cerpen : Detik Cinta Terakhir



  Mataku membulat. Aku tertungkap seketika. Saat ini waktu bagaikan terhenti. Jantung juga begitu. Wajah sudah pucat seolah-olah tiada darah yang mengalir. Angin malam menyapa pipi. Tubuhku sedikit kesejukan.

  Ibu mendekatiku. Tangan milikku diraihnya sebelum mengelus lembut pipiku. Riak wajahnya tenang menyorot anak mataku. Ayah hanya menghela nafas lemah. Kak Long dan Abang Ngah membisu.

  “Ibu, Syaurah tak boleh!” Ucapku sayu. Pelupuk mataku sudah bergenang. Bila-bila masa saja titisan jernih itu akan menodai pipi bersihku.

  “Syaurah, tolonglah. Demi ibu dan ayah.”

  Aku menggeleng. Mustahil untuk aku bersama si dia meskipun rasa cinta itu sudah lama bertamu di hati. Betapa beratnya untuk aku menerima dia. Terlalu berat…

  Ibu membuang pandang ke arah langit malam. Aku tahu ibu sedih dengan kata-kataku. Percayalah tidak terniat langsung di hatiku untuk melukakan hati ibu namun aku tidak mampu bersama Riffat Nizar. Aku bukan pilihannya.

  “Ibu, mustahil untuk Syaurah bersama Riffat. Dia tak cintakan Syaurah.”

  “Sayang, Riffat cintakan Syaurah. Kalau dia tak cintakan Syaurah, dia takkan pinang Syaurah. Percayalah cakap ibu,” tutur ibu lembut.

  “Syaurah, ayah tak paksa Syaurah. Syaurah fikirlah sebaik yang mungkin. Buat solat Istikharah. Ini bukan kahwin paksa kerana takkan sama sekali kami memaksa Syaurah. Kami cuma inginkan yang terbaik  untuk Syaurah. Kami yakin Syaurah akan bahagia dengan Riffat.”

  Ayah cuba berdiplomasi. Aku menunduk. Menekur lantai. Memang ini bukan kahwin paksa. Kerana segalanya terletak di tanganku. Tapi mampukah aku terima Riffat Nizar di saat hatinya bukan untukku? Dan aku terikat dengan masa lalu yang begitu menyakitkan itu.

  Kalaulah semua itu tidak terjadi pasti aku akan menerima Riffat dengan hati yang terbuka. Kalaulah Musyrif masih ada. Ah! Semua ini sudah berlaku dan aku haruslah menerima segalanya. Nurul Syaurah, jangan salahkan Riffat!

  “Adik tak boleh terima Riffat sebab Musyrif ke?” tebak Kak Long. Darahku tersirap.

  “Musyrif dah pergi. Tak ada kaitan dengan Riffat,” lafazku perlahan. Ya! Musyrif sudah tiada. Tak ada guna aku bahas soal itu lagi. Semua itu cuma membuatkan hatiku berdarah.

  “Sayangnya akak tak percaya kata-kata adik. Adik masih dibayangi masa lalu.”

  “Adik tak perlu jawab soalan tu. Akak dah tahu jawapannya.”

  Terus aku memandu langkah meninggalkan beranda rumah. Tiada siapa tahu luka lalu masih mendalam.

*****

  Dari tadi aku asyik membebel. Aku memeluk tubuh. Ngee. Geramnya dengan Musyrif. Kata pukul 9 pagi sampai. Sekarang dah pukul 11 pagi! Sudahlah aku sangat dahaga. Siap dia nanti.

  “Syaurah..” Namaku diseru. Aku berpaling. Wajahku sudah merona merah tanda menahan amarah. Musyrif tersengih sambil menggaru kepala.

  “Maafkan aku. Aku bukan sengaja. Aku terlajak tidur.”

  “Banyaklah kau maaf! Aku tunggu kau bukan dua minit. Dua jam tahu. Nasib baik tak ada mangkuk kat tangan aku. Kalau ada memang melayang mangkuk tu dekat muka kau yang macam jamban tak siap.” Hahaha. Jahatnya aku kata Musyrif jamban tak siap.

  Lelaki itu mencekakkan pinggang. Tanda dia sedang bengang. Aku cuma menjelirkan lidah sambil ketawa kecil.

