika dia dan lelaki di hadapanku ini bertemu. Memang padanlah merpati dua sejoli tu. Dua-dua sama mangkuk.

   “Nama saya, Hani.” Lembut saja aku membalas soalannya. Kalau mak dengar, mesti dua hari dua malam aku menjadi bahan ketawanya. Mana pernah aku ni lembut-lembut. Selalu kasar dan main redah saja.

  Kata ada anak tapi mana anaknya? Aku bukan nak mengasuh lelaki ni tapi anak dia. Masalahnya jangankan batang hidung, suara budak kecik pun aku tak dengar. Anak dia bisu ke? Hisyy. Tak boleh pakai punya soalan.

  “Hani saja?”

  “Tak. Nur Hani Fitriyah.”

  Sungguh aku suka dengan namaku. Maksudnya cahaya orang berbahagia fitrah kemanusiaan. Orang lebih suka memanggilku dengan nama Hani.

  “Panjangnya nama.”

  Memang panjang. Lagi bagus kalau aku tinggi setanding dengan panjangnya namaku. Jika aku berdiri di sebelah lelaki ini, pasti aku hanya di paras bahunya. Tinggi apa?

   “Encik, mana anak encik?” Aku cuba menukar topik. Tak payahlah duk buat sesi taarufan. Yang tu nanti boleh buat. Sekarang, aku nak kenal dengan anak lelaki kacak ini.

  “Terlupa pula. Jomlah.”

  Aik! Anak pun boleh lupa? Aku menggeleng dalam diam.

  Serta-merta aku membontoti langkah lelaki kacak ini ke belakang rumah. Dahiku berkerut. Anak dia buat apa belakang rumah? Memangnya di dalam rumah tak cukup seronok ke? Seorang pembantu rumah dalam lingkungan lewat 20-an menghadiahkan senyuman kepadaku. Aku membalas senyumannya seikhlas yang mungkin.

  Mak pesan, biarlah orang membenci kita. Janganlah kita membenci orang lain. Nescaya benci itu boleh bertukar menjadi dendam. Dendam itu penyakit hati yang sangat bahaya.

  Mulutku terbuka tatkala lelaki itu menunjukkan anaknya. Banyak pula tu! Macam mana aku nak jaga?

  “Comel kan anak saya?” Lelaki kacak itu bertanya kepadaku sambil tersenyum manis.

  Aku memaksa bibirku untuk tersenyum pahit.

*****

  Troli sudah dipenuhi dengan barang-barang keperluan. Star Parade sungguh sesak. Ini padahnya kalau keluar hari Sabtu. Hari di mana kebanyakan hamba Allah bercuti. Dan cepat saja aku hilang dalam khalayak ramai gara-gara aku yang bertubuh kecil.

  Farhanah masih sibuk memilik mi segera. Minah ni satu pasal. Bab mi segera nombor satu. Tidak hairanlah dia selalu mengadu rambutnya gugur. Biar gugur banyak-banyak. Boleh pergi Yun Nam Hair Care nanti. Aku pun boleh turut serta.

  “Comel tak anak kawan Naufal tu?” Suara Farhanah memecah gegendang telingaku.

  “Comel sangat. Aku tengok pun memang jatuh hati,” ucapku dalam nada geram.

  “Menyesal aku tak pergi sekali dengan hang. Nama siapa anak dia tu? Berapa orang?”

  “Tu lah. Menyesal hang tak ikut aku. Aku tak ingatlah nama anak dia. Banyak sangat. Dalam 40 ekor tak silap aku.”

  “40 ekor?”

  Wajahku merah padam. Hatiku digasak rasa geram dan marah. Memang tak lama lagi Farhanah nak makan lantai Star Parade. Tanganku menggenggam kemas beg platik yang berisi barang-barang yang dibeli.

  “Ni, lawaklah hang ni.”

  Minah ni saja buat aku sakit hati. Dari tadi tak henti ketawa. Jangan kotak ketawa dia rosak macam Squidward sudah. Masa tu memang dia aku bahankan.

