cerpen : Dan Langit Cerah Lagi


note : Ajal, maut dan jodoh di tangan Yang Esa :')


  Aku merenung wajah ayah, mak dan Kak Nisa silih berganti. Mataku berkaca tapi aku tahan untaian hangat itu daripada menodai pipiku. Cuba mencari kekuatan. Teganya hati Kak Nisa. Aku benci dia! Perampas!

  “Rina benci Kak Nisa! Benci!”

  Dia memandangku takut-takut.

  “Rina, dengar dulu cakap akak,” tuturnya perlahan.

  Bibirku mengoyak senyuman sinis. Betapa sakitnya hati aku. Kenapa dia harus merampas tunangku? Kejamnya insan bernama Nurul Nisa binti Nazri. Hatiku bagaikan ditusuk belati.

  “Tak ada apa yang Rina perlu dengar lagi.” Suaraku naik satu oktaf.

  “Nurul Nisrina, jangan kurang ajar sangat!”

  Ah! Ayah tidak mengerti apa-apa. Mak pun sama. Entah kenapa aku rasa begitu tersisih. Bagi mak dan ayah, hanya Kak Nisa yang pandai. Hanya Kak Nisa yang cantik. Hanya Kak Nisa yang taat. Aku bukan manusia yang tak ada perasaan.

  Dan sekarang, Kak Nisa menyuruhku memutuskan pertunangan dengan Usyair gara-gara dia mencintai Usyair. Ayah dan mak hanya membisu. Usyair pun sama! Ini semua kerana dia berkata kepadaku bahawa dia mencintai kakakku.

  Baguslah. Nurul Nisrina bukan sesiapa.

  “Rina bukan kurang ajar tapi Rina dah muak. Muak dengan semua ni. Ayah dan mak hanya tahu salahkan Rina. Hanya tahu curahkan kasih sayang kepada Kak Nisa. Semua orang tak adil!”

  Pang! Aku terpana. Terketar-ketar tangan mak. Aku menekur lantai sebelum mengangkat wajahku. Aku mengukirkan senyuman.

  “Terima kasih untuk segalanya. Halalkan makan dan minum Rina.” Aku capai tangan mak lalu aku kucup tangannya.

  “Rina nak pergi mana?” Aju mak.

  “Cari kebahagiaan yang takkan dirampas oleh sesiapa termasuk Kak Nisa.”

*****

  Perlahan-lahan aku melabuhkan punggung di atas bangku. Mataku melingas kiri dan kanan. Tiada siapa. Aku menghela nafas lemah. Jam pada pergelangan tangan aku kerling. Sudah pukul 5 petang. Di mana aku ingin berteduh?

  Sisa air mata yang masih bertamu di kelopak mata aku kesat dengan jari-jemariku. 

  “Macam budak kecik!”

  Aku berpaling. Seorang lelaki yang sasa dan tinggi lampai mengorak langkah mendekatiku lalu duduk di atas bangku yang agak jauh dariku. Rambutnya terpacak dan kulitnya kemerahan-merahan dek terkena cahaya matahari.

  Mataku langsung tidak merenungnya. Aku hanya membisu.

  “Orang perempuan asyik nangis saja. Menangis takkan pernah selesaikan masalah,” ujarnya lagi.

  “Saya menangis pun bukan urusan encik.” Bibirku mengoyak senyuman sinis.

  Mataku jatuh pada wajah seorang kanak-kanak perempuan yang sedang leka bermain jongkang-jongket bersama rakannya. Bibirnya tidak putus-putus mengukirkan senyuman bahagia. Alangkah indahnya kalau aku seperti dia. Ah! Jangan mengarut.

  “Memang bukan urusan saya tapi saya tak suka.”

  “Saya tak boleh paksa encik suka.”

  “Hurmm. Menangis sebab putus cinta ke?” Tebaknya.

  Putus cinta? Bukanlah! Aku putus tunang. Ini semua gara-gara Kak Nisa. Makin aku ingat, makin aku sakit hati. Alasannya, aku dan Usyair tak ada jodoh. Kalau memang tak ada pun, janganlah bercinta dengan Usyair!

  “Bukan urusan encik,” tegasku lagi. Menyibuk betul mamat ni.

  “Asyik-asyik bukan urusan encik. Ceritalah. Mana tahu saya boleh tolong.”