  “Macamlah kau lawa sangat. Riffat mana?”

  Aku terdiam. Wajahku berubah. Perlahan-lahan aku menghela nafas. Terus aku melabuhkan punggung di atas bangku. Perhentian bas ini semakin sepi. Tiada langsung kenderaan lalu-lalang. Musyrif mendekatiku.

  Dia duduk di atas lantai lalu menyandarkan tubuh pada bangku. Agak jauh dariku. Begnya diletakkan tepi. Aku tahu dia mengerti segalanya.

  “Dia sakitkan hati kau lagi?”

  “Dia.. dia curang. Aku nampak dia peluk awek mana entah kelmarin di mall. Sakit hati aku. Tak sepatutnya aku percayakan kata-kata dia.”

  Ah! Riffat Nizar memang begitu. Kata-katanya memang manis. Bagai menanam tebu di tepi bibir. Lelaki tampan itu hanya menyakitkan hatiku. Beberapa bulan lagi kami akan bertunang tetapi kelakuannya membuatkan aku rasa baik kami berpisah.

  Tiada guna bersama lelaki yang hanya tahu memainkan perasaan wanita.

  “Kau silap orang kut!” Musyrif cuba menyedapkan hatiku.

  “Aku tak silap. Aku kenal Riffat. Memang dia.” Empangan mataku sudah pecah. Apa yang harus aku katakan kepada ibu dan ayah?

  Lelaki yang aku sayangi dan cinta curang! Memang aku tidak pernah ada di hatinya. Kenapa aku begitu bodoh? Mempercayai kata-katanya dengan begitu mudah.

  Musyrif mendekatiku. Teragak-agak untuk menyapa bahuku dan belum sempat tangannya mencecah bahuku, tangannya ditepis kasar. Wajah merah padam Riffat aku pandang. Rahangnya turun naik. Kolar baju Musyrif dicekaknya.

  Tumbukan padu mengenai perut Musyrif dan seketika kemudian Musyrif menumbuk wajah Riffat.

  “Rupanya selama ni Syaurah menggatal dengan jantan ni.”

  Aku menggeleng.

  “Wei, bodoh! Kau tu yang menggatal.” Musyrif membentak.

  “Sudahlah!” Suaraku naik satu oktaf.

  “Syaurah, lelaki ni kena ajar. Dasar jantan tak guna. Kalau tak ajar memang dia curang lagi!” Tempik Musyrif.

  Riffat berang. Dia memukul tubuh Musyrif bertalu-talu.

  “Abang, jangan buat Musyrif,” rayuku.

  “Jangan buat dia? Hei! Jantan ni dah kata aku ni tak guna. Dia patut diajar.”

  Aku menggeleng. Aku mendekati mereka berdua. Cuba untuk meleraikan pergelutan dan malangnya aku terjatuh ke atas jalan raya. Kedengaran lori memberikan hon. Aku berpaling. Musyrif dan Riffat turut berpaling.

  Aku kaku di situ. Musyrif lari ke arahku. Tubuhku ditolaknya. Aku menutup mata. Jantungku berdegup kencang. Untuk beberapa ketika aku menutup mata sehingga kedengaran jeritan orang ramai. Mataku terbuka. Musyrif sedang terbaring di atas jalan raya.  Darah mula mengalir dari rongga badannya. Riffat masih berdiri kaku.

  Dengan perasaan yang berkecamuk, aku mendekati Musyrif. Bibirnya melakar senyuman. Pandanganku sedikit kabur kerana air mataku bergenang.

  “Musyrif, kau tak boleh pergi. Jangan tinggalkan aku,” rintihku pilu.

  “Sy..au..rah. A..kku.. har..us .per..gi. Rif..fat bo..leh ba..ha..giaa.. kann.. kau..” Matanya terus tertutup rapat. Jari-jemariku menutup bibir. Cuba menahan esak. Akhirnya aku terus terduduk dan menangis.

*****

  Aku terjaga dari tidur. Peluk merinik di dahiku meskipun kipas berputar laju. Gebar selimutku dialihkan lalu aku bangun dari pembaringanku. Jam pada dinding bilik aku kerling. Baru 2.30 pagi. Aku memandu langkah ke bilik air. Ada hikmahnya aku terjaga malam. Boleh aku mengerjakan solat Tahajud.