  “Kenapa kawan Naufal tu pelik sangat? Kalau aku jadi dia, aku tak sanggup bayar orang 2500 semata-mata nak jaga kucing.”

  Peduli apa aku pasal lelaki tu. Yang penting duit masuk. Jaga kucing saja. Aku memang pakar bab ni. Lagipun aku sangat sukakan kucing. Dulu masa aku kecil, aku harap sangat orang gelar aku, Ummu Hurairah. Mak kucing. Itu dulu.

  Sekarang kalau panggil Ummu Hurairah aku tak kisah tapi lebih baik panggil aku, Hani. Yang bermaksud bahagia. Aku kan orang yang suka senyum dan sangat bahagia.

  “Sebab tu aku cadang nak pergi lesing si Naufal,” tuturku tanpa riak.

  “Banyak cantik muka hang nak lesing tunang aku. Tak ada maknanya!”

  Ek eleh! Aku gurau saja. Dibuatnya aku yang dilesing nanti, tak pasal-pasal masuk wad.


*****

    Terjenguk-jenguk aku meninjau keadaan banglo yang cantik tapi sepi ini. Selepas memberi makanan kepada ‘anak-anak’ lelaki kacak, kakiku mula gatal untuk berjalan dan meneroka banglo ini. Tiba-tiba, kakiku tersepak sesuatu dan tubuhku bagaikan ingin melayang.

  Dan dalam sekelip mata ada tangan yang memegang lengan baju kurungku. Membantuku daripada tidak terjatuh.

  “Mata letak kat mana, hah?” Tengkingnya kasar. Mak ai, garang gila. Mengalahkan aku pula.

  Mataku memandang wajah yang sudah merona merah itu. Aku terpinga-pinga seketika. Rasanya aku tidak melanggar dia tapi kenapa aku dimarahi?

  “Idlan, Hani.” Aku berpaling. Lelaki di sebelahku terus melepaskan pautannya pada lenganku. Aku mula mengerutkan dahi. Memandang lelaki kacak dan lelaki garang berkali-kali.

  Rupanya lelaki kacak dan lelaki garang ini kembar. Patutlah wajah mereka sama. Terangguk-angguk aku  mendengar penjelasan lelaki kacak.

  “Nama saya, Muhammad Ikhlas Furqan. Nama adik saya, Muhammad Idlan Furqan. Maaflah. Kelmarin saya terlupa beritahu nama saya dan pasal adik saya,” terang lelaki kacak.

  Bibirku mengukir senyuman nipis. Lelaki garang merenungku tajam. Tak selesa aku dibuatnya. Kembar tetapi dirasakan seperti perwatakan mereka berbeza. Seorang baik hati dan seorang lagi kurang baik hati. Baik ni mana boleh diwarisi.

  Jelas ketara perbezaan ketinggian mereka berdua. Si Idlan ini lebih tinggi daripada abangnya. Jika aku berdiri di sebelahnya, pasti hanya paras dada sahaja.

   “Long, dia ni siapa?” Lelaki garang itu bersuara dan matanya masih tidak lekang dari memandangku. Tatkala mata kami bertembung, aku menunduk.

  “Dia pengasuh baru.”

  “Pengasuh? Abang yakin ke dia boleh buat kerja? Tengok macam dia tak boleh jaga kucing,” sinis suara lelaki itu. Aku mengepal penumbuk kecil milikku.

  Jangan sesekali memperlekehkan aku. Dia belum kenal aku siapa. Kalau aku tak boleh jaga kucing, kelmarin aku takkan ada di banglo ini! Eh. Aku bukan tahu pun yang aku kena jaga kucing. Lantaklah.

  Seekor kucing berwarna putih aku belai sambil tersenyum. Hani, namanya. Sama seperti namaku. Comel sepertiku juga. Dia menggesel kakiku. Manja!

  Tanpa aku sedari, seorang lelaki melabuhkan punggung di hadapanku.

  “Harga cinta kau berapa?”

  Aku mendongakkan wajah. Memandang gerangan yang bertanya.

  “Kenapa encik tanya?”