  Aku mengetap bibir.

  “Tak ada apa yang perlu encik tahu. Saya rasa baik encik pergi.”

  “Kalau saya tak nak pergi macam mana?” Ajunya sambil tersenyum meleret.

  “Kalau encik tak nak pergi, saya akan pergi.”

  Terus aku mencapai beg pakaianku lalu berlalu pergi. Laungannya tidak aku pedulikan. Aku menengadah langit. Ah! Mendung lagi. Semendung hatiku.

*****

  Tanganku pantas saja mencapai beg tanganku. Aku berdiri. Murid-muridku juga.

  “Terima kasih, cikgu.” Suara ketua kelas menyapa gegendang telingaku.

  “Terima kasik, cikgu.” Bergema suara semua pelajar. Aku mengangguk lalu melemparkan senyuman nipis.

  Kemudian aku berlalu keluar dan berjalan ke bilik guru. Keningku bertaut. Kelihatan beberapa orang guru sedang membentuk satu kumpulan. Ah! Pedulikan saja. Aku meletakkan beg tanganku di atas meja lalu melabuhkan punggung di atas kerusi. Dahiku ditekan seketika.

  Amani tersenyum kepadaku. Aku membalas senyumannya.

  “Kau kenapa?” Ajunya lembut.

  “Tak ada apa-apa. Amani, terima kasih. Nanti kalau aku dah dapat rumah baru, aku janji aku akan pergi dari rumah kau.”

  Segan pula aku kerana menumpang di rumahnya.

  “Rina, tak payahlah duk ucap terima kasih. Kau janganlah cari rumah aku. Duduklah dengan aku. Baru seronok. Aku kan penakut sikit.”

  Aku mengangguk. Aku kenal Amani sejak berada di maktab perguruan lagi.

  “Eh, hampa tak ambil port kat pasai cikgu lelaki yang baru masuk tu?” Aku dan Amani berpaling. Kak Yasmin memandang kami.

  “Cikgu baru masuk?” Aju Amani.

  “A’ah. Amani nak tengok ka? Jom pi spy kat pejabat,” ajak Kak Yasmin.

  Tanpa banyak kata, Amani mengangguk. Aku ketawa kecil. Cepat sungguh Amani kalau bab ada cikgu baru masuk.

  “Rina tak mau pi ka?”

  Aku menggeleng. Tak lama kemudian, mereka lesap. Aku meneruskan kerjaku yang tertangguh. Malas nak ambik tahu. Bukan aku dapat apa pun kalau pergi tengok cikgu yang baru masuk.

  Mesti cikgu-cikgu buat group tadi sebab duk cakap pasal cikgu baru. Tahu sangat perangai cikgu sekolah ni.

  “Rina, awat tak pi tengok cikgu baru tu? Kacak! Macam Mario Maurer.” Kak Maryam pula menegurku.

  “Haha. Malaslah.”

  “Tahulah dia dah nak kahwin,” tutur Kak Maryam.

  Darahku berderau. Riak wajahku berubah. Aku menggenggam tanganku.

  “Saya dah putus tunang.”

  “Maafkan Kak Maryam. Kak Maryam tak tahu.”

  “Tak apa.”

  Bibirku mengukirkan senyuman kelat. Ini kenyataan! Aku dan Usyair sudah tiada apa-apa hubungan. Dulu, aku percaya yang dia jodoh aku tapi aku silap.

*****

  Aku mengangkat wajah di kala terdengar suara pengetua menyuruh para guru mendengar kata-katanya.

  “Hari ini, ada cikgu baru yang gantikan Cikgu Hisyam yang berpindah.”

  Seorang lelaki yang berdiri di belakangnya mula mengambil tempat di sisinya. Aku tertungkap. Lelaki itu!

  “Perkenalkan Cikgu Muhammad Syaddad.”

  Dan saat itu, mataku bertentang dengan matanya. Aku menunduk. Meneruskan kerjaku.

  “Rina…” Namaku diseru.

  “Kenapa?” Soalku acuh tak acuh.

  “Kacak kan cikgu baru tu?”

  “Biasa je.”

  Amani mencebik. Aku tidak pedulikan lelaki itu yang duduk tidak jauh dariku. Aku pasti dia sedang meratah wajahku. Pedulikan dia. Aku masih ada banyak kerja. Buku latihan para pelajarku aku belum semak.