  “Ya Allah, berikanlah aku petunjuk. Sesungguhnya hanya kepada-Mu aku berserah. Aku tahu setiap yang bernyawa itu pasti akan mati. Semoga sahabatku bahagia di sana. Kau pinjamkan dia kepada kami lalu Kau ambil dia kembali setelah sampai waktunya.

  Aku redha dengan takdir-Mu. Aku tahu takdir-Mu adalah takdir yang terindah dalam hidup ini. Terima kasih Ya Allah untuk segalanya.” Aku menyapu wajahku usai berdoa.

  Selesai menanggalkan telekung, aku mendekati jendela. Membuang pandang ke arah jalan raya yang sepi. Kesejukan mula sampai ke tulang hitam. Kenangan lalu masih membelenggu fikiranku meskipun sudah dua tahun semuanya berlaku.

  Mimpi tadi benar-benar menyesakkan dada. Peristiwa itu bagaikan berlaku semalam. Dan aku masih menyalahkan  Riffat atas kematian sahabat baikku. Sahabat yang aku kenal sejak tadika. Kalau Musyrif masih ada, pasti aku tidak akan selemah ini.

  Pinangan Riffat benar-benar mengejutkan aku. Aku dan dia tidak jadi bertunang. Semuanya kerana kecurangan yang dia lakukan dan kematian Musyrif. Dan kini dia kembali dengan hajat untuk bersamaku. Aku masih cintakan dia tapi aku keliru.

  “Bolehkah aku percaya kata-kata Musyrif? Bolehkan Riffat bahagiakan aku?”

*****

  Ayah dan ibu memandangku. Mungkin menagih jawapan dariku setelah sudah seminggu mereka mengemukakan peminangan Riffat kepadaku. Kak Long dan Abang Ngah sudah pulang ke rumah sendiri.

  “Macam mana?” soal ayah.

  “Syaurah terima peminangan Riffat.”

  Sudah tiga malam berturut-turut aku mengerjakan solat Istikharah dan dia hadir dalam mimpiku. Semoga pilihanku ini tepat.

  “Alhamdullilah! Kena beritahu Riffat. Safi, tolong ambilkan telefon.”

  Aku memandang kosong pinggan yang berisi nasi goreng. Rasanya aku tiada selera untuk menjamah makanan. Ayah dan ibu terlalu gembira rasanya. Ya! Ibu bapa mana yang tidak gembira apabila hajat mereka ditunaikan.

  Ini bukan kahwin paksa kerana aku yang rela. Tapi adakah Riffat merasakan perkahwinan yang tercipta nanti adalah atas dasar paksa?

  Nurul Syaurah, drop the subject!

*****

   Riffat Nizar mendekatiku. Dia melabuhkan punggung di sebelahku. Tanganku dicapainya. Anak matanya memandang dalam anak mataku. Segaris senyuman terlakar di bibirnya. Sehelai rambutku yang terjuntai dikuakkan ke belakang.

  “Terima kasih kerana terima abang.”

  “Tak perlu ucapkan terima kasih. Syaurah terima abang kerana terpaksa,” tipuku.

  Wajah lelaki itu terus berubah. Berdosakah aku? Ah! Aku tidak mampu mempercayai kata-katanya. Bagiku, Riffat adalah punca Musyrif mati. Aku masih menyalahkan dia atas apa yang terjadi meskipun keluarga Musyrif menerima suratan itu dengan hati yang terbuka.

  Mereka tidak berada di tempat aku! Mereka tidak tahu apa yang aku rasa.

  “Syaurah marahkan abang?” Ajunya lembut. Pipiku dielus lembut.

  “Memang! Memang Syaurah marahkan abang. Sebab abang Musyrif mati! Semuanya sebab abang!”

  Lelaki itu terdiam. Semakin lama semakin erat genggamannya. Hujan yang menimpa bumi membuatkan orang di dalam rumah Riffat tidak sedar akan jeritanku yang semakin menggila. Aku terlalu terluka.

  Andai dapat aku undurkan kembali masa lalu, pasti aku akan memilih untuk mati. Menghalang Musyrif daripada menyelamatkan aku.

  “Syaurah harus terima takdir. Musyrif mati kerana masanya sudah tiba.”