  Lelaki garang itu terdiam seketika. Matanya bulat. Berbeza sedikit dengan mata lelaki kacak. Bulat sepertiku dan bulu matanya panjang tetapi tidak lentik. Sepertiku juga. Hanya memakai t-shirt tanpa kolar berwarna biru muda dan seluar pendek paras lutut. Tidak kerjakah dia?

  Wajahnya tidak menunjukkan dia di awal 20-an. Raut wajah yang begitu matang. Suara yang garau dan renungan yang sukar ditafsir. Seperti lewat 20-an atau mungkin awal 30-an.

  “Dah puas pandang aku?”

  Aku tersentak. Rasa malu mula menebal dalam diri.

  Hani memanjat pahaku lalu merebahkan diri di atasnya. Soalan lelaki itu dibiarkan sepi. Lelaki kacak sudah menghilangkan diri selepas makan tengah hari. Mungkin kembali ke tempat kerja.

  “Aku tanya, harga cinta kau berapa?”

  “Kenapa encik tanya?”

  “Sebab aku nak beli cinta kau.” Jawabnya yakin.

  Aku menggaru kepala yang tidak gatal. Lelaki ini gila agaknya. Cinta aku mana boleh dibeli.

  “Cinta saya tak boleh dibeli.”

  Terus dia ketawa. Salahkah jawapanku? Kalau salah, di mana silapnya?

  “Kalau aku nak beli juga macam mana?”

  “Saya tak jual cinta saya. Tapi kenapa encik nak beli cinta saya?”

  “Sebab aku cintakan kau,” bisiknya dekat di telingaku sebelum berlalu pergi bersama Hani, si kucing.

  Terasa seperti ada debaran di dada. Aku memegang dadaku sebelum bersandar lemah pada daun pintu.


*****

    Baju kurungku yang ku lipat hingga ke paras siku aku turunkan. Tak manis anak dara buat macam ni. Kisah cinta yang ingin dibeli oleh si Idlan itu kisah dua tahun lalu. Umurku sekarang sudah mencecah 26 tahun. Sudah tua tapi masih belum ada niat untuk mendirikan rumah tangga. Bukannya tak nak tapi pengantin lelaki tak ada.

  Farhanah dan Naufal sudah mempunyai dua orang cahaya mata. Aku? Haih. Nasib badan.

  Teringat kembali kata-kata lelaki garang itu. Selepas lelaki itu mengatakan dia mencintaiku, terus aku berhenti kerja. Kalau benar cinta dan kalau benar ada jodoh, pasti takkan ke mana. Namun aku tidak percaya dengan kata-katanya. Mustahil dia boleh mencintaiku dalam sesaat. Nampaknya seperti aku turut mencintai lelaki itu. Ah! Mainan hati semata-mata.

  “Hani, tolong hantarkan saya ke sebuah rumah,” ucap bosku tiba-tiba.

  “Bos, macam mana saya nak hantar bos sedangkan saya lesen pun tak ada?” Tu lah. Mak suruh ambil lesen tak nak. Kan dah susah.

  “Lupa pula. Jom ikut saya.”

  Aku hanya menurut perintahnya. Tiada lagi pengasuh. Hanya seorang kerani semata-mata. Memang tak kena langsung dengan ijazah yang aku pegang tapi itulah yang dinamakan takdir.

  Jantungku bagaikan ingin luruh. Peluh mula merinik laju. Terasa sejuk serta-merta. Aku pandang bos dengan muka tak percaya. Cuak!

  “B.. bos. Takkan rumah ni yang bos nak pergi?”

  “Ya. Jom masuk.”

  “Tak apalah. Saya tunggu kat sini saja. Bos masuklah.” Aku mempersilakan dia masuk. Bos hanya menggeleng melihat keletahku.

  Bos memang cantik tapi setahuku dia sudah berkahwin. Orang cantik memang senang nak cari jodoh aku rasa. Orang macam aku? Malas pula nak fikir.

  Tapi apa kaitannya bos dengan lelaki garang dan lelaki kacak?

  Tanpa semena-mena, terasa seperti ada yang menggesel di kakiku. Aku menunduk. Dahiku berkerut.