  Tiba-tiba aku teringat sesuatu. Aku belum memberikan lagi Novel Tautan Hati yang aku pinjam dari Cikgu Rafid. Kalau aku tak bagi sekarang, memang sampai minggu depan aku tak jumpa dia sebab dia akan pergi kursus mulai petang ini.

  Aku mengetap bibir. Dengan malas yang bertamu di hati, aku mendekati meja Cikgu Rafid. Lelaki di sisinya mengerlingku tajam.

  “Cikgu, nah!” Aku menghulurkan novel itu.

  “Sama-sama,” perlinya.

  “Terima kasih.”

  Tidak aku pedulikan renungan lelaki itu. Saat aku berkira-kira untuk kembali ke tempatku, namaku diseru. Aku berpaling.

  “Rina, dia tanya nama awak.” Cikgu Rafid menuding jari ke arah lelaki itu.

  “Rina,” balasku ringkas.

  “Apalah Cikgu Rina kita ni. Bagilah nama penuh,” tegur Cikgu Rafid.

  “Nama saya, Nurul Nisrina binti Nazri. Panggil saja Rina. Okey tak Cikgu Rafid?”

  Cikgu Rafid tersengih. Kepalanya yang sudah botak ditengah digaru. Tahu sangat dia suka bergurau.

  Lelaki di sebelahnya hanya merenungku tanpa kata. Aku berasa tidak selesa. Mata bundar itu masih lekat di wajahku. Tangannya dimasukkan ke dalam kocek slacknya. Nampak segak lelaki ini. Kelmarin sewaktu aku berjumpa dengan dia di taman permainan dia hanya memakai t-shirt dan trek.

  Dadaku berdebar-debar. Aku mengerutkan dahi. Ah! Sudah. Janganlah jatuh cinta wahai hati.

  “Dah berpunya belum?” Soal suara itu tiba-tiba.

  “Dulu, dah berpunya. Sekarang dia dah putus tunang. Kalau Chad nak masuk line, ok ja,” sampuk Cikgu Rafid.

  Mataku membulat. Pandangku tertumpu pula pada wajah Cikgu Rafid. Dia tersengih. Sah! Mesti Kak Maryam cerita. Tahu sangat Kak Maryam. Dia akan sebarkan hal ini dan akan menyuruh mana-mana cikgu yang ada anak lelaki yang sebaya atau tua dariku dijodohkan denganku. Cikgu-cikgu perempuan di sekolah ini sangat prihatin hal aku dan Amani.

  Mungkin kerana hanya kami yang belum berkahwin dan masih muda.

  “Umur berapa?”

  “25 tahun,” sampuk Cikgu Rafid lagi.

  “Cikgu Rafid…” Aku memberi amaran.

  “Yelah. Cikgu tak cakap lagi. Kalau Chad nak tahu, Chad tanyalah dia. Kalau abang yang tanya, dia marah. Tak pasal-pasal ada kasut singgah kat pipi abang.”

  Lelaki itu mengangguk dan dia terus memandangku.

*****

  Sebuah Porshe Cayenne berwarna hitam metalik menghalang langkahku. Dahiku berkerut. Sejak bila cikgu sekolah ni pakai Porshe segala? Bukan harga seribu ringgit kereta ni. Dan saat cermin diturunkan,  wajah itu terjulur keluar.

  “Nisrin nak balik ke?”

  Aku mengangguk. Memanglah nak balik. Takkan nak berlari di padang pulak. Dia melemparkan senyuman kepadaku.

  “Marilah saya hantar balik,” pelawanya sopan.

  “Tak apalah. Saya balik dengan Amani saja.”

  “Amani kan pergi kursus.”

  Aku menggigit bibir. Aisehman. Nak kelentong pun tak boleh.

  “Kalau macam tu, saya balik jalan kaki.”

  “Huisyy. Tak payahlah. Mari saya hantar balik.”

  Dan aku masih membisu. Dia keluar dari perut kereta lalu meraih lenganku dan menolakku masuk ke dalam perut keretanya. Mataku membulat. Aku bagaikan terkena renjatan eletrik. Sepajang aku hidup di atas muka bumi ini, ini kali pertama seorang lelaki yang bukan mahramku memegang lenganku meskipun berlapik.