   Aku menggeleng. Air mataku laju menuruni lekuk pipi.

  “Kalaupun dia mati kerana takdir, Syaurah tetap bencikan abang. Abang curang!”

  “Sayang, dengar sini. Abang mengaku itu silap abang. Tapi sekarang abang dah berubah. Abang akan mencintai Syaurah hingga nafas abang yang terakhir iaitu ketika detik cinta terakhir.”

  Bibirku melemparkan senyuman sinis. Perlahan-lahan aku merungkaikan genggamannya. Aku bingkas bangun dan berdiri jauh darinya. Lelaki itu turut melangkah bersamaku dan berdiri di belakangku. Langsir yang sedikit terselak menampakkan hujan yang masih tidak henti-henti mencurah.

   Aku memeluk tubuh. Sungguh aku tidak bencikan insan bernama Riffat Nizar tapi aku tiada daya untuk menarik balik kata-kataku. Aku dibayangi masa lalu itu.

  “Jangan berjanji, Riffat Nizar. Takut janji itu dimungkiri.”

  “Janji itu takkan dimungkiri. Abang cintakan Syaurah. Percayalah. Jangan bencikan abang. Hidup abang tidak lama.”

  Aku mengerutkan dahi lalu ketawa. Sumbang saja bunyinya. “Hidup abang tidak lama? Kenapa? Abang nak mati ke?”

  Sekarang, aku derhaka. Nurul Syaurah! Syurga seorang isteri di bawah telapak kaki suami. Ah! Persetankan semua itu.

  “Setiap yang bernyawa itu pasti akan mati termasuk abang dan Syaurah..” Jawapannya membuatkan aku semakin keliru. Dia meninggalkan aku sendiri. Entah ke mana aku tidak pasti.

*****

  Lenaku terganggu apabila terdengar suara seseorang sedang menyanyi. Kelihatan Riffat sedang membuang pandang ke luar jendela. Riak wajahnya begitu keruh. Sepertinya dia ada masalah besar. Aku pula tidak mengambil tahu halnya.

  “Dah puas perhatikan abang?”

  “Huh?”

  Malunya! Rupanya lelaki itu aku tahu aku perhatikan dia. Perlahan-lahan aku menghampirinya. Berdiri di sebelah dia.

  “Kalaulah Syaurah boleh undurkan masa.”

  “Kenapa nak undurkan masa?”

  Aku tersenyum lalu menghela nafas panjang.

  Lelaki itu turut tersenyum. Hatiku meruntun pilu melihat wajahnya pucat. Ikutkan hati, ingin aku membelai wajah itu. Menjaga makan dan minumnya namun ego membatas segala-galanya. Nurul Syaurah, Musyrif mati kerana takdir!

  “Syaurah nak undurkan masa supaya Syaurah yang mati waktu itu. Bukannya Musyrif.”

  Tubuhku dibawa menghadapnya. Anak matanya menerobos ke dalam anak mataku. Hatiku rasa tenang.

  “Sayang, dengar cakap abang. Musyrif mati kerana sudah tiba waktunya. Syaurah tak boleh terus begini. Jangan siksa diri sendiri. Kalau Musyrif masih ada, mesti dia tak suka. Abang tahu semua ini berlaku sebab silap abang.”

  “Bukan! Bukan salah abang. Sebenarnya, Syaurah tak bencikan abang. Syaurah cuma..” Kata-kataku terhenti. Aku tidak mampu meneruskan kata. Kening lelaki itu bertaut. Pasti menagih jawapanku.

  Aku lantas memandu langkah ke katil. Lelaki itu meraup wajahnya.

  Maafkan Syaurah, abang. Syaurah cintakan abang tapi belum sampai masanya Syaurah beritahu Syaurah cintakan abang.

*****

  Semakin lama hubunganku dan Riffat semakin teruk. Aku akan membisu di kala dia bertanya. Dia juga jarang berkata-kata kebelakangan ini. Wajahnya pucat dan acap kali dia memicit kepalanya.

  “Abang tak sihat?” soalku lembut.

  Dia menjungkitkan kening. Mungkin hairan dengan perlakuanku yang sungguh pelik ini. Tapi bibirnya tetap melayangkan senyuman manis.