  “Hani..”
  
  Aku berpaling.

  “Encik…” Ucapku tanpa suara. Aku terkejut dengan kehadirannya. Hani di kakiku dicapainya sebelum dia menggaru leher Hani. Hani hanya memeluk dia manja tanpa mengeluarkan sebarang bunyi.

  “Kau datang sini buat apa?”

  “Saya teman bos.”

  “Ingatkan nak jual cinta kau kat aku,” perlinya. Pap! Terasa tertampar dengan kata-katanya.

  Lidahku kelu untuk berkata-kata dan bos datang menyelamatkan keadaan.

  “Angah buat apa dengan pekerja akak ni?” Angah? Akak? Peningnya!

  Air yang dihidangkan langsung tidak terusik. Tak pernah aku tahu lelaki kacak merupakan suami bos. Lain kali aku patut ambil tahu juga hal peribadi si bos. Wajah lelaki kacak tidak banyak berubah. Ada sejemput janggut dan sudah tak sekacak dulu.

  Lelaki garang masih sama. Langsung tidak berubah. Baik dari penampilan mahupun pertuturan. Masih duk aku-kau. Sini aku-hang lah!

  “Angah sembang la dengan Hani. Along dengan kak long nak pergi belakang kejap.” Macam nak bagi peluang kami berbual nampak.

  Seminit. Dua minit. Tiga minit. Kami hanya membisu. Tiada sepatah perkataan pun meniti keluar dari bibirku. Dia juga begitu.

  “Hani jarang rapat dengan orang. Aku hairan macam mana dia boleh sukakan kau. Dulu, aku cakap aku akan kahwin dengan orang yang Hani suka dan orang tu ialah kau.” Hani tu merujuk kepada kucing yang comel macam aku. Adakah dia tuan si Hani? Aku rasa ya kerana kelihatan seperti dia dan kucing itu tidak boleh berenggang.

  “Sebab tu encik nak beli cinta saya?”

  Dia menggeleng seraya membelai si Hani. Manja!

  “Aku nak beli cinta kau sebab aku cintakan kau. Aku pun tak pasti macam mana aku boleh sukakan kau. Rasa tu hadir tiba-tiba. Rasa yang tak pernah aku rasa sebelum ini. Dua tahun aku tunggu kau. Berharap kau datang tapi kau tak juga datang hinggalah hari ini.

  Aku nak kena belanja kak long sebab temukan aku dengan kau.”

  Kenapa rasa itu turut hadir dalam hatiku? Rasa yang tidak sepatutnya ada. Aku mengeluh.

  Waktu bagaikan lambat berjalan. Sudah puas wajahku diratahnya. Tiba-tiba dia tersenyum. Ada lesung pipit. Satu pelengkap untuk senyuman yang cantik. Dulu, aku selalu mengeluh kerana tidak dikurniakan lesung pipit hinggalah mak memberitahu orang yang ada lesung pipit ini cacat.

  Cacat macam mana aku tidak pasti. Tapi sekarang, aku sudah tidak pedulikan semua itu. Aku bersyukur dengan apa yang aku ada. Kecantikan dalaman itu jauh lebih penting daripada kecantikan luaran. Bila-bila masa saja kecantikan itu boleh lenyap. Jadi hargailah kecantikan itu sebaik yang mungkin. Bukan berlagak tapi bersyukur.

  “Saya tak cintakan encik!”

  “Kalau benar kau tak cintakan aku, kau dah berkahwin dan ada anak. Aku tahu apa yang kau rasa. Hati kau hanya untuk aku.” Kelu! Hatiku berdegup kencang. Tidak tahu ingin membalas apa. Setiap yang diperkatakan betul-betul menikam jantungku.

  “Saya…”

  Tidak sempat aku menghabiskan kata. Dia sudah memotong kataku terlebih dahulu. “Aku, Muhammad Idlan Furqan. Umur aku 30 tahun. Bekerja sebagai seorang arkitek dan masih bujang. Sedang dilamun cinta dan ingin membeli cinta seseorang tapi malangnya perempuan tu tak yakin aku cintakan dia.