  Sepanjang perjalanan, aku hanya membisu. Lelaki itu bernyanyi kecil sambil mengetuk stereng. Tali leher yang dipakainya tadi entah dicampak ke mana. Rambutnya kusut-masai. Butang pertama bajunya dibuka. Tapi semua itu tetap tidak mengikis kekacakan yang dimilikinya.

  “So, awak menangis sebab putus tunang?”

  Aku terdiam.

  “Jawablah,” gesanya lagi.

  “Ya.”

  “Awak cintakan tunang awak?”

  “Pembetulan! Bekas tunang saya.”

  “Yelah. Bekas tunang. Awak cintakan dia tak?”

  Fikiranku melayang jauh. Benarkah aku mencintai Usyair? Tidak! Sememangnya tidak. Aku dan doktor itu bertunang kerana ayah memaksaku. Tiada langsung sekelumit cinta untuk dia. Sudah puas untuk aku menerima dia tapi aku tak mampu.

  Aku tak mampu memaksa diri ini mencintai seseorang.

  “Tak!” Kata-kata itu meluncur laju dari bibirku.

  Pap! Mahu aku tampar bibir ini kerana berterus-terang. Tak pandai menipu langsung.

  Lelaki itu ketawa. Aku memandangnya sekilas.

  “Kalau awak tak cintakan dia, kenapa awak menangis?”

  “Sebab kakak saya melampau. Saya tak larat nak mengalah. Asyik-asyik, kakak saya baik. Kakak saya cantik. Kakak saya pandai. Mereka tak fikir langsung perasaan saya. Saya bukannya patung.

  Tergamaknya dia bercinta dengan bekas tunang saya di belakang saya. Saya rasa dikhianati. Kalau kakak saya nak kahwin dengan Usyair sekalipun, kahwinlah tapi jangan lukakan hati saya. Jangan hanya bercinta di belakang. Cakaplah terus-terang. Mak dengan ayah saya diam saja. Nampak sangat sokong Kak Nisa.”

  Aku sandarkan tubuhku. Dahiku aku picit berkali-kali. Air mata yang ingin tumpah aku tahan.

  Lelaki itu mengangguk. Dari riak wajahnya, aku tahu dia rasa bersalah kerana bertanyakan aku soal bekas tunangku.

  “Nisrin, saya rasa kelakarlah,” ujarnya tiba-tiba.

  Keningku bertaut. Kelakar? Aku tak buat lawak langsung.

  “Takkan sebab seorang lelaki, awak dengan kakak awak bergaduh? Nur Nisrina, awak bukan budak kecik lagi. Lupakan lelaki tu. Banyak lagi lelaki yang awak boleh buat suami. Saya pun boleh. Lagipun umur saya dah 33 tahun. Mama saya dah bising suruh saya cari isteri. Dan pasal mak dan ayah awak, saya rasa awak tak payahlah ambil hati. Orang tua memang macam tu. Mereka diam tak semestinya mereka sokong. Tak guna bertekak. Kalau bukan jodoh awak, bukanlah.”

  Suami? Lambat-lambat aku menelan air liur. Ada hikmahnya jugak Kak Nisa bercinta dengan Usyair. Tak payahlah aku kahwin dengan Usyair. Walaupun orang cakap cinta boleh dipupuk, aku tetap rasa aku dan Usyair tak mampu bersama.

  Ada betulnya kata-kata lelaki ini. Buat apa aku nak bergaduh dengan kakak aku gara-gara seorang lelaki? Runsingnya. Ego membataskan segala-galanya.

  Kahwin dengan mamat ni? Wohoo. Kenal pun tak sampai seminggu.

  “Berbaiklah dengan dia.”

  “Err..” Aku kehilangan kata-kata.

  “Saya harap korang berdua berbaik dan langit akan cerah lagi.”

  Keningku terjongket. Langit cerah lagi?

  “Langit akan cerah lagi?”

  “Ya. Sebab saya tengok langit asyik mendung sejak saya kenal awak. Mungkin kerana hati awak yang tengah ‘mendung’.

  Aku mencekakkan pinggang. Dia melepaskan tawa.

*****

  Tanpa berkira-kira, aku menengadah langit. Langit cerah! Secerah hatiku. Entah kenapa kata-kata Syaddad begitu berkesan di hatiku. Tiada lagi rasa benci, marah atau iri hati. Semudah itu aku melupakan segala-galanya. Ya. Semudah itu.