  “Tak, sayang. Abang sihat.”

  Kata-katanya tidak aku percaya. Perlahan-lahan aku memicit kepalanya. Sepertinya dia selesa. Untuk saat ini biarlah aku menjalankan tugasku sebagai seorang isteri. Tiada guna kami bertekak di kala dia kurang sihat.

  “Abang akan rindukan saat ni. Saat di mana isteri abang memicit kepala abang. Kalaulah abang boleh hentikan masa.”

  “Hurmm..” Aku dengan hurmmku saja. Lelaki itu menyembunyikan senyuman.

  “Dan kalaulah abang boleh ganti tempat Musyrif. Biar abang yang pergi tapi Syaurah jangan risau, abang tetap akan menyusul dia,” ucapnya tenang. Aku mengerutkan dahi.

  “Maksud abang?”

  “Maksud abang, abang akan menyusul Musyrif. Kan setiap yang bernyawa akan mati.”

  Aku mengangguk. Ingatkan apa. Aku selesa begini.

  Terus aku teringat kata-kata Musyrif. 

  “Abang, maafkan Syaurah.”

  Tanganku ditariknya. Dia memalingkan tubuh. Menghadapku.

  Bahuku disapanya lalu dia membawa kepalaku ke dadanya. Rasa selamat di sampingnya. Rasa selamat yang tidak pernah hadir selama ini. Sedang aku selesa begini, terasa titisan hangat jatuh di bahuku. Aku mendongakkan wajah.

  Air mata lelaki ini telah tumpah. Hatiku digasak rasa sayu. Betapa berdosanya aku selama ini. Berdosa kerana tidak mempedulikan suami. Kalau ayah dan ibu tahu, pasti mereka sangat kecewa.

  Jariku mengesat air matanya.

  “Jangan menangis demi Syaurah. Syaurah tak suka.”

  “Kenapa tiba-tiba?”

  Aku menjungkitkan kening. Tidak faham kata-katanya.

  “Kenapa tiba-tiba saja minta maaf?”

  “Kerana rasa khilaf itu lahir tiba-tiba. Macam cintalah. Tiba-tiba jatuh cinta.”

  Bibirnya melekap pada dahiku. Rasas sebak bertandang di hati. Bagaikan aku tidak mahu masa ini berlalu pergi.

  “Abang sayangkan Syaurah.”

  Aku membeku. Ingin membalas kata-kata cintanya tapi lidahku kelu.

  “Abang bahagia dan abang rela pergi..” Kata-katanya tidak dapat menerobos gegendang telingaku.

*****

  Jam pada dinding ruang tamu aku kerling. Sudah pukul 8 malam dan Riffat masih belum pulang. Akauntan itu selalunya akan pulang tepat pada masanya dan yang merisaukan aku adalah dia langsung tidak menelefonku. Aku berasa tidak sedap hati.

  Telefon bimbitku tiba-tiba berdering. Lantas aku mengangkat telefon.

  “Assalamualaikum. Ni Syaurah ke?”

  “Wa’alaikumsalam. A’ah. Ni Syaurah. Ini siapa ya?” Ajuku lembut. Nombor yang langsung tidak aku kenali.

  “Ini mama. Datang hospital cepat. Riffat…” Terus panggilan terputus. Aku mencapai tudung, dompet serta kunci kereta Riffat.

  Setibanya aku di wad kecemasan, aku lihat ibu, ayah, mama dan papa. Adik beradik aku dan Riffat turut ada. Aku mengerutkan dahi. Terus aku mendapatkan mereka. Kelihatan mama dan ibu sedang berpelukan. Riffat mana?

  “Syaurah..” Namaku diseru. Aku melemparkan senyuman seperti biasa.

  “Ayah, Riffat mana?”

  Rupanya soalanku itu bagaikan halilintar yang membelah bumi. Mereka membisu
.
  Aku memanjangkan leher. Di mana suamiku? Apa yang terjadi sebenarnya? Kak Long merangkul bahuku. Disuruhnya aku duduk. Aku turutkan saja kata-katanya.

  “Kak Long, mana Riffat?” soalku tidak jemu.

  Mereka tetap membisu. Aku mengetap bibir.

  “Kenapa semua orang tak jawab soalan Syaurah? Riffat mana?” Suaraku naik satu oktaf. Ya! Mana suamiku? Kenapa aku tidak lihat dirinya?