  Sejak dua tahun dulu aku cuba nak beli cinta dia tapi masih gagal.”

   “Kalau encik beli cinta saya, encik nak bayar dengan apa?”

  “Aku akan bayar dengan cinta aku. Cinta yang tak mungkin menjanjikan harta tapi menjanjikan cinta hingga akhir usia. Cinta yang tak mungkin seindah cinta Yusuf dan Zulaikha, tak mungkin sesuci cinta Adam untuk Hawa. Namun cinta ini  tetap berharga.”

  Ayat macam cedok dari novel saja. Ingin saja aku meletuskan ketawa tapi keadaan memaksa aku diam tak terkutik.

  Patutkah aku terima cintanya? Benarkan aku cintakan dia? Hati, jawab! Aku keliru.

  Rasa yang hadir itu bagaikan meyakinkan aku bahawa rasa itu adalah cinta. Ya Allah, diakah jodohku? Pembimbingku ke syurga-Mu?

  “Saya bukan secantik Ainul Mardhiah. Bukan setaat Siti Hajar dan bukan sebaik Siti Aisyah. Sudikah encik terima insan lemah ini?”

  Aku mula bermain kata.

  “Kalau aku tak terima kau, tak mungkin aku sanggup tunggu sampai dua tahun. Nur Hani Fitriyah, sudikah kau jadi isteri aku? Ibu kepada anak-anak aku? Pendamping aku hingga ke syurga?” Matanya sedikit berkaca.

  Ya Allah, kuatkanlah aku. Ayat 36, Surah Yasin bermain di mindaku.

  ‘Maha Suci Tuhan yang Telah menciptakan pasangan-pasangan semuanya, baik dari apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan dari diri mereka mahupun dari apa yang tidak mereka ketahui. (Ayat 36: Yasin)

  “Saya terima lamaran encik.”

  “Akhirnya cinta kau, aku boleh beli.”

  Jika ditanya berapakah harga cintaku, tidak ternilai. Jika ditanya siapa aku, aku hanya seorang insan biasa yang lemah lagi kerdil. 
  
  Lelaki garang tersenyum sebelum mengenyitkan mata kepadaku. Aku berpaling sebelum mengoyak senyuman.


Assalamualaikum. Haip! Dah berkurun rasanya aku tidak menulis dan mengarang. Pohon beribu ampun jika ada salah dan silap. Aku baca cerpen ni dengan rasa kosong. Kosong, kosong, kosong. Entahlah

12 comments:

  1. aww.. coooommeeeellll.... ;D suka!

    ReplyDelete
    Replies
    1. tapi tak boleh nak buat apa bila penulis tak comel macam cerita dia.. :p

      Delete
  2. Bismillah dan Assalamualaikum :)
    aww.. so nice.. suka sgt.. wlupun nmpk agak ganas.. tp tetap t'sentuh bila mmbaca :D

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumsalam. Erk! Ganas ya? Hehe.. apa pun terima kasih kerana membaca dan mengomen

      Delete
  3. wahh sweet and best la dik! hihihi :)

    ReplyDelete
  4. wahh sweet and best la dik! hihihi :)

    ReplyDelete
  5. hehe..kalu panjangkan lg mesti makin best..hehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. errkk... muahaha. Tak suka sangat buat cerpen panjang2. *tak pandai sebenarnya* hahaha

      Delete
  6. Hehe.. Comell ^_^ ~ Aku Nak beli Cinta Kau ?! :') -HoneyBee-

    ReplyDelete
  7. Thumbs up for the writer. Perkembangkan lagi idea anda agar jalan cerita lebih menarik minat pembaca.

    ReplyDelete
  8. woww? hanna dah spm ke? dulu follow hanna tapi blog dah bertukar link so punyalah stalk sekarang baru jumpa. kena google koleksi cerpen hanna baru jumpa hahahaha btw your long lost follower from 2012 ^^

    ReplyDelete

Takut komen?
Jangan risau.
Gueh bukan raksasa makan orang.
Gueh hanna...