  Aku melangkah setapak lalu mengetuk pintu. Sudah beberapa minggu aku tidak pulang ke rumah. Meskipun ayah, mak dan Kak Nisa sering menghantar mesej kepadaku supaya aku pulang, aku tetap dengan keputusanku. Tetap degil.

  Dan saat tombol pintu dipulas, tersembul wajah mak.

  “Mak!” Terus tubuhku dirangkulnya.

  Ayah, mak dan Kak Nisa memandangku. Hanya sepi membelenggu kami.

  “Maafkan Rina,” tuturku lembut.

   “Maafkan ayah.”

  “Maafkan mak.”

  “Maafkan akak.”

  Keningku terjongket. Aku pandang wajah mereka silih berganti. Kenapa semua meminta maaf?

  “Kenapa semua minta  maaf?” Gumamku sendiri namun cukup untuk ahli keluargaku dengar.

  “Sebab semua melakukan kesalahan. Baguslah kita dah berbaik,” ucap Kak Nisa.

  Terus aku mengangguk. Siapalah aku untuk tidak melakukan kesalahan.

  “Hurmm. Tapi kan Rina, siapa yang ubah Rina sampai Rina meminta maaf?”

  Aku terdiam. Soalan ayah benar-benar membuatkan lidahku kelu. Bibirku melemparkan senyuman lalu mejongketkan bahu. Biarlah ahli keluargaku tidak kenal Syaddad.

  “Pakwe Rina lettuw,” usik Kak Nisa. Aku menampar bahunya. Lantas kami sama-sama ketawa. Usyair mungkin bukan untukku tetapi selayaknya untuk Kak Nisa. Aku terima semua ini. Tak kisahlah orang cakap aku jilat ludah balik ke, pengecut ke. Yang penting, aku tidak bermusuhan sehingga mati.

*****

  Tanganku membetulkan letak tudung di kepalaku. Jam pada pergelangan tangan aku kerling. Sudah pukul 10.50 pagi. Masa untuk aku masuk ke dalam kelas 2 Bestari.  Lantas aku bangun lalu mencapai beg tangan serta latihan Bahasa Malaysia yang akan aku berikan kepada mereka.

  “Nisrin…” Aku berpaling. Sah! Memang Syaddad. Hanya dia yang memanggil aku, Nisrin.

  Sehelai rambut yang terjuntai di dahi itu diselak ke belakang. Wajahnya serius. Bibirnya tidak melakarkan senyuman manis seperti selalu. Hairan! Selalunya dia akan tersenyum.

  Sejak dia datang ke sekolah ini, para pelajarku tidak lagi menumpukan perhatian di kala aku mengajar apabila dia melalui kelasku. Aku tahu dia menjadi pujaan ramai pelajar perempuan. Gayanya bersahaja tapi kacak. Itu kata mereka.

  Pernah aku dengar bahawa lelaki ini merupakan jurutera sebelum menukar kerjaya menjadi seorang pendidik dan ayahnya merupakan usahawan yang terkemuka di Malaysia. Wajarlah dia memakai Porshe Cayenne.

  “Ada apa?” Ajuku tergesa-gesa kerana aku perlu bergegas ke kelas.

  “Saya ada hal nak cakap dengan awak.”

  “Err. Tapi saya ada kelas sekarang ni.”

  Lelaki itu hanya mengangguk.

  “Tahu. Kita jumpa di kantin selepas waktu persekolahan.”

  Terus aku bersetuju lalu melangkah masuk ke dalam kelas 2 Bestari. Hal apa yang dia ingin bincangkan denganku?

*****

  Langkahku aku hayun laju. Muhammad Syaddad sedang menyisip minuman. Amani masih berada di dalam bilik guru. Membuat minit mesyuarat.

  “Eh, duduklah dulu,” pelawa dia saat dia menyedari kehadiranku.

  Terus aku menggeleng. Rasa kekok untuk berada bersamanya tanpa orang lain. Lagipun sudah puas aku dan dia digosipkan bersama. Ini semua gara-gara aku menumpang keretanya pulang.

  “Duduklah. Saya ada hal penting nak cakap ni!”

  “Hurmm. Yelah.”

  Mata bening berwarna coklat pekat itu merenungku tajam. Tidak selesa dibuatnya. Aku menggaru hujung daguku.