  “Riffat dah tak ada.” Ucap papa perlahan.

  Aku terduduk. Aku menggelengkan kepala beberapa kali. Akhirnya air mataku mengalir sepi menodai pipi.

  “Abang, Syaurah cintakan abang…”

  Aku tahu aku terlambat. Lelaki itu sudah pergi. Tapi aku pasti dia tahu. Tahu aku cintakan dia!

*****

   Sudu disuakan kepadaku. Aku menggeleng. Aku perlukan Riffat di kala ini dan bukannya nasi. Ibu dan mama mengeluh lemah. Wajahku pucat tidak bermaya. Setiap hari aku hanya duduk di dalam bilik.

  “Syaurah, jangan macam ni. Kesian anak dalam kandungan Syaurah. Jangan siksa diri, sayang.” Aku masih kaku.

  Rambutku yang panjang melepasi bahu dibiarkan terurai. Foto Riffat aku tenung lama. Titisan hangat mula tumpah. Sungguh aku rindukan Riffat. Sepatutnya aku sedar segalanya. Kata-katanya ketika kami bersama sudah cukup menggambarkan dia ingin pergi. Tapi kenapa aku masih tidak sedar?

  Ibu dan mama mendekatiku. Air mataku dikesat. Aku ingin Riffat di sampingku.

  “Syaurah, percayalah. Ini yang terbaik untuk kita.”

  “Macam mana Riffat boleh mati?” Soalku tanpa mempedulikan nasihat mama.

  “Riffat hidap brain cancer. Masa dia kahwin dengan Syaurah, dia sudah sampai stage yang keempat. Riffat suruh mama pinangkan Syaurah untuk dia. Dia cakap itu adalah permintaan terakhir dia. Dia nak hidup bahagia dengan Syaurah.

  Mama tahu Riffat kuat. Mama tahu Syaurah pun kuat. Hari tu, kawan Riffat telefon. Dia cakap Riffat pengsan kat tempat kerja. Mama tahu sudah tiba saatnya dia pergi. Mama bersyukur Allah pinjamkan Riffat untuk mama.”

  Bibirnya menggariskan senyuman kelat. Perutku yang memboyot aku usap penuh kasih sayang. Anak ini akan lahir  ke dunia beberapa bulan lagi. Sayangnya Riffat tiada. Dia tidak berpeluang langsung untuk menatap anak ini.

  “Dia cakap, dia akan mencintai Syaurah hingga detik cinta terakhir. Memang benar! Memang dia cintakan Syaurah hingga detik cinta terakhir. Syaurah rindukan dia. Anak ni tak ada ayah,” luahku.

  Ibu menepuk bahuku. Mengalirkan kekuatan untukku.

  Kalau Riffat masih ada pasti dia teruja menunggu kelahiran anak ini. Kenapa harus aku mengeluh? Nurul Syaurah, ini yang terbaik untukmu.

  “Takdir Allah adalah takdir yang begitu indah. Jangan risau. Di sebalik kepedihan ini, ada manisnya. Percayalah cakap ibu.”

  Aku mengangguk. Aku relakan kepergian dia. Semoga dia bahagia di sana.

*****

  Riffat Naufal yang sedang dibuai mimpi aku pandang lama. Bibirku tidak lekang dari tersenyum manis. Sungguh wajah ini persis suamiku. Anak ini baru berusia setahun. Bermakna sudah setahun Riffat pergi meninggalkan kami.

  “Naufal, ummi rindukan babah,” rintihku pilu.

  Pelupuk mataku sudah bergenang. Hari ini adalah hari lahir Riffat Naufal dan suamiku. Apabila diri ini melihat Naufal, aku bagaikan melihat suamiku.

  Umurku pula sudah menginjak 25 tahun. Kalau Riffat masih ada, umurnya pasti 29 tahun. Ah! Relakan saja dia pergi. Itu yang terbaik untuk kami.

  “Semoga ummi tabah menghadapi hidup ini. Ummi takkan pernah lupakan babah. Ummi akan mencintai dia hingga detik cinta terakhir sepertimana babah cintakan ummi hingga detik cinta terakhir.”

  Ya Allah, di sebalik kepahitan itu, Kau berikan kemanisan yang tiada tolak bandingnya. Sesungguhnya hanya kepada-Mu aku berserah. Dan aku bahagia dengan takdir Yang Esa.


Maaflah kalau typo dan tak best ya.. Aku ni bukan pandai menulis pun. Takat menconteng tu reti la. Heeee


 

26 comments:

  1. Replies
    1. hekhek. Mmg hobi hanna buat cerita sad ending

      Delete
  2. nasib air mata tak sempat turun ..heeee

    ReplyDelete
    Replies
    1. jangan bagi air mata tu keluar.. teheee

      Delete
  3. Oh,kenapa mesti mati jugaak.!! Hehe.. Nice.

    ReplyDelete
    Replies
    1. haha.. hobi hanna buat cerita sad ending

      Delete
  4. satu garapan citer yg menarik dan sad endingnya.. bila terfikir balik..ini lah kesudahan yg terbaek kerana minah tu tak akan dapat melupakan kejadian yg berlaku dan hanya menunding jari menyalahkan suaminya yg telah pun insaf dan ingin kembali menjadi manusia yg beriman ..tetapi si isteri hanya pandai menidakkan sahaja ..walaupun sisuami telah cuba sedaya upayanya untuk mengubah tanggapan isterinya yg dicintai sepenih hati..
    Kenapakah siisteri mesti meratapi kepergian seorg suami sedangkan itukan kemahuannya kerana egonya yg tinggi melangit..
    alahai hanna..sedihnya akak membaca citer ni..esp. part hubby dia tu..dah bagi clue yg dia akan menyusung pergi berjumpa dengan kawannya musyrif..

    ReplyDelete
    Replies
    1. haaa. Betul tu, kak. Perempuan ni kekadang egonya terlalu tinggi. Kan dah tak sempat luahkan perasaan. Tu lah. Lampi betul Syaurah tu. Bagi clue nak pergi pun tak faham2

      Delete
  5. Hanna Aleeya ....

    satu hari nanti mesti nama tu masur sebagai penulis novel.. huhu~

    mudah-mudahan masin mulut akak nih, hanna..huhu~

    ReplyDelete
  6. sedih la ending dy lain kali jgn wat hero meninggal...sedih la..:(

    ReplyDelete
    Replies
    1. hehe. Tak semua cerita hanna buat sad ending tapi sad ending kerna ada jugak sbb bukan semua cerita berakhir dengan bahagia

      Delete
  7. okay. kali ni ade feel lah bhai bace cerpen ni. haha. nangis lah jugak. haha. good job. keje dok komen je dari semalam. haha

    ReplyDelete
    Replies
    1. hiksss... trimas2
      tak apa. Komen ja. Hanna terima. Lagi bagus kalau komen part kekurangan hanna sbb hanna kena banyak belajar

      Delete
    2. :) . teruskan berkarya :) . boleh lihat contoh seperti penulis baru menempa nama rehan makhtar mungkin ;) . teruskan perjuangan :) . tahniah berani menempa nama dan menanggung risiko untuk mendapat kritikan daripada pembaca :)

      Delete
    3. ya ya. Insya-Allah akan terus berkarya. Tulisan RM memang gempak gila. hikss
      terima kasih sejuta kali :')

      Delete
  8. hurmm.. kalau panjang lagi cite nie.. sure.. menitis air mata.. hehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. hehehehe. Hanna tak reti buat cerita panjang sebenarnya

      Delete
  9. waaaa pagi nie cuaca luar bkn men terik dalam rumah hujan lebat huhuhuh
    nice

    ReplyDelete
  10. waa syok! :) hehehe~ mesti nnti Hanna jadi penulis terkenal...keh3 harap2 masin mulut ni ya? bhahaha

    ReplyDelete
  11. perh . air mata tumpah kot . alahai . apa , apa pon . good job writer . In Sya Allah Hanna Aleeya akan jadi penulis terkenal suatu hari nnti . Good Luck :)

    ReplyDelete
  12. Hanna Aleeya. Penconteng yg bagus dan karya-ii nye pasti punya nilainya t'sendiri..good job n good luck! -Fa

    ReplyDelete

Takut komen?
Jangan risau.
Gueh bukan raksasa makan orang.
Gueh hanna...