  Hatiku berdegup kencang. Aku mengetap bibir. Janganlah buat pasal wahai hati.

  “Err. Awak dah berpunya belum?”

  “Dulu, saya berpunya tapi sekarang, dah pegang title single.” Aku melepaskan tawa kecil. Dia hanya tersenyum.

  “Kalau macam tu, sudi tak awak kahwin dengan saya?”

  Mataku membulat. Benarkah apa yang aku dengar?

  “Kahwin dengan awak?”

  “Ya. Saya bukan orang yang suka berkiasan. Saya suka awak dan saya nak kahwin dengan awak. Lagipun saya dah tua. Tak ada masa nak bercintan-cintun.

  “Boleh beri saya masa?”

  “Boleh tapi jangan lama sangat.”

*****

  Amani menepuk bahuku. Aku menjuihkan bibir. Meskipun aku dan ahli keluargaku sudah berbaik, aku tetap mengambil keputusan untuk tinggal bersama Amani. Tidak sanggup pula meninggalkan dia hidup sendiri. Lagipun, dia penakut!

  Sudah dua minggu semenjak Syaddad menyatakan keinginannya. Solat istikarah telah aku lakukan dan aku begitu yakin dia ditakdrikan untuk bersamaku.

  “Kau kenapa?”

  “Syaddad lamar aku,” tuturku perlahan.

  Bibirnya melemparkan senyuman. Wajahnya ceria.

  “Wah! Seronoknya kau. Nanti cerita kat aku. Sekarang, better kau pergi jumpa dia. Dia tunggu kau depan pagar.”

  Dahiku berkerut. Kenapa dia datang ke sini?

  Saat aku membolosi ambang pintu, jelas kelihatan susuk tubuh Muhammad Syaddad bersandar pada Porshe Cayenne miliknya. Dia melemparkan senyuman kepadaku. Aku hanya membisu. Langsung tidak membalas senyumannya.

  Langkahku aku hayun mendekatinya. Merenung wajahnya sekilas sebelum menekur tar.

  “Kenapa datang sini?” Ajuku dingin.

  “Nak tahu jawapan awak.”

  Aku hanya mengangguk sebelum berpaling dan memulakan langkah masuk ke dalam rumah.

  “Nurul Nisrina, ya atau tidak?” Laungnya kuat. Amani yang menjenguk dari jendela ruang tamu tersengih-sengih.

  “Kalau awak tengok langit cerah, jawapannya ya. Kalau tengok langit mendung, jawapannya tidak.”

  “Terima kasih, Nurul Nisrina. Minggu depan saya hantar rombongan.” Suara itu menerjah gegendang telingaku.

  Nurul Nisrina, belajarlah daripada kesilapan. Tidak tahu apa yang terjadi esok tapi berharap semuanya baik-baik sahaja.

  Tersungging senyuman di bibirku.  Aku menengadah langit. Dan langit cerah lagi. Secerah hatiku.




Alhamdullilah! Sehingga hari ini kita masih bernafas dan tersenyum. Mungkin akan ada yang cakap. "Nisrin ni ngek ar. Maafkan Kak Nisa dengan mudah." Tapi aku tetap akan senyum sampai ke telinga. Bukan nak kata tapi aku tak rasa gaduh lama-lama tu baik. Sesetengah orang hati lembut, sesetengah hati keras tapi semoga hati kita lembut dan boleh memaafkan kesalahan orang lain.

Tak seronok ar bergaduh lama-lama. Aku tak suka. Biarlah orang label kita suka mengalah ke, slow ke, baik hati sangat ke. Sebab orang pernah label aku suka mengalah sangat. Muehehe. Malas nak cari gaduh sebenarnya. Assalamualaikum :') 
 
 
 

 



7 comments:

  1. wow~ fantastic!

    read mine?
    http://chaosinnotime.blogspot.com/2012/11/new-story-cerpen-miss-everything-must.html

    ReplyDelete
    Replies
    1. hehe. Thanks. Insya-Allah nanti hanna baca :')

      Delete
  2. simple tapi nice .. hehe.. keepidupp girl! ^_^

    ReplyDelete
  3. besttttt. cerpen akak semua besttt!

    ReplyDelete

Takut komen?
Jangan risau.
Gueh bukan raksasa makan orang.
Gueh hanna...